Khamis, 24 Ogos 2017

Martin Luther - Pelopor Reformasi Protestan Yang Mengubah Sejarah Barat


Dilahirkan di Eisleben, Jerman, pada 1483, Martin Luther seterusnya telah menjadi salah seorang daripada tokoh paling penting dalam sejarah Barat. Luther telah menjalankan kehidupan awalnya dalam keadaan secara bandingan kurang dikenali sebagai seorang rahib dan sarjana. Tetapi pada 1517 Luther telah menulis suatu dokumen yang menyerang amalan korup Gereja Katolik menjual “indulgence” untuk menghapuskan dosa. “95 Tesis” yang ditulisnya, yang menjelaskan dua kepercayaan asas – bahawa Alkitab adalah autoriti utama keagamaan dan bahawa manusia memperoleh keselamatan hanya melalui iman mereka dan bukannya perbuatan mereka – telah mencetuskan Reformasi Protestan. 

Walaupun idea-idea itu pernah dibangkitkan sebelum itu, Martin Luther telah mencatitkannya pada detik dalam sejarah yang siap untuk reformasi keagamaan. Gereja Katolik telah berpecah selamanya selepas itu, dan Protestantisme yang muncul tak lama kemudian telah dibentuk oleh idea-idea Luther. Penulisannya telah mengubah haluan sejarah keagamaan dan kebudayaan di Barat. 

KEHIDUPAN AWAL

Martin Luther (1483-1546) telah dilahirkan di Eisleben, Saxony (kini Jerman), sebahagian daripada Empayar Rum yang Suci, kepada ibu bapa Hans dan Margaretta. Ayah Luther adalah ahli perniagaan yang makmur, dan apabila Luther masih muda, ayah Luther telah memindahkan keluarga 10 orang itu ke Mansfeld. Pada usia lima tahun, Luther telah memulakan pendidikannya di sebuah sekolah tempatan di mana dia telah belajar membaca, menulis dan Latin. Pada usia 13 tahun, Luther mula menghadiri sekolah yang diuruskan oleh Brethren of the Common Life di Magdeburg. Pangajaran-pengajaran Brethren mengfokus kepada ketakwaan peribadi, dan ketika di situ Luther mula tertarik kepada kehidupan sebagai rahib.

MARTIN LUTHER MEMASUKI BIARA

Tetapi Hans Luther mempunyai rancangan yang berbeza untuk anak mudanya Martin – dia ingin anaknya menjadi peguam – oleh itu dia memindahkannya dari sekolah di Magdeburg dan menghantarnya ke sekolah baru di Eisenach. Kemudian pada 1501, Luther memasuki Universiti Erfurt, university terulung di Jerman pada waktu itu. Di situ dia mempelajarai sukatan pendidikan yang biasa pada zaman itu: matematik, astronomi, geometri dan falsafah dan dia mendapat ijazah sarjana daripada universiti itu pada 1505.

Pada Julai tahun itu, Luther terperangkap dalam satu ribut petir yang dahsyat, di mana kilat hampir menyambarnya.  Dia menganggap kejadian itu sebagai satu tanda daripada Tuhan dan bernazar akan menjadi rahib jika terselamat dari ribut itu. Ribut itu reda dan Luther muncul daripadanya dalam keadaan selamat, dan jujur dengan janjinya, Luther berpaling daripada pengajian undang-undangnya beberapa hari selepas itu pada 17 Julai 1505. Sebaliknya, dia memasuki sebuah biara Augustine.


Luther mula menjalani hidup seorang rahib yang sangat sederhana dan ketat tetapi tidak meninggalkan pendidikannya. Di antara 1507 dan 1510, Luther belajar Universiti Erfurt dan di sebuah universiti di Wittenberg. Pada 1510-1511, dia telah berehat daripada pendidikannya untuk berkhidmat sebagai seorang perwakilan di Rum untuk biara-biara Augustine Jerman. Pada 1512, Luther menerima kedoktorannya dan menjadi seorang profesor pengajian alkitabiah. Dalam lima tahun yang seterusnya pembelajaran Luther yang berterusan dalam teologia akan membawanya kepada pemahaman yang akan mempunyai implikasi kepada pemikiran Kristian untuk berabad-abad akan datang.

MARTIN LUTHER MEMPERSOALKAN GEREJA KATOLIK

Di Eropah awal abad ke-16, beberapa ahli teologia dan sarjana telah mula mempersoalkan ajaran-ajaran Gereja Katolik. Lebih kurang pada waktu itu juga terjemahan-terjemahan teks-teks asli - iaitu Alkitab dan penulisan-penulisan ahli falsafah gereja awal Augustine - telah lebih tersebar dan dapat diperolehi.

Augustine (340-430) telah menekankan keutamaan Alkitab dan bukannya pegawai-pegawai Gereja sebagai autoriti terulung keagamaan. Dia juga percaya bahawa manusia tidak dapat mencapai keselamatan dengan perbuatan mereka sendiri, tetapi hanya Tuhan sahaja yang dapat menganugerahkan keselamatan oleh kasih karunia ilahi-Nya. Dalam Zaman Pertengahan, Gereja Katolik telah mengajar bahawa keselamatan adalah mungkin melalui "pekerjaan baik," atau perbuatan kebenaran, yang menyenangkan Tuhan. Luther telah mula berkongsi dua kepercayaan utama Augustine, yang kemudiannya akan membentuk dasar Protestantisme.

Sementara itu, amalan Gereja Katolik dalam mengurniakan "indulgence" untuk memberikan penghapusan dosa kepada orang-orang berdosa menjadi semakin korup. Penjualan indulgence telah diharamkan di Jerman, tetapi amalan itu dijalankan terus tanpa berkurang. Pada 1517, seorang rahib bernama Johann Tetzel mula menjual indulgence di Jerman untuk mengumpul dana bagi mengubah suai St. Peter Basilica di Rum.

95 TESIS


Dengan komitmen kepada idea bahawa keselamatan hanya dapat dicapai menerusi iman dan oleh kasih karunia ilahi sahaja, Luther secara kuat membantah amalan korup menjual indulgence. Bertindak atas kepercayaan itu, dia telah menulis "Bantahan Terhadap Kuasa dan Keberkesanan Indulgence," juga dikenali sebagai "95 Tesis," satu senarai soalan dan usul untuk perdebatan.

Lagenda popular mengatakan bahawa pada 31 Oktober 1517 Luther secara mencabar memakukan satu salinan 95 Tesisnya ke pintu gereja Wittenberg Castle. Kenyataannya mungkin tidak sebegitu dramatik; Luther kemungkinan besar telah menggantungkan dokumen itu ke pintu gereja secara sederhana mengumumkan perbincangan akademik yang akan dianjurkannya.

95 Tesis itu, yang kemudiannya akan menjadi dasar Reformasi Protestan, telah ditulis dalam nada yang begitu rendah hati dan akademik, lebih membangkitkan persoalan daripada menuduh. Walau bagaimanapun, kesan keseluruhan dokumen itu adalah agak provokatif. Dua tesis pertama itu mengandungi idea utama Luther, bahawa Tuhan mengkehendaki orang-orang percaya untuk bertaubat dan bahawa iman sahaja, dan bukannya perbuatan, yang membawa kepada keselamatan. 93 tesis yang lain, sebilangannya mengkritik secara langsung amalan indulgence, menyokong dua tesis yang pertama itu. 

95 Tesis Martin Luther yang diterbitkan

Tambahan kepada kritikan-kritikannya terhadap indulgence, Luther juga telah memperlihatkan sentimen popular terhadap "skandal St. Peter" dalam 95 Tesis itu:

Mengapakah Paus, yang kekayaannya hari ini melebihi kemewahan Crassus yang terkaya, tidak membina basilica St. Peter dengan wangnya sendiri daripada dengan wang orang-orang percaya yang miskin?

95 Tesis itu telah disebarkan dengan cepat di merata Jerman dan kemudiannya sampai ke Rum. Pada 1518, Luther telah diperintahkan ke Augsburg, sebuah kota di selatan Jerman, untuk mempertahankan pandangannya di hadapan perhimpunan di raja. Satu perdebatan yang berlangsung selama tiga hari di antara Luther dan Kardinal Thomas Cajetan tidak membawa kepada persetujuan. Cajetan mempertahankan penggunaan indulgence oleh gereja, tetapi Luther tidak akan berganjak pendirian dan kembali ke Wittenberg.

LUTHER PEMBIDAAH

Pada 9 November, 1518, Paus telah mengecam penulisan Luther sebagai bertentangan dengan ajaran-ajaran Gereja. Setahun kemudian, beberapa siri lembaga telah ditubuhkan untuk memeriksa ajaran-ajaran Luther. Lembaga pertama Paus telah mendapati ajaran-ajaran Luther sebagai menyeleweng, tetapi lembaga yang kedua cuma menyatakan bahawa penulisan Luther bersifat "skandal dan menyinggung kepada pendengaran orang-orang alim." Akhirnya, pada Julai 1520, Paus Leo X telah mengeluarkan perintah umum (papal bull) yang menyimpulkan bahawa usul-usul Luther itu bersifat bidaah dan memberi Luther 120 hari untuk mengubah pendiriannya di Rum. Luther enggan mengubah pendiriannya, dan pada 3 Januari 1521, Paus Leo X telah mengucilkan Martin Luther dari Gereja Katolik. 


Pada 17 April 1521, Luther muncul di hadapan Perhimpunan di Raja di Worms, Jerman. Enggan sekali lagi untuk mengubah pendiriannya, Luther menutupi kesaksiannya dengan kenyataan: "Di sini aku berdiri, Tuhan tolong aku. Aku tidak dapat melakukan yang lain." Pada 25 Mei, maharaja Empayar Rum yang Suci, Charles V menandatangani perintah rasmi terhadap Luther, mengarahkan penulisan-penulisannya dibakar. Luther bersembunyi di kota Eisenach untuk tahun berikutnya, di mana dia telah memulakan salah satu projek utama hidupnya, penterjemahan Perjanjian Baru ke dalam bahasa Jerman, yang telah mengambil masa 10 tahun untuk disiapkannya.

TAHUN-TAHUN TERKEMUDIAN LUTHER

Luther kembali ke Wittenberg pada 1521, di mana pergerakan reformasi yang telah dimulakan oleh penulisannya telah bertumbuh melebihi pengaruhnya. Ianya bukan lagi hanya satu perjuangan teologi; ianya telah menjadi perjuangan politik. Pemimpin-pemimpin lain telah tampil ke hadapan untuk memimpin reformasi, dan pada masa yang sama, pemberontakan yang dikenali sebagai Perang Petani Miskin sedang merebak di merata Jerman. 

Luther telah sebelumnya menulis menentang amalan Gereja berkenaan kehidupan membujang paderi, dan pada 1525 dia telah berkahwin dengan Katherine dari Bora, seorang bekas biarawati. Mereka dikurniakan lima anak. Walaupun penulisan awal Luther telah mencetuskan Reformasi itu, dia tidak seberapa terlibat dengannya semasa tahun-tahun kemudian hidupnya. Pada penghujung hidupnya, dia semakin melenting dalam pandangan-pandangannya, dan mengisytiharkan Paus sebagai Anti-Kristus, mengusulkan pengusiran orang-orang Yahudi dari empayar itu, dan membenarkan poligami berdasarkan amalan tokoh-tokoh bapa leluhur dalam Perjanjian Lama.   

Luther telah meninggal dunia pada 18 Februari 1546.

KEPENTINGAN  USAHA MARTIN LUTHER

Martin Luther adalah salah satu tokoh paling berpengaruh dalam sejarah Barat. Penulisan-penulisannya bertanggungjawab memecah-belahkan Gereja Katolik dan mencetuskan Reformasi Protestan. Ajaran utamanya, bahawa Alkitab adalah sumber utama untuk autoriti keagamaan dan bahawa keselamatan dicapai melalui iman dan bukan melalui perbuatan, telah membentuk teras Prostestantisme. Walaupun Luther kritikal terhadap Gereja Katolik, dia menjauhkan diri daripada pengganti-penggantinya yang radikal yang telah mengambil alih peranannya. 

Luther diperingati sebagai tokoh yang berkontroversi, bukan sahaja kerana penulisannya telah membawa kepada pepecahan dan reformasi keagamaan yang penting, tetapi juga kerana pada tahun-tahun terkemudian hidupnya, dia telah mengambil pendirian-pendirian yang radikal mengenai persoalan-persoalan lain, termasuk pernyataannya terhadap orang-orang Yahudi, yang sebilangan orang katakan telah membayangkan anti-Semitisme masa hadapan di kalangan orang-orang Jerman; yang lain pula menolak pandangan itu sebagai semata-mata kemarahan yang diucapkan oleh seorang lelaki yang tidak disokong ramai.

Salah satu sumbangan terbesar Martin Luther
- menterjemah Alkitab ke  Bahasa Jerman

Bagaimanapun, beberapa sumbangan paling penting Luther kepada sejarah teologikal, seperti ketegasannya bahawa sumber tunggal untuk autoriti keagamaan, iaitu Alkitab harus diterjemah dan dapat diperolehi oleh orang ramai adalah benar-benar pembaharuan pada zamannya.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel History bertajuk, "Martin Luther And The 95 Theses")