Selasa, 26 September 2017

4 Peribadi Yang Banyak Membantuku Dalam Perjalanan Blogku


23 September telah berlalu dan aku masih di sini... (ertinya belum hari kiamat seperti yang diramalkan pihak tertentu!). Tanpa kusedari, pada hari itu juga blog domba2domba telah mencapai 4 juta paparan halaman (pageview). 

Aku mengingat kembali 4 peribadi yang telah banyak membantuku dalam perjalanan blogku. Empat peribadi inilah yang telah membantuku memperkenalkan blog ini melalui media sosial terutamanya Facebook. (Aku tidak berikan nama mereka atas sebab privasi, tetapi jika mereka membaca artikel ini, mereka tahu siapa yang aku maksudkan).

Peribadi pertama adalah rakan sekolahku dari sekolah menengah lagi, Dialah yang telah menolongku buka akaun Facebookku yang pertama, sambil kami minum teh di sebuah kafe. Dia sangat mencintai Tuhan dan giat dalam pelayanannya sebagai pelayan pelajar-pelajar kampus.

Peribadi yang kedua ialah seorang pemimpin pujian di sebuah gereja yang kukunjungi di Lembah Kelang. Pada waktu itu aku masih was-was untuk menggunakan media sosial untuk mengongsikan artikel-artikel di blogku yang baru dimulakan. Tapi pada hari itu, pemimpin pujian itu telah memilih sebuah lagu yang tidak pernah kudengar. Antara liriknya seperti ini, "Inilah waktunya untuk menyatakan kemuliaan-Mu..." Aku sangat tersentuh dengan senikata lagu itu, dan tahu bahawa itulah isyarat daripada Tuhan untukku memperkenalkan blog domba2domba melalui media sosial.

Peribadi ketiga adalah seorang graduan komputer sains. Dia menggalakkan aku meletakkan butang "Like" Facebook ke dalam setiap artikel blogku. Aku masih ragu-ragu dengan perkara itu. Tetapi dorongannya dan ketegasannya telah menyakinkanku. Sehingga hari ini, aku meletakkan butang "Like" ke dalam setiap artikelku.

Peribadi keempat adalah orang yang sedang membaca artikelku sekarang. Andalah orangnya!!! Apabila anda mengklik "Like" atau "Share" artikel di blog domba2domba, anda bukan sahaja telah mengundang kawan-kawan anda untuk membaca blog ini, tetapi anda juga telah memberi dorongan yang amat besar kepadaku! Kalau bukan kerana dorongan dan galakan anda yang berterusan, aku mungkin sudah berhenti menulis lama dahulu. Setiap minggu aku akan berusaha menghasilkan artikel oleh kerana... Anda!

Pembaca-pembaca setia blogku, terima kasih kerana sering mengunjungi blog ini, dan doalah untukku sebab aku tahu tanpa bimbingan Tuhan, aku tidak dapat lakukan apa-apa. Dialah Tuhanku dan Peribadi yang terutama dalam hidupku!



Terima kasih Kawan-Kawanku!