Selasa, 26 September 2017

Tahukah Anda,,, Perkataan Ibrani Untuk Roh Allah?


Perkataan Ibrani ruach bermakna “angin,” “nafas,” atau “roh.” Perkataan itu sering digunakan dalam petikan-petikan Alkitab yang merujuk kepada Roh Kudus. 

Kali pertama perkataan itu digunakan dalam Alkitab adalah dalam ayat keduanya “Roh Allah (Ruach Elohim) melayang-layang di atas permukaan air (Kejadian 1:2). Dalam Kejadian 6:17, ruach diterjemahkan sebagai “nafas hidup.” Kejadian 8:1 menggunakan ruach untuk menggambarkan bagaimana “angin” yang Tuhan hantar ke seluruh bumi untuk meredakan air bah. Kesemuanya, kata ruach muncul hampir 400 kali dalam Perjanjian Lama.

Mungkin anda akan hairan melihat perkataan ruach itu mempunyai pelbagai erti bergantung pada konteks ayatnya. Wah, tak senang nak belajar bahasa Ibranikan? 

Ini mengingatkan saya akan "Kisah Budak Cina Yang Menyangka Dirinya Inggeris."

Ibu bapa Andy, yang kedua-duanya Cina, hanya bertutur Bahasa Inggeris di rumah. Dengan itu Andy, dari kecil hanya tahu berbahasa Inggeris. Apabila dia mula ke sekolah, dia bertemu ramai budak-budak Cina yang semuanya berbahasa Cina. 

Pada suatu hari Andy kembali dari sekolah dan memberitahu ibunya, "Bu, saya saja budak Inggeris di kelas saya. Mereka semua budak Cina!"

Ibunya tertawa dan memberitahu anaknya, "Andy, Kamu bukan budak Inggeris! Kamu Cina! Kamu hanya berbahasa Inggeris!

Bahasa kadangkala melucukan juga. Ianya mengandungi banyak kata-kata yang mempunyai lebih daripada satu makna, seperti perkataan Inggeris dalam kisah ini. Kata Inggeris itu boleh bererti bahasa ataupun bangsa seseorang. Dalam kisah ini, ibu itu sedang mengajar anaknya perbezaan antara berbangsa Inggeris dan seorang yang berbahasa Inggeris

Dalam Alkitab, sepertimana buku-buku dan dokumen-dokumen lain, kita menghadapi situasi yang sama. Kita akan menemukan sebilangan perkataan yang mempunyai pelbagai erti, dan itu merupakan satu cabaran kepada penterjemah Alkitab untuk menentukan maksud yang betul untuk sesuatu perkataan. 

Perkataan yang sama digunakan, kadang-kadang dalam petikan yang sama, tetapi membawa makna yang berlainan. Bagaimanakah seorang penterjemah menentukan makna yang betul sesuatu perkataan dalam satu petikan? 

Jawapannya adalah konteks. Konteks pada ayat itu atau ayat-ayat yang di sekelilingnya seringkali akan menunjukkan kepada maksud khusus perkataan itu. 

Umpamanya, dengan menggunakan kisah Andy, apabila Ibu berkata, "Kamu bukan budak Inggeris," kita tahu dia sedang mengatakan mengenai bangsa, manakala apabila dia berkata, "Kamu hanya berbahasa Inggeris," dia sedang mengatakan mengenai bahasa. 

Ini menunjukkan betapa pentingnya untuk kita mengetahui konteksnya supaya dapat menentukan maksud yang betul untuk perkataan yang mempunyai pelbagai erti. 

Jadi, kalau begitu, kenapakah bahasa menggunakan kata-kata yang mempunyai pelbagai erti? Bukankah lebih mudah mempunyai satu kata yang berlainan untuk setiap erti yang berbeza?

Ya, tapi begitulah keunikan bahasa, dan ianya menunjukkan keupayaan akal manusia untuk memahami pelbagai maksud untuk simbol kata yang sama dalam konteks yang berbeza-beza. 

Dan apakah, sekali lagi, tiga erti untuk perkataan ruach?