SEJUMLAH 15 kumpulan orang Islam membuat laporan polis hari
ini berkenaan dengan sebuah video dan rencana lama berkaitan Kristian dan dua
pemimpin DAP.
Kumpulan itu termasuklah Jaringan Muslimin Pulau Pinang
(JMPP), Pekida, Perkasa dan PAS Pulau Pinang mendakwa yang video berusia tiga
tahun bertajuk "Message to the Malaysian Church 2014", yang boleh
ditonton di YouTube mempunyai unsur “hasutan”.
Laporan polis oleh Mohd Hafiz Kassim itu mengatakan yang
video berdurasi tiga minit itu mengandungi mesej seperti “persiapan perang”.
Pengadu berkata yang mesej itu adalah provokasi untuk
mencetuskan perang di Malaysia dan dia mendakwa video itu adalah kerja
evangelis Kristian untuk menghasut rakyat supaya bangkit dan menyerang negara.
“Video itu sangat merbahaya, mengandungi hasutan melampau
dan mengancam keselamatan negara,” lapor laporan itu.
Hafiz Kassim juga mengadu tentang catatan yang dikeluarkan
pada April 2016 di laman sesawang Christianity Malaysia bertajuk "Rise and
Speak – Pastor Afeef Halasah from Jordan".
Dia dilaporkan terganggu dengan satu perenggan dalam rencana
itu yang berbunyi: “Ada orang yang digelar mubaligh di negara lain. Tetapi,
Hasrat Tuhan yang umum untuk semua kita di Malaysia adalah untuk menyerang
negara ini dengan Negara Tuhan. Kita dipanggil untuk menurunkan prinsip dan
budaya Tuhan ke Malaysia.”
“Kenyataan pastor itu jelas menghasut Kristian untuk
menakluk negara ini berdasarkan arahan Tuhan mereka. Kenyataan ini merbahaya
yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya dalam laporan itu.
Kemudian, Hafiz Kassim juga membuat laporan tentang Speaker
Selangor Hannah Yeoh yang menggesa Oversea Church Fellowship (OCF) untuk pergi ke
Pulau Pinang bagi membantu pergerakan Kristian kerana ia panggilan Tuhan dalam
bukunya “Becoming Hannah”.
Akhir sekali, aduan juga ditujukan kepada senator dan Naib
Presiden DAP Dr Ariffin Omar yang didakwa menyokong penubuhan bandar Kristian
di Pulau Pinang, negeri yang ditadbir Pakatan Harapan.
Ariffin dilaporkan berkata: “Apa salahnya Pulau Pinang menjadi
sebuah bandar Kristian. Anda perlu ubah Perlembagaan negeri. Tanpa mengubahnya,
bagaimana Pulau Pinang boleh menjadi negeri Kristian,” pada persidangan Dewan
Negara 21 April lalu.
“Laporan polis ini adalah untuk menggesa polis menyiasat dan
mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat menerbitkan bahan
berkenaan,” kata Hafiz.
Bagaimanapun, Ariffin sudah menafikan dakwaan itu,
menjelaskan yang kenyataannya diambil di luar konteks. Katanya, dia ditanya
soalan retorik dalam perkara itu dan jawapannya sebagai balasan kepada soalan
kurang bijak senator lain.
Pada sidang media untuk menjelaskan laporan polis itu,
Pengerusi JMPP Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata bahan yang diterbitkan
dalam internet dan buku Yeoh menunjukkan yang penganut Kristian dihasut untuk
mencabar Islam, agama rasmi negara dan orang Islam.
Mohamed Hafiz juga mahu polis menyiasat Afeef Halasah,
pastor warga asing kerana “berani datang ke Malaysia dan mengatakan perkara
salah yang merupakan kesalahan di bawah akta hasutan”.
Katanya, ini jelas terbukti orang luar menghasut penganut
Kristian tempatan untuk bangkit yang boleh membawa kepada kejadian tidak
diingini.
“Dia sering dijemput ke Malaysia untuk bercakap kepada
penganut Kristian, untuk beritahu mereka supaya tukar kerajaan. Jika tukar
kerajaan ikut cara biasa, tidak mengapa, tetapi dia guna perkataan seperti
‘menyerang’.
“Kerajaan Malaysia diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong,
bukan sekadar BN (Barisan Nasional). Usaha untuk meracun penganut Kristian
adalah luar biasa dan tindakan menakutkan yang merupakan hasutan. Kerana itu
laporan polis dibuat.
“Mereka yang bersetuju sebenarnya menentang Perlembagaan dan
undang-undang,” katanya menambah yang ia juga boleh dianggap melancarkan perang
terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Katanya orang luar perlu menghormati undang-undang dan
Perlembagaan Malaysia, menambah yang NGO juga perlu menghubungi agensi
berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan orang
seperti Afeef tidak dibenarkan masuk ke negara ini dan mengancam keamanan
negara.
“Kami akan menulis kepada istana jika perlu memandangkan
Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama,” katanya.
Mohamed Hafiz juga berkata laporan turut menyebut tentang
Yeoh kerana laporan sebelum ini di Selangor mengenai bukunya tidak membuahkan
hasil.
Katanya, buku Yeoh yang didakwa menyebarkan ajaran Kristian
dijual secara terbuka yang tidak sepatutnya dibenarkan.
“Dia menyeru Kristian untuk datang kembali dan bina Negara
Tuhan. Apa itu Negara Tuhan? Tuhan siapa? Dia perlu berhenti. Pihak berkuasa
perlu ambil tindakan tegas.
“Kami bukan orang Islam yang menentang Kristian. Tetapi
mereka tidak boleh berdakwah kepada orang Islam, atau bercakap tentang agama
mereka secara terbuka untuk menarik pengikut. Perlembagaan larang.
“Agama lain perlu harmoni dengan Islam dan orang Islam.
Mereka perlu hentikan hasutan sebegini,” katanya.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "NGO Melayu Islam Buat Laporan Polis Terhadap Video 'Hasutan' Kristian, Pemimpin DAP" yang ditulis oleh Looi Sue-Chern bertarikh 25 September 2017)