Sabtu, 9 September 2017

Tritunggal Dalam Alam Dan Manusia


Beberapa hari yang lepas, saya mengikuti satu perbincangan yang menarik dengan kawan-kawan mengenai ketritunggalan Allah dalam satu kumpulan Kristian di Facebook. Dalam artikel ini, saya ingin perkatakan bukannya ketritunggalan Allah, tetapi ketritunggalan yang ada pada alam dan manusia. 

Ramai daripada kita tahu bahawa Tritunggal bererti "Tiga dalam Satu." Tahukah anda juga bahawa tritunggal itu bukan sekadar konsep tetapi juga wujud dalam alam dan manusia yang diciptakan Tuhan?

Berikut adalah tiga contoh tritunggal dalam alam dan manusia:

1) Matahari

Kita tahu bahawa matahari adalah ciptaan yang ulung daripada Tuhan. Matahari memberikan cahaya sehingga mewujudkan siang dan malam di bumi. Pancaran daripada matahari juga memberikan haba kepada bumi - tanpa haba itu bumi akan sejuk membeku dan semua kehidupan di dalamnya akan mati.

Matahari adalah contoh tritunggal dalam alam. Ianya adalah api-cahaya-haba, iaitu tiga-dalam-satu matahari. Api adalah sumbernya. Dari api terpancarlah cahaya, dan dari cahaya itu datanglah haba.

Api itu tidak wujud tanpa cahaya dan haba. Cahaya itu tidak wujud tanpa api dan haba. Haba itu tidak wujud tanpa api dan cahayanya. Namun ketiga-tiganya semuanya wujud dalam satu matahari.

2) Atom


Atom adalah satu lagi contoh tritunggal dalam alam. Atom adalah bahagian terkecil dan paling asas dalam semua benda yang wujud samada pepejal, cecair, gas dan plasma. Atom tersangat kecil - saiz yang biasa untuk atom adalah 100 picometer (satu per sepuluh billion daripada satu meter).

Atom terdiri daripada tiga unsur iaitu proton-neutron-elektron. Di bahagian pusat atom yang dipanggil nukleus adalah neutron dan proton. Manakala elektron bergerak mengelilingi neutron dan proton itu.

Seluruh alam dicipta daripada atom sebagai bahan binaannya yang asas. Betapa hebatnya atom itu! Semua benda yang wujud terdiri daripadanya. 

3) Manusia

Ada orang yang mengatakan bahawa Manusia adalah ciptaan Tuhan yang terulung. Manusia boleh berfikir, berkata dan berhubung dengan cara yang jauh mengatasi semua makhluk lain di bumi.

Manusia terdiri dari tiga bahagian iaitu roh-jiwa-tubuh. Roh adalah bahagian manusia yang dapat berhubungan dengan Tuhan. Manakala Tubuh adalah bahagian manusia yang berhubungan dengan dunia fizikal. Jiwa pula adalah bahagian yang berhubungan dengan peribadi seseorang - bahagian yang melibatkan pemikiran, perasaan dan kehendak.

Kita terdiri daripada ketiga-tiga roh, jiwa dan tubuh, namun kita tetap seutuhnya satu! Kita adalah manusia tritunggal (tiga dalam Satu)!

Tanpa roh, kita sudah mati. Tanpa jiwa, kita tidak ada lagi akal dan perasaan. Tanpa tubuh, kita tidak kelihatan lagi di muka bumi. Kita wujud dalam tiga namun tetap satu!


Sungguh ajaib ciptaan Tuhan. Dalam tiga ciptaan ulung Tuhan yang telah disebutkan di atas, kita dapat melihat ciri-ciri tritunggal dalam setiapnya. Tritunggal bukan hanya konsep tetapi wujud pada alam dan manusia yang diciptakan Tuhan.