Jumaat, 27 Oktober 2017

Kebangunan Rohani Bario: Latarbelakang dan Permulaannya


Pada waktu ini ketika kebangunan rohani kelihatan begitu penting untuk Gereja Malaysia, tidak ada yang lebih tepat untuk mengingatkan kita seperti Kebangunan Rohani Bario. Ini adalah salah satu pencurahan terbesar Roh Kudus ke atas sebuah komuniti dalam sejarah Malaysia. 

Kebangunan Rohani Bario berkaitan rapat dengan gereja yang bertumbuh pesat, Sidang Injil Borneo (SIB). Pada hari ini, SIB adalah denominasi Protestan terbesar di negara ini. Namun begitu kebangunan rohani itu berasal dari tempat yang paling tidak disangka. Pada 1973, sebelum Kebangunan Rohani Bario, orang-orang Kelabit di Bario adalah orang-orang yang sangat sederhana di kawasan yang sangat terpencil, terpisah daripada kebanyakan tempat di dunia. 

Dalam  bukunya, "The Bario Revival", Solomon Bulan menulis bahawa seseorang hanya perlu memahami keadaan rohani dan keadaan sederhana masyarakat itu, dan juga lokasinya yang terpencil, untuk memahami kekuasaan Tuhan dalam kebangunan rohani itu. Kebangunan rohani itu memang ajaib. 

Solomon Bulan dengan "The Bario Revival"
yang ditulisnya bersama dengan adik 
perempuannya, Lilian Bulan-Dorai

Ianya telah bermula dengan suatu pertemuan sederhana pada Oktober 1973 dengan pemimpin-pemimpin pelajar Persekutuan Pelajar-Pelajar Kristian di Sekolah Menengah Bario. Dalam pertemuan itu, di tengah suasana rohani yang terbeban dan mengharapkan, satu doa pertaubatan dan pencurahan hati yang berani telah dilakukan oleh seorang pelajar yang dulunya pendiam. Bagaimanapun, pergerakan Tuhan ke atas jiwa umat itu dengan cepat merebak bukan sahaja kepada seluruh sidang tetapi kepada seluruh komuniti itu. 

Artikel ini adalah yang pertama daripada dua bahagian mengenai Kebangunan Rohani Bario. Sebahagian besarnya adalah ringkasan daripada apa yang telah saya baca daripada buku yang telah ditulis oleh Solomon Bulan dan Lilian Bulan-Dorai. Banyak lagi kandungan daripada buku itu yang tidak dapat dimuatkan di sini, dan saya sangat mengesyorkan kepada para pembaca untuk mendapatkan senaskah buku "The Bario Revival" itu.

Bagi mereka yang tidak dapat mencari buku itu, atau yang kesempitan waktu, artikel ini akan memberikan konteks latarbelakang kebangunan rohani itu (tempatnya dan penduduknya), serta permulaan api kebangunan rohani itu.

Tempatnya

Terletak 3,500 kaki di atas paras laut di kawasan timur laut Sarawak, Bario (nama itu adalah gandingan dua perkataan ba-a dan mamariu, yang bererti "paya yang ditiup angin" dalam bahasa Kelabit) dipercayai adalah kawasan penempatan tertinggi di seluruh kepulauan Borneo. Ianya adalah kawasan dataran tinggi berbentuk umpama mangkuk yang dikelilingi oleh cerun batu dan puncak batu kapur bergerigi, yang di antaranya mencapai sehingga 7,500 kaki. Keindahan semulajadi yang tidak tercemar kawasan itu dan juga keadaan terpencilnya telah menggerakkan ramai pegawai-pegawai British untuk melawat kawasan itu, dan seorang di antaranya telah membandingkannya dengan lagenda Shangri-La. 

Permandangan di persekitaran Bario (Foto: borneoinsidersguide.com)

Sebahagian besar daripada tanah rata di dataran itu ditutupi oleh sawah dengan kampung-kampungnya berselerak, kebanyakannya berjarak 2-4 kilometer satu dengan lain. Sehingga hari ini, laluan masuk ke kawasan itu bergantung kepada keadaan cuaca oleh kerana ketinggiannya, dan semasa musim hujan, lumpur tebal menghalang laluan ke kawasan itu biarpun menggunakan kenderaan pacuan empat roda. 

Sawah padi di Bario

Adik-beradik Bulan itu menulis, "Kebanyakan daripada perkhidmatan di Bario hari ini telah ditambahkan kebelakangan ini. Pusat kesihatan luar bandar telah dinaik taraf menjadi klinik perubatan, dan pos pengawalan sempadan telah dijadikan balai polis. Tidak ada bekalan elektrik, oleh itu sebahagian keluarga dan perniagaan menggunakan generator yang menggunakan petrol atau diesel. Kebanyakan rumahtangga masih menggunakan kayu arang untuk memasak." ["The Bario Revival"; mukasurat 26].

Penduduknya

Orang-orang Kelabit tahan lasak, kuat dan pintar, tetapi mereka adalah orang-orang yang lemah lembut dengan percakapan lembut yang menjalani gaya hidup perkampungan di kawasan desa. Satu ciri istimewa mereka adalah keramahan terhadap tetamu, dan seringkalinya membuat pengorbanan untuk tetamu mereka. 

"Sambil berjalan keliling Bario, anda akan melihat kerbau yang berendam dekat sawah padi, kanak-kanak yang bermain berhampiran dan petani membajak tanah mereka. Pada sebelah pagi, petang dan semasa hari-hari hujan, mereka akan berehat sambil berkumpul mengelilingi unggun kayu api. Pada pukul 9 malam, kecuali ada acara istimewa, dataran tinggi itu akan senyap-sepi sambil penduduknya masuk tidur. ["The Bario Revival"; mukasurat 27]
Orang-orang Kelabit mempunyai nilai kesenian dan budaya yang tinggi, dan banyak laporan menyatakan mereka adalah masyarakat yang bersikap progresif. Mereka adalah di antara yang pertama untuk menerima pendidikan dan perubahan yang terjadi di kalangan mereka, dan mereka telah berusaha kuat untuk mendapatkan pendidikan. Dan tidak dapat dielakkan lagi, ramai daripada orang-orang Kelabit akan berpindah ke bandar-bandar.
Orang-orang Kelabit di Bario

Adik-beradik Bulan itu menceritakan bahawa kemungkinan hanyalah orang-orang Kelabit dan Lun Bawang di kalangan suku-suku bangsa etnik di Sarawak yang, sebagai satu bangsa, telah menerima Injil secara beramai-ramai. Memandangkan bahawa hanya orang-orang Kelabit di kalangan bangsa-bangsa yang telah memeluk Kristian, yang tidak pernah mempunyai misionari tetap yang tinggal bersama mereka, adalah mengkagumkan bagaimana mereka sungguhpun tinggal secara berselerak, telah membuat penukaran yang besar kepada Kristian dalam hanya beberapa tahun. Mengimbas kembali, adik-beradik Bulan itu menganggap itu adalah petanda rahmat Tuhan yang akan dicurahkan ke atas mereka pada masa depan. 

Injil Di Kalangan Orang-Orang Kelabit

Injil telah pertama kalinya dibawa kepada orang-orang Kelabit oleh misionari-misionari Borneo Evangelical Mission (BEM), dan kebanyakan usaha dekad pertama adalah melawat, menjalinkan perkenalan dengan seramai mungkin orang-orang pribumi. Misionari pertama kepada orang-orang Kelabit adalah Frank Davidson.

Sebuah gereja SIB di Bario

Berikutan satu lawatan pendek oleh Davidson dan seorang misionari lain, C. Hudson Southwell, ke Dataran Tinggi Kelabit pada 1939, satu arus perubahan telah melanda penempatan utama ketika itu, Pa' Terap (sekarang Pa' Lungan). Ketua kampungnya yang berkuasa dan berpengaruh, Tama Bulan, telah berhenti dari minuman keras dan pemujaan roh dan menggalakkan orang-orang lain untuk melakukan sedemikian. Seorang lelaki, Pun Abi adalah orang Kelabit yang pertama dikenali membuat deklarasi berani sebagai pendirian iman dalam Tuhan.

Pada 1943, seorang misionari Christian and Missionary Alliance (CMA), Aris Doemat telah datang ke Pa' Terap dan penduduk di situ memeluk Kristian secara beramai-ramai. Adik-beradik Bulan menceritakan bahawa menjelang pertengahan 1940an, orrang-orang Kelabit telah dibebaskan daripada cara hidup animistik yang membelenggukan. Walaupun banyak cabaran akan dihadapi, langkah-langkah yang progresif telah diambil dalam hati umat itu, dan kemajuan rohani serta kesedaran pendidikan dan kesihatan bakal membawa kemajuan dalam kehidupan orang-orang Kelabit.

Presiden Sukarno memeriksa pasukan tentera sewaktu Konfrontasi 1963

Sedihnya, banyak pergolakan terjadi seperti Pemberontakan Brunei tahun 1962 dan Konfrontasi oleh Presiden Sukarno pada 1963 telah menyebabkan kepercayaan yang tidak sungguh-sungguh mula bertapak di kalangan orang-orang Kelabit. Dalam keadaan seperti itulah Tuhan bakal bergerak dengan berkuasa di kalangan umat-Nya dan getaran pertama kebangunan rohani bermula. Hanya melalui campurtangan Tuhanlah, umat mula menyedari dosa mereka, kepincangan mereka dan keperluan besar mereka untuk rahmat Tuhan.

"Tetapi angin kencang itu tidak dilepaskan," begitu ditulis adik-beradik Bulan itu, "tanpa pencarian yang bersungguh-sungguh untuk penyucian jiwa." Kebangunan rohani terjadi kerana kesungguhan umat untuk mencari dan menyerah kepada Tuhan, dan pelayanan Petrus Octavianus yang menyeru umat untuk bertaubat.

Api Kebangunan Rohani Tersebar

Kebangunan Rohani Bario terjadi tanpa disangka di kalangan ssekumpulan pelajar-pelajar muda, dan ianya telah merebak seperti api, pertamanya di kalangan ibubapa-ibubapa, kemudian di kalangan komuniti itu, kemudian dari satu komuniti setempat ke komuniti yang lain. Seringkalinya ianya diringi oleh satu tanda yang serupa: rasa malu dan berdosa di hadapan Tuhan. Ini membawa umat untuk sungguh-sungguh mencari Tuhan dalam pertaubatan untuk pengampunan, berseru untuk rahmat Tuhan, bukan sahaja untuk dosa-dosa mereka tetapi juga untuk kemunafikan keagamaan mereka dan keterikatan mereka kepada tradisi-tradisi gereja.

Rumah panjang di Bario (Foto: borneoinsidersguide.com)

Adik-beradik Bulan itu menceritakan bahawa ramai daripada anggota-anggoa gereja merasa insaf bahawa mereka telah kehilangan cinta pertama mereka kepada Tuhan di tengah-tengah segala masalah dan acara-acara di gereja-gereja yang telah mereka tubuhkan, dan bahawa itu telah mengalihkan perhatian mereka daripada misi utama Tuhan; untuk mencari jiwa sesat. Semasa kebangunan rohani itu, Roh Kudus menggerakkan ramai untuk mengakui secara kuat mengenai kekosongan dan kepincangan rohani mereka serta penyerahan dan pergantungan mereka kepada Tuhan.

Tetapi ramai yang bertaubat juga telah merasakan kasih daripada Tuhan dan kelegaan kerana pengampunan-Nya terhadap dosa-dosa mereka. Di sebuah kebaktian yang biasa diadakan di sekolah, Soloman mengingati, ramai secara spontan mengambil giliran memberi kesaksian mengenai bagaimana Tuhan telah berurusan dalam hidup mereka di hadapan khalayak ramai. Ada yang lain memberikan kata-kata dorongan, memberi seruan daripada Firman Tuhan, bernubuat atau menyampaikan penglihatan daripada Tuhan. Tembok-tembok penghalang yang telah terbina bertahun-tahun telah dirobohkan.

Sekolah Menengah Bario, di mana kebangunan rohani itu bermula 

Pada mulanya, seperti dengan banyak gerakan Roh Kudus hari ini, tingkahlaku yang kelihatannya tidak teratur mereka yang di bawah kuasa Roh Kudus, telah menyebabkan sebilangan pemimpin-pemimpin gereja dan komuniti merasa was-was. Ada di antaranya cuba menyediakan bukti bahawa kebangunan rohani itu adalah "kerja roh-roh jahat", dan mengumpamakan "jatuh dan tidak sedar diri selama beberapa jam" sebagai kerasukan roh jahat ada'isung yang telah diamalkan sewaktu zaman pagan dahulu. Bagaimanapun, ramai daripada mereka sendiri telah dijamah oleh Roh Kudus dan menjadi pelayan-pelayan yang aktif untuk Tuhan selama bertahun-tahun selepas kebangunan rohani itu.

Pengukuhan Ilahi Untuk Kebangunan Rohani Itu

Kebangunan  Rohani Bario dengan cepat mengambil tempat penting secara Ilahi. Orang-orang berjalan berjam-jam untuk mengikuti kebaktian-kebaktian doa yang diadakan setiap malam, dengan tidak menghiraukan ketidakselesaan, dan kadangkala jadual harian seperti kerja di ladang dan waktu persekolahan terjejas. Memang tidak dapat dielakkan, ramai yang lain memandang secara bermusuhan terhadap kebangunan rohani itu.

Dato' Sri Joseph Balan Seling

Seorang lelaki, mendiang Dato' Sri Joseph Balan Seling, telah memainkan peranan yang penting untuk memberikan pengukuhan kepada kebangunan rohani itu, menulis dan mengirimkan surat kepada anak-anak muda dan orang-orang yang baru percaya untuk bekerjasama dengan kepimpinan, bertumbuh dalam kematangan, dan menjadi saksi bagi Kristus melalui kehidupan, perkataan dan perbuatan mereka.

“Dalam ketiadaan garis panduan yang praktikal, bimbingan yang diberikan oleh Balan sangatlah dihargai. Ianya telah mendorong iman anak-anak muda dan ramai lagi yang telah dijamah oleh kuasa Roh Kudus. Ianya telah menjawab banyak persoalan yang timbul daripada pengalaman-pengalaman baru itu. Lebih penting lagi, ianya telah membawa satu keseimbangan kepada keadaan yang kelihatannya tidak teratur dan kecoh. Umat telah sentiasa merindukan dan berdoa agar Roh Kudus dibenarkan bergerak secara bebas, menyentuh setiap orang di semua gereja-gereja. Surat-surat Balan memberikan jaminan untuk kebebasan itu" ["The Bario Revival"; mukasurat 105]

Kebangunan Rohani Tersebar Dengan Tanda-Tanda dan Keajaiban
Kebangunan Rohani Bario adalah seperti pencurahan Roh Kudus ke atas Gereja Awal di Kisah Para Rasul 2. Ramai orang yang mengalami lawatan Ilahi itu telah ditransformasi, membawa Berita Baik itu ke wilayah-wilayah persekitaran. Banyak tanda-tanda dan keajaiban telah terjadi. 
Seorang wanita telah mengalami perlepasan daripada roh jahat dengan cara yang hampir sama dengan apa yang terjadi di Markus 5. Sekumpulan misionari muda telah tersesat di hutan mendapati dahan-dahan yang mereka pegang diterangi dan mereka dipimpin ke kampung berhampiran. Bola-bola api telah kelihatan di langit malam Ba Kelalan. 
Keseluruhannya, Kebangunan Rohani Bario telah muncul dalam 4 gelombang dalam jangka masa 10 tahun di antara 1973 hingga 1984. 
(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christianity Malaysia yang bertajuk, "The Bario Revival: Its Background Context and Beginnings" yang ditulis oleh Jason Law bertarikh 17 Julai 2015)