Isnin, 30 Oktober 2017

Penculik Koh Mungkin Belajar Daripada TV, Kata Khalid


MEREKA yang menculik Pastor Raymond Koh dengan cara profesional boleh mendapatkan kemahiran itu daripada menonton telivisyen, kata bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada panel siasatan Suhakam hari ini.

Pesara polis tertinggi negara itu disepina untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam siasatan misteri kehilangan pastor dan tiga lagi rakyat Malaysia.

Berdasarkan rakaman penculikan, Khalid mengakui yang operasi itu kelihatan tersusun rapi tetapi beliau pernah melihat yang lebih baik.

Menjawab soalan peguam dari Majlis Peguam sama ada penculik bertopeng yang memandu tiga SUV hitam itu kelihatan profesional, Khalid mengatakan mereka boleh belajar tindakan itu daripada “filem atau TV”.

Ditanya jika beliau percaya penculikan itu adalah “operasi khas”, Khalid menjawab “tidak”.

Khalid mengesahkan yang beliau memberitahu keluarga Koh supaya tidak bercakap kepada media atau menghadiri majlis vigil yang diadakan untuknya, kerana tidak mahu siasatan diganggu.

“Saya beritahu isteri Koh, Susanna Liew yang kami akan buat apa sahaja untuk siasat kejadian itu. Saya juga minta kerjasama mereka,” katanya.

Peguam dilantik keluarga Koh mengingatkan Khalid yang tiga kumpulan aktivis sosial telah membawa kes itu kepada Kumpulan Kerja Kehilangan Paksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan PBB menyifatkan kekurangan progres dalam kes itu kerana tiadanya tindakan polis.

Menjawabnya, Khalid mengatakan terdapat 10,207 orang dilaporkan hilang antara 2014 sehingga bulan lepas.

“Sejak 2014 sehingga sekarang, 751 orang masih lagi hilang.

“Mengapa PBB tak bercakap tentang yang lain? Mereka kata tiada tindakan kerana laporan dibuat kepada PBB.”

Ditanya mengenai dakwaan isteri Koh yang polis menyiasat suaminya kerana dakwaan “menyebarkan agama ( Kristian)” dan bukannya kehilangannya, Khalid mengatakan laporan polis dibuat di Perlis ke atas pastor itu atas dakwaan “memurtadkan orang”.

“Kami siasat Koh dari semua sudut. Kami perlu lihat latar belakang dan aktivitinya.

“Kami juga lakukan siasatan utama (penculikan).”

Keluarga Koh berulang kali mengadu yang mereka tidak menerima perkembangan siasatan daripada polis tentang penculikan pastor yang berlaku pada 13 Febuari itu.

Mereka juga mengatakan sepanjang soal siasat, polis kelihatan lebih berminat dengan sama ada Koh bersalah kerana “memurtadkan orang”.

Selepas sesi pendengaran kes hari ini, anak lelaki pastor, Jonathon Koh berkata yang dia kecewa dengan cara soal jawab polis.

“Polis lebih berminat untuk tahu sama ada Koh memurtadkan orang.

“Saya kecewa kerana mereka tak berminat dengan penculikannya dan kurangnya maklumat diberikan.

“Mereka juga bertanyakan tentang lawatannya ke perkampungan di Kedah untuk memurtadkan orang,” kata Jonathan kepada panel Suhakam.

Panel itu juga menyiasat kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth yang kali terakhir dilihat November tahun lepas, serta aktivis Amri Che Mat yang juga dilaporkan hilang tahun lepas.

Siasatan panel itu bermatlamat untuk menentukan sama ada kehilangan itu adalah sejenis kehilangan paksaan, terma yang digunakan untuk menggambarkan penculikan dilakukan pihak penguasa atau organisasi politik.

Panel itu terdiri daripada Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleha.

Saksi yang sudah memberikan keterangan ialah anak lelaki Koh, Jonathan Koh, isteri Koh, Susanna Liew, Roeshan Gomez yang memandu di belakang kereta Koh ketika penculikan berlaku dan Pengarah Harapan Komuniti G. Sri Ram. – 30 Oktober, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Penculik Koh Mungkin Belajar Daripada TV, Kata Khalid" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 30 Oktober 2017)