Isnin, 30 Oktober 2017

Penculikan Pastor Koh: Khalid Akui Polis Terlepas Pandang


Peguam keluarga Koh berkata polis tidak lakukan apa yang ahli keluarga Koh lakukan seperti mendapatkan rakaman CCTV.

KUALA LUMPUR: Bekas ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengaku pihaknya terlepas pandang beberapa perkara dalam penyiasatan kes penculikan Pastor Raymond Koh pada 13 Februari lalu.

Khalid berkata, beliau setuju dengan kenyataan peguam mewakili keluarga Koh, Gurdial Singh Nijar yang membangkitkan mengenai isu rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Gurdial berkata polis tidak lakukan apa yang ahli keluarga Koh lakukan.

“Ahli keluarga pergi ke lokasi kejadian, mengambil gambar di lokasi. Rakyat biasa lakukan tugas yang sepatutnya anggota polis lakukan.

“Polis tidak pernah kemukakan rakaman CCTV, sebaliknya ahli keluarga ini mampu dapatkan 3 rakaman CCTV. Ini adalah tindakan yang tidak boleh dilakukan pegawai penyiasat polis.

“Ahli keluarga yang mengetuk pintu jiran-jiran, untuk dapatkan rakaman CCTV itu. Adakah anda (Khalid) setuju dengan kenyataan bahawa siasatan seperti ini tidak boleh diterima,” soal Gurdial kepada Khalid, yang dipanggil memberi keterangan di siasatan terbuka mengenai kehilangan Koh dan 3 individu lain di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Khalid secara ringkas menjawab “ya” di depan barisan pesuruhjaya Suhakam iaitu Datuk Mah Weng Kwai sebagai pengerusi siasatan, Datuk Dr Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Khalid merupakan saksi ke-5 yang dipanggil turut mengakui, selepas melihat rakaman dari CCTV, beliau mendapati penculikan itu sememangnya diatur namun dilakukan secara kelam-kabut.

“Saya percaya ia diatur, tetapi pada saya (penculikan) dilakukan dalam keadaan kelam kabut. Bahkan ada lagi penculikan yang lebih terancang daripada ini.

“Saya pernah melihat penculikan lebih terancang, penculikan yang berlaku di Setapak, Kuala Lumpur sebelum ini. Mereka mempelajarinya dari filem aksi.

“Untuk orang biasa, mungkin penculikan Pastor Koh itu dilakukan secara terancang, tetapi pada saya tidak,” katanya.

Sewaktu memberi keterangan, Khalid enggan menjawab beberapa pertanyaan Gurdial dibimbangi menjejaskan siasatan terutamanya maklumat mengenai kerjasama polis Malaysia dan polis Thailand.

Sebelum ini pada 25 Julai lalu, Khalid percaya kehilangan Pastor Koh mempunyai kaitan dengan kumpulan yang diketuai seorang individu yang menjadi dalang penyeludupan senjata api dan dadah yang ditembak mati di Ulu Lenggong, Kedah, pada 17 Jun lalu.

Siasatan polis mendapati kumpulan berkenaan turut mempunyai jaringan dengan aktiviti penyeludupan manusia di selatan Thailand.

Koh, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb lalu, semasa beliau memandu sebuah kereta Honda Accord bernombor plat ST 5515 D.

Beliau diculik semasa dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya. Video insiden itu menunjukkan ia satu rancangan rapi melibatkan 10 individu dan 7 buah kenderaan di siang hari.

Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat.

Sehingga kini, masih tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran yang wang bukan motif penculikan itu.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Penculikan Pastor Koh: Khalid Akui Polis Terlepas Pandang" yang ditulis oleh Adam Abu Bakar bertarikh 30 Oktober 2017)