Pemimpin-pemimpin gereja dan peguam-peguam untuk Bumiputera Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill dan beberapa peguam yang menjadi pemerhati (Foto: The Malay Mail Online) |
PENGGUNAAN kalimah “Allah” bukanlah tindakan yang
bertentangan dengan mana-mana undang-undang tentang kesejahteraan awam, hujah
peguam yang mewakili seorang wanita beragama Kristian yang cakera padat agamanya
dirampas pihak berkuasa.
Peguam, Lim Heng Seng memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur, Perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan menetapkan “perkara ini
tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang
undangan yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip
moral.”
Lim mewakili Jill Ireland Lawrence Bill, seorang Bumiputera
Melanau Sarawak beragama Kristian.
Turut hadir di mahkamah adalah peguam mewakili 10 kumpulan
Kristian termasuklah Persekutuan Kristian Malaysia, Sidang Injil Borneo
(SIB), Majlis Gereja Sabah, Persatuan Gereja Sarawak dan MCA.
Peguam, Shamsul Bolhassan mewakili Kementerian Dalam Negeri
dan kerajaan.
Dalam penghujahan kepada Hakim Nor Bee Ariffin hari ini, Lim
berhujah yang penggunaan kalimah “Allah” oleh pengadu dan penganut agama
sepertinya bukanlah “perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang undangan
yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.”
“Dia tidak bertindak dalam cara yang melanggar Perkara 11
(5) Perlembagaan Persekutuan. Tiada undang-undang awam yang berkaitan dengan
kesejahteraan awam atau kesihatan awam atau moraliti yang menghalang penggunaan
kalimah itu,” katanya.
“Kita ada kuasa untuk menguruskan ancaman yang berkaitan
keselamatan awam,” kata Lim, menambah yang pengharaman penggunaan Allah akan
menganggu hubungan antara agama.
“Ia sama seperti seorang Iban terbang dari Malaysia Timur
dan (perlu) mengisytiharkan sama ada dia memiliki senjata api atau dadah. Sama
juga, jika seorang Kristian (terbang ke Malaysia Barat), dia perlu
mengisytiharkan sama ada buku agamanya mengandungi kalimah Allah. Biar ada
keseimbangan Yang Arif. Negera tidak berhak untuk menentukan bagaimana anda
percayai dan siapa anda percayai.”
Permohonan semakan kehakiman itu timbul selepas Jill
memutuskan untuk enggan menyerahkan lapan keping cakera audio pendidikan
Kristian di bawah peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).
Kementerian Dalam Negeri merampas lapan cakera padat yang
mempunyai kalimah “Allah” daripada Jill di Terminal Penerbangan Tambang Murah
(LCCT) di Sepang pada 11 Mei 2008.
Pada Ogos 2008, dia memfailkan semakan kehakiman supaya
kementerian memulangkan cakera padat itu yang dibelinya untuk kegunaan
peribadi. Pengadu menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan dalam semakan
kehakiman itu.
“Tiada keraguan yang penggunaan kalimah 'Allah' adalah
amalan agama Kristian,” kata Lim.
“Ini adalah soal sejarah. Kristian dan gereja yang
menggunakan BM (Bahasa Melayu) dalam amalan dan majlis Kristian menggunakan
kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan.
“Ini adalah amalan komuniti Bumiputera Kristian di Sabah dan
Sarawak serta Orang Asal dan Baba di Semenanjung Malaysia. Mereka menggunakan
Kitab Suci mereka, Alkitab dalam BM yang merujuk Tuhan dengan kalimah ‘Allah’,”
hujahnya.
Lim berkata penggunaan kalimah “Allah” adalah amalan yang
diikuti berkurun lamanya dan “bergenerasi lamanya” sebelum Merdeka pada 1957
dan pembentukan Malaysia pada 1963.
Dia juga berhujah yang kalimah itu sudah muncul dalam Kitab
Suci Kristian sejak awal kurun ke-17 sehingga awal kurun ke-20, dengan merujuk
kepada Kitab Bible pertama berbahasa Melayu yang diterjemahkan oleh M.
Leijdecker pada 1733.
Pekeliling Kerajaan 1986 langgar Perlembagaan
Lim merujuk kepada Pekeliling Kerajaan 1986 yang
dilaksanakan di bawah PPPA yang melarang semua penerbitan Kristian menggunakan
kalimah “Allah”. Penerbitan Kristian boleh dikenakan tindakan hanya kerana penggunaan
kalimah itu tanpa mengambil kira kandungan penerbitan.
“Pekeliling Kerajaan 1986 adalah tidak sah secara
undang-undang dan melanggar Perlembagaan. Ia mencabuli hak (Jill) dan penganut
agama sepertinya yang menggunakan BM untuk mengamalkan ajaran agama mereka
seperti dijamin di bawah Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan.”
“(Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan) telah melampaui
bidang kuasa mereka dan mengabaikan tanggungjawab keberkecualian dan
kesaksamaan dan “menunjukkan bias yang jelas dan berat sebelah dalam
melaksanakan kuasa eksekutif mereka.”
Lim seterusnya berhujah yang komuniti Kristian di Malaysia
Timur menggunakan Bahasa Melayu dalam ajaran dan amalan kepercayaan Kristian
mereka menggunakan kalimah “Allah” yang merujuk kepada “Tuhan Pencipta
Teragung”.
“Kitab suci mereka, Alkitab dan semua bahan penerbitan dalam
BM menggunakan kalimah suci ini. BM juga digunakan dalam buku sembahyang
mereka, arahan agama dan penyembahan serta latihan.”
Lim berhujah yang penganut Kristian yang beribadat dalam
bahasa Melayu menggunakan kalimah “Allah” bergenerasi lamanya dan ia sudah
sebati dalam setiap aspek kehidupan penganut agama itu, menambah yang kalimah
“Allah” digunakan dalam setiap aspek kepercayaan, ibadah, sembahyang dan
pendidikan agama komuniti itu, daripada majlis baptis kelahiran sehinggalah
kepada perkahwinan dan majlis pengebumian.
“Kristian yang memegang dan mengamalkan kepercayaan mereka
menggunakan BM sudah menggunakan ‘Allah’ sepanjang kehidupan mereka dan
menganggap kalimah ‘Allah’ itu suci. Untuk mengharapkan mereka menggunakan nama
lain sekarang adalah tidak adil, kasar dan menindas.”
Lim merujuk kepada kenyataan pengawai penguatkuasa kanan
Jabatan Kastam, Suzanah Muin berkaitan rampasan buku itu yang mengatakan
kalimah “Allah” eksklusif kepada agama Islam sahaja.
“Ia mendedahkan kepincangan asas dalam memahami Perkara 3
Perlembagaan Persekutuan. Mereka (responden) juga terkhilaf apabila mengatakan
kalimah ‘Allah’ hanya untuk Islam. Pandangan mereka ini berpunca daripada
pendapat yang penganut Kristian mempunyai kefahaman lain tentang Allah
berbanding orang Islam, dan kalimah ‘Allah’ adalah kata nama khas dan perkataan
itu hanya unik berkait dengan Tuhan dalam Islam.
Lim memetik empat ulama Islam Malaysia iaitu Abdul Hadi
Awang, Wan Ji Wan Hussin, Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin dan Mujahid Yusof
Rawa yang berpendapat orang Islam dan bukan Islam menggunakan rujukan yang sama
kepada Allah. Mereka menggunakan ayat Al-Quran dan Hadis yang mengesahkan
Kristian dan Yahudi juga menggunakan kalimah “Allah”.
Semakan kehakiman itu mahu mengisytiharkan yang Jill bersama-sama
penganut Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak mempunyai hak dijamin
Perlembagaan untuk mengamalkan agama Kristian mereka dengan “bebas dan
tanpa halangan” termasuklah hak menggunakan semua terminologi agama dalam
bahasa Melayu dan Indonesia dengan cara yang sama sejak negeri Borneo itu
menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia pada 1963.
Pendengaran kes ditangguhkan kepada 2 November depan,
pasukan pembelaan kerajaan dan kementerian akan membentangkan hujah mereka. –
19 Oktober, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Penganut Kristian Guna Kalimah Allah 'Tak Langgar Undang-Undang Awam'" yang ditulis oleh Bede Ong bertarikh 19 Oktober 2017)