Seorang pegawai penyiasat (IO) dalam kes kehilangan Paderi
Raymond Koh berkata, bahawa apa yang berlaku adalah sama seperti operasi polis,
dakwa seorang saksi.
Roeshan Celestine Gomez mendakwa perkara itu disampaikan
kepadanya oleh IO dari Pejabat Polis Kelana Jaya, ketika beliau membuat laporan
berhubung kejadian tersebut.
"Dia beritahu tidak perlu bimbang kerana kejadian
kelihatan seperti modus operandi operasi polis," kata Gomez semasa sidang
pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.
"(IO) kata kejadian berlaku pada siang hari, berlaku
begitu cepat ... Dia kata, hakikat bahawa seseorang sedang merakamkan video,
dia kata ini sama kaedah operasi polis," kata Gomez.
Pengerusi panel Suhakam itu, Datuk Mah Weng Kwai,
mengingatkan bahawa ini semua itu adalah semata-mata dakwaan buat masa ini.
Gomez adalah saksi pertama dalam pendengaran Suhakam
mengenai kehilangan beberapa individu tahun ini.
Koh diculik pada 13 Februari lalu di Petaling Jaya. Rakaman
video kejadian itu menggambarkan beliau dilarikan oleh beberapa lelaki
bertopeng di jalan yang sibuk.
Gomez terserempak dengan kejadian itu ketika dalam
perjalanan menuju satu pengkebumian.
Beliau adalah pemandu Myvi putih yang boleh dilihat berundur
dari tempat kejadian dalam versi rakaman CCTV yang tidak disunting.
Dalam pendengaran hari ini, Gomez berkata beliau
mengundurkan keretanya apabila seorang lelaki, yang dirakamkan dalam video
berkenaan berjalan ke arah keretanya dan dengan marah memberi isyarat supaya
dirinya meninggalkan kawasan itu.
Saksi berusia 25 tahun itu berkata apa yang dilihatnya itu
ibarat adegan dari sebuah filem, dan penculik berpakaian seperti pasukan SWAT
(Senjata dan Taktik Khas).
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Saksi: IO Kata Penculikan Paderi Seperti Ops Polis" yang ditulis oleh Zikri Kamarulzaman bertarikh 19 Oktober 2017)