Roeshan Gomez, saksi pertama kes penculikan Ps Raymond Koh memberi keterangan kepada Suhakam |
PENCULIKAN Pastor Raymond Koh sama dengan bagaimana polis
menjalankan operasi, siasatan awam Suhakam ke atas kehilangan Koh dan tiga yang
lain diberitahu hari ini.
Saksi pertama siasatan Roeshan Gomez, yang memandu di
belakang Proton Waja berwarna perak (terdahulu laporan menyebut Koh memandu
Proton Waja berwarna perak), berkata beliau menyaksikan penculikan itu.
"Saya memandu ke krematorium ketika saya melihat kereta
Waja (Proton) perak di hadapan saya.
Kemudian saya lihat lima hingga enam orang
dalam empat SUV. Kemudian saya melihat dua orang bergelut dalam kereta. Salah
seorang cuba menarik orang lain keluar.
"Rakan yang bersama saya cuba merakamkan video tetapi
kami dihalang oleh seorang lelaki India yang berdiri di hadapan kereta kami.
Kami kemudian mengundur... dan meninggalkan tempat kejadian."
Gomez, 25 tahun yang bekerja di firma guaman berkata, beliau
kemudiannya membuat laporan polis Kelana Jaya.
Selepas menggambarkan kejadian kepada pegawai penyiasat
Inspektor Ali Asra, polis kemudiannya didakwa memberitahunya berdasarkan
gambaran yang diberi, "ia berkemungkinan sama dengan bagaimana polis
menjalankan operasi."
Gomez kemudiannya ditunjukkan tiga rakaman kamera litar
tertutup (CCTV) penculikan itu pada 13 Februari dan diminta mengesahkan
sekiranya SUV dan lelaki sama yang dilihatnya dan rakannya ketika insiden
itu.
Saksi bagaimanapun tidak dapat mengingati apa-apa nombor
pendaftaran kenderaan.
Tiga hari kemudian saksi dipanggil ke ibu pejabat polis
daerah Petaling Jaya bagi membantu proses foto fit suspek berbangsa
India.
Tiada maklum balas daripada pihak polis selepas itu
sehinggalah pada 7 Julai, Gomez dipanggil oleh pihak polis yang menyatakan
suspek sudah ditahan dan mahu beliau mengenal pasti suspek daripada kawad
cam.
"Terdapat tiga barisan yang terdiri daripada dua
barisan kumpulan Melayu dan satu barisan kumpulan India.
"Saya memberitahu polis, saya tidak dapat mengenal
pasti sesiapa. Polis kemudiannya meminta saya menandatangani satu dokumen
bahawa saya tidak dapat mengenal pasti sesiapa," kata Gomez yang ditemani
peguamnya.
Beliau memberitahu siasatan awam itu, polis memberitahunya
mereka menahan suspek di Kedah di mana mereka turut menemui nombor pendaftaran
kenderaan Koh. – 19 Oktober, 2017
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Penculikan Pastor Raymond Sama Dengan Operasi Polis" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 19 Oktober 2017)