Jumaat, 20 Oktober 2017

Pastor Koh, Isteri Sering Ditahan Imigresen Selepas Serbuan Gereja

Susanna Liew, isteri kepada Pastor Raymond Koh  memberi keterangan
kepada Suhakam (Foto The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin)

PASTOR Raymond Koh yang masih hilang bersama isterinya Susanna Liew sering ditahan oleh Jabatan Imigresen dan dirujuk kepada Cawangan Khas, selepas satu serbuan dibuat jabatan agama di sebuah gereja, enam tahun lalu ketika Koh menganjurkan majlis makan malam yang turut dihadiri orang Melayu.

Liew memberitahu perkara itu kepada siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai kehilangan suaminya dan tiga lagi aktivis lain, hari ini.

Pegawai Suhakam bertanya kepada Liew adakah Koh, 62, pernah diganggu sebelum penculikan itu berlaku pada 13 Februari tahun ini.

Liew berkata Koh ada menerima sepucuk surat dan dua peluru selepas serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika program makan malam anjuran Koh di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada Ogos 2011.

“Kami juga ditahan di imigresen Malaysia ketika hendak ke Singapura dan beberapa negara lain.

“Koh ditahan sembilan kali dan saya tujuh kali ketika hendak ke Singapura. Setiap kali itu, kami dirujuk kepada polis (Cawangan Khas),” katanya.

Liew ialah saksi pertama hari ini, dalam persidangan hari kedua siasatan awam Suhakam untuk mencari jawapan kepada kehilangan Koh dan Joshua Hilmy, isterinya Ruth dan Amri Che Mat, sama ada ia kes enforced disappearance, istilah yang menggambarkan penculikan melibatkan pihak berkuasa.

Makan malam di DUMC itu ialah acara pada hari kesyukuran anjuran Koh untuk organisasi amalnya, Harapan Komuniti yang membantu golongan tidak bernasib baik.

Menjawab soalan sama ada Harapan Komuniti terbabit dalam dakwah, Liew berkata suaminya dengan jelas memberitahu sukarelawan supaya tidak mengadakan dakwah atau bercakap mengenai agama di situ.

“Sukarelawan datang daripada pelbagai latar belakang dan kaum,” katanya kepada siasatan awam.

Liew juga berkata selepas sering ditahan imigresen Malaysia, dia dan Koh ada memikirkan untuk berhijrah ke Australia.

"Kami mahu tinggalkan negara tetapi Raymond kata dia sangat sayangkan Malaysia."

Terdahulu, beliau memberitahu bagaimana beliau ditanya oleh pegawai polis sama ada suaminya terbabit dalam gerakan dakwah yang memurtadkan, selepas membuat laporan kes orang hiang.

Katanya, beliau ditanya soalan itu berulang kali.

Siasatan itu dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh di Menara TH di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. – 20 Oktober, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Pastor Koh, Isteri Sering Ditahan Imigresen Selepas Serbuan Gereja" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 20 Oktober 2017)