Isteri Raymond Koh, Susanna Liew mula teresak-esak ketika
menjawab soalan berhubung reaksinya selepas Koh menerima ugutan bunuh pada
2011.
"Saya masih ingat, pagi itu saya menangis dan menelefon
kawan, kerana saya merasakan keadaan menjadi semakin bahaya. Malah saya
menimbang untuk berhijrah ke Australia, tetapi suami saya cintakan negara ini.
Beliau mahu kekal di Malaysia.
"Maka kami tinggalkan rumah buat sementara, dan tinggal
di tempat lain selama dua bulan. Seorang kawan benarkan kami tinggal di
rumahnya," katanya sambil menangis.
Sidang kemudian ditangguhkan selama 15 minit hingga pukul
11.15 pagi, dan Liew meneruskan keterangannya.
Pada 23 Ogos 2011, rumah mereka menerima bungkusan berisi
dua biji peluru dan surat yang mengandungi amaran keras.
Ia berikutan serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor
(Jais) ke program Komuniti Harapan, NGO pimpinan Koh, tiga minggu sebelumnya
kerana didakwa Koh menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam.
Sementara itu, Liew juga memberitahu polis telah mengarahkan
pihak keluarga agar tidak tidak bercakap kepada media dan menghadiri acara
nyalaan lilin.
Beliau berkata, polis memberitahunya tentang larangan itu
ketika pertemuan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten
Komisioner Fadzil Ahmat pada 6 Mac lalu, dan ditegaskan sekali lagi oleh ketua
polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam pertemuan pada 23 Mac.
Katanya, Khalid memberitahu yang "ia menyukarkan
keadaan...penculik mungkin menjadi senyap dan sukar untuk mencari mereka."
Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari lalu.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Ditanya Soal Ugutan Bunuh, Isteri Paderi Gagal Menahan Air Mata" yang ditulis oleh Koh Jun Lin bertarikh 20 Oktober 2017)