Paderi Raymond Koh memberikan arahan khusus agar sukarelawan
NGO Komuniti Harapan yang dipimpinnya tidak menyebarkan agama dalam program
mereka, kata isterinya Susanna Liew.
Beliau berkata Koh tidak lagi menjalankan kebanyakan kerja
berkaitan agama ketika menubuhkan NGO itu pada 2004, walaupun masih dipanggil
sebagai 'paderi' dan memberikan khutbah di pelbagai gereja.
Berhubung kerja amalnya, Liew berkata "Raymond secara
khusus memberitahu sukarelawan ketika orientasi agar tidak menyebarkan dan
bercakap tentang agama."
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai
saksi kedua sidang
pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung
kehilangan Koh dan tiga individu lain, hari ini.
Selain Koh, turut hilang adalah aktivis Amri Che Mat, paderi
Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Hilmy.
Sebelum ini timbul spekulasi bahawa penculikan Koh berkaitan
dengan dakwaan beliau menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam, dan beliau
dikatakan menerima ugutan bunuh ekoran dakwaan itu.
Liew berkata, Komuniti Harapan membantu golongan miskin
tanpa mengira kaum dan agama, termasuk orang Islam.
Katanya, ia bukanlah pertubuhan Kristian, sebaliknya bebas
daripada mana-mana agama.
Katanya lagi, NGO itu antaranya mengendalikan bilik bacaan
di Petaling Jaya, yang menyediakan ensiklopedia, buku rujukan SPM dan komputer.
NGO itu juga menyumbangkan barangan keperluan kepada ibu
tunggal, dan membantu mereka mendapatkan pendapatan melalui penjualan roti dan
kek serta barang kemas buatan tangan, katanya lagi.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "'Paderi Koh Arah Jangan Sebar Agama Dalam Program NGO'" yang ditulis oleh Koh Jun Lin bertarikh 20 Oktober 2017)