Selasa, 14 November 2017

70% Soalan Tentang Cubaan Tukar Agama, Panel Suhakam Diberitahu


LEBIH 70% soalan polis kepada isteri Pastor Raymond Koh yang hilang, Susanna Liew, selepas penculikannya adalah berkenaan Kristianisasi, siasatan Suhakam diberitahu hari ini. 

Peguam keluarga Koh Steven Thiru meminta ASP Supari Mohammad yang merupakan pegawai penyiasat kes Koh, menjelaskan mengapa ketika tiga sesi soal siasat polis terhadap Liew, semua soalan adalah berkaitan dakwaan Kristianisasi Koh. 

Thiru kemudiannya berkata, polis nampaknya memfokuskan kepada satu perkara sahaja - Kristianisasi. 

Supari tidak bersetuju dengan kebanyakan soalan berkenaan dengan subjek itu. 

"Kita tidak hanya memfokuskan tentang Kristianisasi tetapi juga perkara lain. Kita bertanyakan tentang akaun bank, hutang, aktiviti dan maklumat yang disebarkan Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) tentang aktivitinya," katanya. 

Siasatan awam Suhakam memasuki hari ketujuh hari ini dengan Supari dipanggil sekali lagi untuk memberi kenyataan berhubung kehilangan Koh dan tiga yang lain.

Supari berkata ketika menyoal siasat (Liew), beliau mengurangkan fokus kepada isu (Kristianisasi).

Beliau memberitahu suruhanjaya bahawa mereka juga cuba untuk melihat sekiranya terdapat permintaan wang tebusan.

Thiru kemudiannya berkata Liew menjadi marah kerana fokus kepada soal siasat itu adalah mengenai cubaan menukar agama oleh Koh dan bukan untuk mencari suaminya. 

"Semasa tiga sesi kira-kira 70% ke 80% soalan adalah berkenaan cubaan menukar agama dan ia menyebabkan Liew marah.

"Memang difahami beliau marah dan menjerit ke arah kamu," katanya.

Supari berkata, memang difahami Liew sedang marah tetapi beliau hanya cuba membantunya. 

"Saya faham dia adalah isteri mangsa. Memang dia ada tinggikan suara kepada saya tapi tak mengapa."

Liew disoal siasat oleh polis berhubung kehilangan Koh pada 13 Februari, iaitu pada hari kehilangannya dan pada 14 dan 16 Februari. 

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai menpengerusikan panel, yang turut disertai pesuruhjaya Suhakam Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleha.

Suruhanjaya siasatan Suhakam ditubuh bagi menentukan sama ada kehilangan Koh dan tiga yang lain - Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth dan aktivit sosial Amri Che Mat - adalah kes kehilangan paksa, iaitu penculikan yang dibuat dengan kuasa atau sokongan negeri atau organisasi politik. – 14 November, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysia Insight bertajuk, "70% Soalan Tentang Cubaan Tukar Agama, Panel Suhakam Diberitahu" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 14 November 2017)