Datuk Ruhanie Ahmad, Naib Presiden Perkasa |
PERKASA akan mengkaji transkrip prosiding inkuiri
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) selepas pertubuhan pendesak hak Melayu
itu dikaitkan dengan kes penculikan Paderi Raymond Koh.
Naib Presiden PERKASA Datuk Ruhanie Ahmad berkata beliau
kesal dengan kenyataan pegawai penyiasat kes Supari Muhammad dalam inkuiri
Suhakam itu yang mana beliau bersetuju bahawa pertubuhan itu relevan dalam kes
ini.
Soalan itu ditanyakan Jerald Gomez, peguam yang mewakili
keluarga Koh kepada Supari yang memaklumkan PERKASA melindungi pendakwah
kontroversi India Zakir Naik.
"Kenyataan ASP Supari ini menimbulkan implikasi yang
serius kepada PERKASA yang matlamat utama penubuhannya adalah untuk
mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, dalam konteks pemeliharaan
keselamatan nasional.
"PERKASA akan mendapatkan transkrip penuh kenyataan ASP
Supari daripada Suhakam. Kemudiannya, PERKASA akan menyerahkan manuskrip
kenyataan ini untuk dikaji oleh pihak peguam," kata beliau.
Tafsiran 'ekstremisme'
PERKASA juga ingin mentafsirkan maksud 'ekstremisme'.
Katanya berjuang untuk mempertahankan keluhuran perlembagaan
bukan kes 'ekstremisme'.
"PERKASA, dengan ini, menasihati pelbagai pihak di
Malaysia, agar semua kenyataan atau persepsi mengenai ekstremisme, radikalisme
dan terorisme hendaklah dibuat berdasarkan kajian ilmiah dan empirikal yang
komprehensif," kata beliau lagi dalam kenyataan media hari ini.
Sekumpulan individu bertopeng dan bersenjata menculik Koh di
Petaling Jaya pada Februari lalu.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "PERKASA Kaji Transkrip Inkuiri Suhakam Kaitkannya Dengan Kes Paderi Koh" bertarikh 14 November 2017)