Panel Suhakam Mah Weng Kwai (kanan), Aishah Bidin (tengah), dan Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleha |
POLIS hari ini memohon maaf kepada peguam keluarga Pastor
Raymond Koh berkenaan dakwaan memalsukan bukti pada pendengaran awam
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Pemerhati polis daripada Jabatan Pendakwaan dan
Undang-Undang Bukit Aman ASP Nuzulan Din berkata mereka meminta maaf kepada
peguam dan ahli panel berkaitan dakwaan itu.
“Kami menarik balik dakwaan ‘cut and paste’ dan meminta maaf
kepada panel dan peguam.
“Tetapi kami masih tegas mengatakan yang peguam perlu
menunjukkan semua gambar kepada kami kerana ia boleh mengelirukan,” katanya.
Polis menuduh peguam keluarga Koh cuba mengelirukan panel
dengan menunjukkan sekeping gambar hasil kerja “cut and paste” pada 3 November
lalu ketika menyoal siasat Inspektor Ali Asrar.
Peguam keluarga Koh menunjukkan gambar dua anggota polis
memakai penutup muka tanpa lencana polis di pakaian sedang menahan seorang
suspek.
Nuzulan berkata foto yang menjadi bahan bukti itu digunakan
untuk mengelirukan saksi.
“Kami ke laman (www.beritaharian.sg)
dan foto itu berbeza daripada foto yang ditunjukkan peguam.”
“Foto itu mempunyai lencana polis.”
Nuzulan memohon supaya panel membuang foto itu daripada
senarai bahan bukti dan meminta kenyataan saksi digugurkan.
Katanya mereka mahukan penarikan semula kenyataan dan foto
atau tindakan akan diambil di bawah Seksyen 192 Kanun Keseksaan kerana
kesalahan memalsukan bahan bukti.
Peguam keluarga Koh, Jerald Gomez telah membuat bantahan kepada Nuzulan, memintanya untuk melihat galeri foto dari laman web di mana mereka telah memperoleh foto itu.
Dia berkata terdapat dua foto pada laman itu.
"Sesiapapun yang mengunjungi laman itu dapat mengenalpasti bahawa terdapat dua foto.
"Tujuannya adalah untuk menanya pegawai penyiasat samada polis menjalankan operasi dengan pakaian seragam yang tidak mempunyai lencana. Adakah ini satu yang bersifat mengelirukan?"
Peguam-peguam itu kemudiannya menunjukkan panel itu dua foto yang ada pada laman itu.
Pengerusi panel Mah Weng Kwai kemudian memanggil Nuzulan serta peguam-peguam itu dan menjelaskan bahawa terdapat dua foto pada laman itu dan tidak ada perbuatan 'cut and paste'.
Dia menjelaskan ini kepada Nuzulan, yang kemudiannya mengatakan bahawa mereka akan menarik balik aduan mereka.
Bagaimanapun, peguam keluarga Koh, Steven Thiru memohon panel untuk meminta Nuzulan menarik balik dakwaan mereka.
Panel itu kemudian memberitahu pemerhati-pemerhati polis dan peguam-peguam itu untuk membincangkan perkara itu dengan panel secara tertutup.
Selepas perbincangan 20 minit, Mah berkata pemerhati-pemerhati polis telah menjelaskan bahawa perkataan 'mengelirukan' bukan bermaksud 'untuk mengelirukan' tetapi bermaksud 'boleh membawa kekeliruan' .
"Perkara ini telah diterima dan membawa kesudahan kepada isu 'mengelirukan'".
Peguam keluarga Koh, Gurdial Singh kemudian berkata bahawa kekeliruan itu hanya wujud dalam pemikiran polis.
Panel sepatutnya mendengar keterangan Ketua CID Selangor, SAC Fadzil Ahmat hari ini tetapi oleh kerana masa yang tidak mencukupi, dia tidak dipanggil untuk memberi keterangan.
(Diambil dan diterjemah daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Polis Minta Maaf Tuduh Peguam Pastor Hilang Palsukan Foto" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 15 November 2017)