Rabu, 17 Januari 2018

Lebih Banyak Persoalan Mengenai Kehilangan Koh Selepas Suspek Didakwa


SUSPEK yang didakwa menculik Pastor Raymond Koh semalam sebelum ini dikatakan tidak terlibat dengan kehilangan mangsa menurut pihak polis, kecuali cubaan memeras ugut wang daripada anak mangsa, kata peguam keluarga Koh.

Peguam Gurdial Singh menyatakan rasa terkejut apabila suspek didakwa kerana menculik pada Jumaat, sebelum siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan Koh dan beberapa individu lain bersambung.

Terdahulu hari ini, pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, yang mengetuai panel siasatan itu memberitahu suruhanjaya menerima surat daripada polis semalam bahawa mereka telah mendakwa suspek kerana menculik di mahkamah Petaling Jaya. 

Oleh itu, siasatan tidak boleh diteruskan kerana perkara itu dibawa ke mahkamah. 

Pemandu sambilan Lam Chang Nam didakwa kerana memeras ugut RM30,000 daripada anak Koh, Jonathan untuk pembebasan ayahnya. 

Menurut peguam Lam, Aaron Mark Pius, kes pemerasan itu akan dibicarakan dan saksi pertama sudah dipanggil dan memberi keterangan. 

Bagaimanapun, Pius berkata beliau terkejut apabila Lam didakwa kerana menculik pada Isnin. 

Gurdial memberitahu The Malaysian Insight, polis dalam satu laporan media pada Mac tahun lalu berkata Lam tidak terlibat dalam penculikan Koh. 

"Ketika siasatan awam, bekas Ketua Polis Negara (Khalid Abu Bakar) dan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Fadzil Ahmad) sudah bersumpah, dan berkata individu ini (Lam) tidak terbabit langsung. 

"Jadi kita tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku apabila pemerhati polis tidak hadir hari ini. Kami tidak mendapat penjelasan daripada mereka apa sebenarnya yang berlaku hingga menyebabkan perkara ini. 

"Saya terkejut siasatan digantung kerana ini," kata Gurdial kepada The Malaysian Insight. 

Mah berkata Suhakam akan meneruskan siasatan ke atas kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Johsua dan Ruth Hilmy. 

"Kami akan teruskan kes mereka apabila siasatan bersambung," katanya.

Panel Suhakam bertujuan untuk menentukan sama ada penculikan Koh, serta kehilangan tiga orang lagi pada tahun 2016, adalah kes-kes kehilangan paksa yang dijalankan oleh kerajaan.

Selain Mah, dua lagi panel pesuruhjaya terlibat adalah Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleha.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Lebih Banyak Persoalan Mengenai Kehilangan Koh Selepas Suspek Didakwa" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 16 Januari 2018)