Gereja Cina Methodist Kota Bharu (Foto: FB Info Roadblock JPJ/POLIS) |
POLIS Kelantan akan melakukan siasatan terperinci berhubung
kejadian khianat terhadap dua pusat ibadat membabitkan sebuah gereja dan kuil
Hindu di Jalan Hamzah di Kota Bharu, tengah malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata kejadian
tersebut disedari oleh penjaga gereja Methodist itu pada pukul 12 tengah malam
tadi selepas mendengar satu letupan berlaku di tingkat atas bangunan tersebut.
"Penjaga gereja itu kemudiannya ke tingkat dua gereja
dan mendapati cermin pusat ibadat itu pecah selain menemui satu tong penapis air
yang mempunyai kesan terbakar," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat
Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Hasanuddin berkata siasatan awal mendapati penapis air
berkenaan dicampak oleh suspek yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna
jenis Nissan Livina daripada laluan bertingkat ke Pasir Pekan.
Kuil Subramaniyar, Kota Bharu (Foto: FB Info Roadblock JPJ/POLIS) |
Hasanuddin berkata pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut
berhubung kes itu bagi mengetahui motif sebenar kejadian dan orang ramai yang
mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis Kota Bharu dan kes disiasat di
bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana khianat tempat ibadat.