Isnin, 8 Januari 2018

Tim Tebow Bersaksi Kisah Menakjubkan Yohanes 3:16


KESAKSIAN TIM TEBOW:

Banyak kali dalam kehidupan, saya merasa diri saya begitu tidak layak tetapi Tuhan akan melakukan saja sesuatu yang hebat pada ketika itu. Satu daripadanya terjadi semasa saya pelajar junior di Universiti Florida dan kami bersiap untuk bermain menentang pasukan Tennessee. Saya telah melihat beberapa rakan sepasukan saya meletakkan tompok hitam yang berbeza di bawah mata mereka, dan mereka menuliskan nama ibu mereka atau kawasan mereka di bawah mata mereka. Dan saya mula fikir jika saya boleh letak sesuatu di bawah mata saya yang mungkin boleh mendorong seseorang atau menginspirasi seseorang, saya berfikir ya Tuhan berkati idea ini. 

Filipi 4:13 Di Bawah Mata

Saya tidak tahu dan saya fikir ya Filipi 4:13. Saya boleh lakukan itu. Ya saya boleh lakukan segala sesuatu melalui Kristus yang memberi kekuatan kepadaku. Saya fikir itu ayat yang baik untuk seorang pemain football dan saya letakkannya di bawah mata saya. Kami diberkati, kami menang perlawanan itu menentang Tennessee. Itu bukan satu hal yang besar. Selepas perlawanan itu, beberapa akhbar menulis mengenai perlawanan itu tetapi ianya bukan suatu hal yang besar. 

Tetapi saya terus memakai ayat itu dalam setiap perlawanan, dan kamu mungkin juga tahu penyokong-penyokong Gators amat bersemangat, oleh itu lima atau enam minggu kemudian, mereka mula menjualnya di Kedai Buku Gators, di perpustakaan Florida. Dan beribu orang akan datang ke perlawanan dengan memakai Filipi 4:13 di bawah mata mereka, dan secara jujur saya fikir separuh daripada mereka tidak tahu apa ertinya.

Ada seorang lelaki yang namanya Phil (Fil) yang datang kepada saya dan berkata, "Hai, Adakah kamu letakkan itu di bawah matamu untuk saya?"

Saya kata, "Bukan, itu ayat Alkitab. Apakah yang kau katakan ini?"


Jadi kami sampai ke perlawanan kejuaraan SEC pada penghujung tahun, dan kami sedang bersiap untuk berlari keluar terowong stadium, dan sambil saya bersiap untuk berlari keluar terowong, saya benar-benar merasakan bahawa Tuhan sedang menaruh dalam hati saya untuk menggantikan ayat itu, dan saya fikir sekarang inikah? Tetapi saya menyedari jika kami menang, kami akan bermain dalam perlawanan kejuaraan kebangsaan di salah satu pentas terbesar yang dapat saya sertai, jadi itu akan menjadi kesempatan yang terbaik untuk menggantikan ayat itu. 

Ayat Filipus Diganti

Kami diberkati, kami menang perlawanan itu. Dalam enam minggu sebelum perlawanan kejuaraan kebangsaan, saya bergelut mengenai apakah ayat yang saya akan pakai, dan Tuhan terus meletakkan di hati saya dan fikiran saya Yohanes 3:16 kerana itulah inti Kekristianan kita, itulah inti pengharapan kita. "Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan beroleh hidup kekal." 

Itulah yang memberikan kita pengharapan sebagai orang Kristian, oleh itu saya ambil keputusan memakai ayat itu, dan dua hari sebelum perlawanan itu, saya ke bilik hotel ibu bapa saya di Miami, Florida dan saya katakan, "Mak dan Abah, saya ambil keputusan untuk menggantikan ayat itu dan pakai pula Yohanes 3:16." 

Emak saya dengan manis dan penuh sokongan mengatakan, "Oh bagus sekali, sayang." 

Ayah saya pula berkata, "Sudahkah kamu beritahu Jurulatih Meyer?" Sebab katanya, jurulatih itu suka rutin biasanya, dan punya kepercayaan karut, yang melebih-lebih. Jadi ayah kata saya benar-benar perlu beritahu dia. 

Tim Tebow dan Jurulatih Meyer semasa satu perlawanan

Kami sedang berlatih tak jauh dari situ, dan kami selesai latihan terakhir sebelum kejuaraan kebangsaan, saya berkata, "Hai Jurulatih Meyer, bolehkah saya bercakap dengan anda sekejap?"

Dia berkata, "Ya, bagaimana kau rasa? Lenganmu bagus? Kakimu bagus? Kau siap untuk perlawanan ini?"  

Dan saya jawab, "Ya, saya siap. Jurulatih tahukan ayat yang saya pakai di bawah mata? Filipi 4:13 - Segala sesuatu dapat kutanggung melalui Kristus yang memberi kekuatan kepadaku."

Dia berkata, "Ya, saya suka ayat itu!"

Saya berkata, "Saya akan ganti ayat itu malam esok."

Dia langsung jawab, "Apa yang kau katakan? Kau tak boleh ganti ayat itu. ayat itu yang telah bawa kita sampai ke sini."

Sebenarnya bukan ayat itu yang telah bawa kami ke situ. Jadi selepas beberapa minit menjelaskan kepada jurulatih, dia berkata bahawa dia sokong penuh dan memahaminya.

Keajaiban Pertama

Tebow (kanan) dalam perlawanan kejuaraan
kebangsaan BCS, 8 januari 2009

Secara jujur saya tidak memikirkannya lagi selepas itu. Saya hanya keluar ke padang dan berusaha untuk memenangi kejuaraan itu. Kami diberkati dan kami menang. Dua hari kemudian, saya di sebuah restoran di Gainesville, Florida dengan ibu bapa saya, makcik saya dan Jurulatih Meyer, dan saya duduk di sana sambil makan ikan grouper apabila Jurulatih Meyer mendapat panggilan telefon dan dia menjawab, "Uh-huh, Uh-huh, Uh-huh dan bye. "

Saya bertanya siapakah itu dan dia menjawab itu Steve McClendon, pegawai perhubungan awam kami di Florida. Jadi apakah yang dia katakan?

"Dia berkata tahukah anda bahawa semasa perlawanan itu 94 juta orang telah membuat carian Google untuk Yohanes 3:16."

Dan secara jujur, fikiran pertama saya adalah, bagaimanakah mungkin 94 juta orang tidak tahu Yohanes 3:16, bukankah itu perkara pertama yang kita dengar di Sekolah Minggu?

Saya duduk di restoran itu dengan rasa rendah hati akan betapa besarnya Tuhan yang kita layani dan betapa Dia ingin melakukan perkara yang menakjubkan di dalam kita dan melalui kita apabila kita melangkah dan menunjukkan sedikit iman dan sedikit keberanian. Atau bila kita mengambil keputusan untuk tidak takut berbeza sedikit daripada orang-orang lain, apa yang Tuhan dapat lakukan dalam hidup kita.

Keajaiban Kedua

Perlawanan itu kebetulan diadakan pada 8 Januari 2009, dan tepat tiga tahun kemudian 8 Januari 2012, kami kebetulan bermain menentang Pittsburg Steelers dan saya langsung tidak fikirkan pun Yohanes 3:16. Saya hanya berusaha keluar dan berusaha memenangi perlawanan play-off (separuh akhir). Kami diberkati dan memenangi perlawanan play-off dalam masa tambahan.

Saya pergi mandi cepat-cepat sebab ingin merayakan kemenangan dengan keluarga saya, dan saya pergi untuk mengadakan sidang akhbar dengan cepat (sebab saya suka bercakap dengan media!). Dan sebelum saja saya memasuki bilik sidang akhbar, Patrick, pegawai perhubungan awam kami menghadang laluan saya. Dia bertanya, "Timmy, kau tahu apa sudah terjadi?"

Saya kata, "Ya, kita baru mengalahkan Steelers, kita akan bermain dengan Patriots, kita boleh lakukannya."

Dia berkata, "Tidak. Kau tidak sedarkah apa yang telah terjadi? Saya kata, "Oh saya tidak tahulah."

Dia berkata, "Timmy, ianya tepat-tepat tiga tahun sejak malam kau letak Yohanes 3:16 di bawah matamu."

Saya menjawab, "Oh, itu bagus."

Dan dia berkata, "Tidak, kau tak sedarkah dalam perlawanan itu kau telah membaling 316 ela, jumlah ela balinganmu yang disambut adalah 31.6, ela larian purata daripada balinganmu 3.16, angka siaran untuk malam itu adalah 31.6, dan tempoh menguasai bola adalah 31.06. Dan semasa perlawanan itu, 90 juta orang membuat carian Google untuk Yohanes 3:16, dan ayat itu nombor satu trending di semua platform."


Dan saya sedang berdiri di sana di tengah perjalanan untuk mengadakan sidang akhbar, dan berfikir bahawa malam itu adalah mengenai perlawanan football tetapi ianya bukan lagi mengenai itu, sebab Tuhan yang kita layani adalah Tuhan yang begitu besar. Berdiri di tempat itu, saya menyedari terdapat sesuatu yang jauh lebih besar, sebab Tuhan yang kita layani adalah Tuhan yang melakukan keajaiban seperti yang kita akan dengarkan hari ini.

Dia adalah Tuhan yang melakukan perkara yang begitu mengkagumkan di dalam kita dan melalui kita. Dan kita hanya perlu rela melangkah keluar dan katakan, "Inilah aku, Tuhan. Aku akan berikan ikan dan rotiku kepada-Mu," dan melihat apa yang Dia akan lakukan dengannya. Tuhan yang kita layani dapat melakukan perkara-perkara yang cukup-cukup menakjubkan!

Tonton video kesaksian Tim Tebow di sini:



(Diterjemahkan daripada video Above Inspiration "Tim Tebow Shares Incredible Story of John 3:16" bertarikh 26 September 2017)