Rabu, 28 Februari 2018

Baru Bian Menyangkal Dakwaan Kristianisasi Dalam Kes Murtad


KUCHING, 28 Februari - Peguam Baru Bian hari ini menyangkal dakwaan-dakwaan di media sosial bahawa dia cuba memurtadkan empat pelanggannya untuk masuk Kristian. 

Dia berkata pelanggan-pelanggannya - seorang Muslim berbangsa Melayu dan tiga orang mualaf - hanya datang berjumpa dengannya setelah mereka menghadapi jalan buntu dalam usaha mereka meninggalkan Islam secara rasmi.  

Dia berkata pada waktu dia bertemu dengan mereka, mereka telah pun lama berhenti mengamalkan Islam. 

"Oleh itu untuk menuduh saya memurtadkan mereka adalah satu fitnah yang jahat, dan saya merasa kecewa bahawa mereka yang mengakui mengamalkan keagamaan mereka telah membuat dakwaan-dakwaan palsu itu terhadap saya," dia berkata dalam satu kenyataan.

Baru menambah bahawa dia sedih dan terkejut apabila melihat video dan posting online yang menentangnya, dengan satu daripadanya menyeru agar dia dibunuh.

Dia berkata itu jelas menunjukkan bahawa mereka tidak tahu latar belakang kes-kes itu dan bagaimana kesusahan dan keperitan secara perundangan yang dihadapi empat orang itu akhirnya sampai ke mahkamah. 

Kronologi kes-kes murtad diambil
dari blog Baru Bian 28 Feb 2018

Dia berkata mereka yang menuduhnya mempunyai agenda Kristian dengan mewakili empat individu itu tanpa bayaran adalah pembohong besar. 

"Saya telah mewakili mereka dalam kedudukan profesional saya sebagai seorang peguam dan mereka telah membayar yuran profesional saya dan yuran mahkamah," katanya, menyatakan bahawa mereka yang mewujudkan kebohongan terhadapnya jelas mempunyai niat politik atau mempunyai rasa kurang terjamin dalam kepercayaan agama mereka sendiri.

"Jika saya mempunyai sebarang agenda Kristian, pihak berkuasa seharusnya sudah mengambil tindakan terhadap saya. Jika empat orang ini bersalah kerana keluar dari Islam, maka Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais), atau Majlis Agama Islam Sarawak (Mais) atau Mahkamah Syariah seharusnya telah mendakwa mereka ketika mereka memaklumkan niat mereka untuk meninggalkan Islam atau ketika mereka dipanggil untuk mengikuti kaunseling," katanya.

Meskipun terdapat fitnah dan penghinaan dilemparkan terhadapnya, Baru berkata bahawa dia tidak akan mengambil tindakan terhadap sesiapapun. 

Semalam Mahkamah Perskutuan telah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengarkan permohonan untuk meninggalkan Islam oleh empat perayu itu. 

Baru, yang adalah pengerusi PKR Sarawak dan ahli dewan undangan negeri untuk Ba'Kelalan menyalahkan sistem yang telah gagal untuk membantu empat individu itu.

"Mereka telah melakukan semua yang telah diminta dari mereka, namun perlepasan yang mereka inginkan tidak diberikan."

Dia berkata surat-surat mereka kepada Jais tidak diendahkan, manakala dalam satu kes, surat-surat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Ketua Menteri tidak dijawab. 

"Butir-butir setiap kes berbeza, tetapi saya hanya menerima kes-kes itu setelah pemohon-pemohon itu mengalami jalan buntu.

"Setelah menerima kes-kes mereka, firma guaman saya telah dimaklumkan bahawa JPN memerlukan surat perlepasan daripada Mahkamah Syariah supaya mereka dapat meminda kad-kad pengenalan dan butir-butir dalam sistem mereka.

"Bagaimanapun, apabila kami membuat pertanyaan atau memohon surat-surat demikian daripada Mahkamah Syariah, kami menerima sepucuk surat daripada mahkamah itu bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat-surat perlepasan yang seperti itu di bawah Ordinan Mahkamah Syariah Sarawak 2001," katanya.

Surat daripada Mahkamah Syariah Sarawak bertarikh 7 Julai 2015

Baru berkata prosiding undang-undang perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Sivil untuk mendapatkan pandangan mahkamah itu.

"Bertentangan dengan surat Mahkamah Syariah, peguam-peguam Jais, Mais dan JPN telah berhujah bahawa Mahkamah Syariah mempunyai kuasa tersirat untuk menangani kes murtad," katanya.

Dia berkata oleh kerana undang-undang tidak jelas mengenai perkara itu, isu itu perlu dibawa sehinggalah ke Mahkamah Persekutuan yang akhirnya membuat keputusan pagi semalam bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengarkan kes-kes murtad. 

"Isu perundangan kini sudah diselesaikan," tambahnya. 

(Diterjemahkan daripada artikel Malay Mail Online bertajuk, "Lawyer Baru Bian Denies 'Christianisation' Attempts In Apostasy Case" yang ditulis oleh Sulok Tawie bertarikh 28 Februari 2018)