Rabu, 28 Februari 2018

Pemandu Uber Dilepas Tanpa Dibebaskan

Peguam Aaron Mark Pius mewakili Lam Chang Nam (kanan) di Mahkamah Majistret Petaling Jaya

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, melepas tanpa membebaskan seorang pemandu Uber daripada tuduhan melakukan pemerasan wang daripada anak lelaki seorang paderi yang diculik 13 Februari 2017.

Majistret Nurshahirah Abdul Salim membuat keputusan itu terhadap Lam Chang Nam, 32, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin.

Terdahulu, Abu Arsalnaa memberitahu mahkamah, pihaknya mendapat arahan daripada Pejabat 

Peguam Negara untuk melepas tanpa dibebaskan tertuduh daripada pertuduhan melakukan pemerasan yang dihadapinya.

Bagaimanapun, perkara itu dibantah peguam Aaron Mark Pius, yang memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu memandangkan pihak pendakwaan tidak berminat untuk meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh.

Abu Arsalnaa membantah permohonan itu dengan berhujah bahawa keseluruhan fakta kes masih belum didengar.

Sehubungan itu, mahkamah melepas tanpa membebaskan tertuduh dan wang jaminan dikembalikan.

Pada 16 Mac tahun lalu, Chang Nam, didakwa memeras ugut Jonathan Koh Szu Hao, 34, dengan meminta wang RM30,000 kononnya bagi membebaskan ayah mangsa di Paradigm Mall, Kelana Jaya, di sini, pada jam 8.46 malam, 6 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Sementara itu, di mahkamah sama, Chang Nam turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan dan pilihan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan utama, Chang Nam bersama tujuh lagi yang masih bebas didakwa melarikan Pastor Raymond Koh atau nama sebenarnya Keng Joo Koh, 65, untuk tujuan mengurung mangsa dengan sulit dan salah, di tepi jalan besar, Jalan SS4B/10A, Kelana Jaya, di sini, pada jam 10.45 pagi, 13 Februari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa melakukan pemerasan terhadap Jonathan Koh Szu Hao, dengan meminta wang pemerasan berjumlah RM30,000 bagi tujuan membebaskan ayah mangsa di Paradigm Mall, Jalan SS 7/26, Kelana Jaya, di sini, jam 9.46 malam, pada 6 Mac 2017.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes.

(Diambil daripada artikel Berita Harian Online bertajuk, "Pemandu Uber Dilepas Tanpa Dibebaskan" yang ditulis oleh Farah Marshita Abdul Patah bertarikh 27 Februari 2018)