Rabu, 11 April 2018

10 Sebab Untuk Memulakan Blog


Oleh Susan Gunelius:

Blogging semakin popular dari hari ke hari. Ianya mudah untuk menyedari bahawa blog adalah popular tetapi jika anda ingin memulakan blog anda sendiri, ianya mungkin sukar untuk mengerti mengapa anda harus melakukannya.

Lihatlah senarai ini untuk membantu anda membuat keputusan mengenai blogging. Yang bagusnya, anda mungkin dapat mengenalpasti lebih dari satu sebab-sebab ini.

1. Menyampaikan Buah Fikiran dan Pendapat Anda

Anda boleh gunakan blog untuk mengatakan mengenai politik, sejarah, agama, sains atau apa saja yang anda ingin kongsikan.

Anda ada sesuatu untuk dikatakan dan blog menyediakan ruang untuk anda mengucapkannya dan didengar.

2. Memasarkan atau Mempromosikan Sesuatu

Blogging adalah cara yang baik untuk bantu memasarkan atau mempromosi diri anda atau perniagaan, produk dan perkhidmatan anda.

Ini bererti anda boleh menjual sesuatu secara online melalui blog anda atau anda boleh menggunakannya hanya untuk tujuan menyampaikan maklumat. Arahkan orang ke URL blog anda untuk memberi mereka info mengenai apa yang anda tawarkan.

3. Membantu Orang

Banyak blog dimulakan untuk membantu orang yang mungkin sedang melalui keadaan serupa yang pernah dialami oleh blogger. Banyak blog mengenai peranan ibu bapa, berkenaan kesihatan dan bantuan teknikal telah ditulis untuk tujuan ini.

Blog-blog yang seperti ini bukan hanya boleh digunakan untuk menerangkan sesuatu yang membantu orang lain, tetapi juga memberi ruang kepada pengunjung-pengunjung memberi komen dan berinteraksi satu dengan lain, dengan fungsi seperti forum.

4. Mengesahkan Diri Anda Sebagai Pakar

Blog adalah alat yang sangat berguna untuk membantu para blogger mendapat pengiktirafan sebagai pakar dalam sesuatu bidang atau topik.

Umpamanya, jika anda sedang cuba mendapatkan pekerjaan dalam bidang tertentu atau ingin menerbitkan buku dengan topik tertentu, blogging dapat mengesahkan kepakaran anda dan mengembangkan pentas dan kehadiran online anda.

Tunjukkan blog anda kepada bakal pelanggan atau majikan sebagai satu jenis portfolio yang memaparkan pengetahuan anda dalam perkara tersebut.

5. Berhubung Dengan Orang Yang Seperti Anda

Blogging membawa bersama orang-orang yang mempunyai minat yang sama. Memulakan blog boleh membantu anda untuk mencari orang-orang itu dan berkongsi pandangan dan pendapat anda.

Ianya sungguh bagus rasanya mempunyai suatu pandangan atau idea yang kurang diketahui umum, dan kemudian bertemu dengan seseorang secara online yang berkongsi pengalaman atau pemikiran yang sama itu.

Jangan takut untuk menunjukkan kepada dunia siapa diri anda melalui blog anda. Anda mungkin dapat mengumpulkan para pengunjung yang mengkagumkan.

6. Membawa Perubahan

Banyak blog berteraskan isu, yang bererti blogger itu sedang cuba membekalkan maklumat untuk mempengaruhi pemikiran orang ke arah tertentu.

Banyak blog politik dan isu sosial ditulis oleh blogger yang sedang cuba membawa perubahan dengan caranya sendiri.

7. Meneruskan Penglibatan dan Pengetahuan Dalam Sesuatu Bidang atau Topik

Oleh kerana blogging yang berjaya sebahagiannya bergantung kepada kekerapan menulis dan menyediakan maklumat baru dan terkini, ianya adalah cara yang terbaik untuk membantu blogger itu terus mengikuti perkembangan-perkembangan dalam sesuatu bidang atau topik.

Ini boleh dilakukan walau tanpa menyebarkan kepada umum kandungan blog, jadi anda boleh gunakan blogging dengan cara ini sebagai alat bantu diri yang berterusan untuk mengekalkan ketajaman akal.

8. Meneruskan Jalinan Hubungan Dengan Keluarga dan Kawan-Kawan

Dunia telah jadi semakin kecil sejak internet digunakan dengan lebih meluas. Blog menyediakan satu cara mudah untuk keluarga dan kawan-kawan meneruskan jalinan perhubungan dari pelbagai pelusuk dunia dengan berkongsi kisah, foto, video dan lain-lain lagi.

Mulakan sebuah blog dan berikan linknya kepada orang-orang yang penting bagi anda. Anda juga boleh melindungi seluruh blog anda atau halaman-halaman tertentu dengan mengadakan kata kunci, supaya orang-orang tertentu sahaja boleh membaca apa yang anda tulis.

Satu lagi yang anda boleh lakukan untuk meneruskan jalinan hubungan dengan keluarga dan kawan-kawan melalui blog adalah dengan memberi mereka akses menulis di blog itu juga!

9. Menjana Wang

Ada ramai blogger yang memperoleh jumlah wang yang besar. Dengan kesabaran dan latihan, anda boleh menjana wang melalui iklan dan aktiviti-aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan di blog anda.

Bagaimanapun, ianya penting untuk menyedari bahawa kebanyakan blogger tidak menjana wang yang banyak (ataupun hampir tiada) melalui blog, tetapi potensinya memang wujud untuk menghasilkan pendapatan dari blog anda melalui kerja kuat dan komitmen.

10. Untuk Kesukaan dan Kreativiti

Ramai orang memulakan blog semata-mata kerana kesukaan. Mungkin seorang blogger itu adalah peminat pelakon tertentu atau suka mengait dan ingin menyebarkan kecintaan itu melalui blog.

Salah satu kunci paling penting untuk kejayaan blogging adalah memiliki kecintaan pada topik blog anda supaya anda dapat menulis secara prolifik (dengan banyak) mengenainya.

Sebilangan blog yang paling baik dan menarik telah bermula sebagai blog yang dimulakan semata-mata kerana kesukaan dan untuk memberi bloggernya saluran kreativiti. 

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Lifewire bertajuk "10 Reasons To Start A Blog" yang ditulis oleh Susan Gunelius yang dikemaskini pada 29 Januari 2018)