Jumaat, 6 April 2018

Mengapa Anda Patut Meluangkan Masa Bersendiri


Pernahkah anda mendambakan waktu untuk bersendiri dalam dunia yang penuh kesibukan ini? Pada hari ini kita dihubungkan 24/7 melalui media sosial, emel, mesej teks dan banyak lagi, oleh itu kita perlu menciptakan ruang peribadi secara sengaja.

Mencari waktu bersunyi boleh menjadi amalan yang sihat. Bagi sesetengah orang, memilih untuk bersunyi untuk tempoh yang pendek atau panjang boleh menjadi hal yang menakutkan dan sukar dilakukan, tetapi ianya amat berbaloi. Bersunyi telah terbukti bermanfaat untuk kewarasan, kerohanian, kesihatan dan produktiviti kita.

Pengarang dan ahli psikologi, Dr. Sherrie Bourg Carter dalam artikel Psychology Today, "6 Sebab Mengapa Anda Harus Meluangkan Lebih Masa Bersendiri," telah mencatitkan faedah-faedah bersunyi:

1) Bersunyi mengizinkan otak anda memperbaharui kecergasan dan berehat.

2) Bersunyi membantu menambahkan tumpuan dan produktiviti.

3) Bersunyi memberi anda kesempatan menemukan diri dan suara anda.

4) Bersunyi memberikan anda masa untuk berfikir lebih mendalam.

5) Bersunyi membantu anda mencari penyelesaian kepada masalah dengan lebih berkesan.

6) Bersunyi boleh memperkayakan kualiti hubungan anda dengan orang lain.

Saya akan tambah satu lagi: bersunyi mengizinkan anda bersendiri dengan Tuhan sebab ada banyak perkara yang mengalihkan perhatian kita daripada perbualan dan hubungan harian kita dengan Tuhan.

Bersunyi tidak semestinya perlu waktu yang panjang atau perlu ke tempat yang jauh untuk membawa manfaat. Bangkit awal pada waktu pagi sebelum orang lain memberikan kita waktu untuk bersunyi secara peribadi dan dengan Tuhan.


Berjalan-jalan semasa waktu rehat untuk makan tengahari memberikan anda kesempatan untuk berfikir dan/atau berdoa.

Menutupkan telefon pintar dan media sosial anda untuk sehari akan membantu anda mendengar suara diri anda.

Dan jika masa dan wang mengizinkan, kita boleh pergi ke tempat lain untuk beristirehat secara peribadi. Apakah cara-cara lain untuk mengalami waktu bersunyi yang positif? Sila kongsikan dengan kami. 

(Diterjemah daripada artikel Guideposts bertajuk, "Why You Should Spend Some Time Alone" yang ditulis oleh Pablo Diaz)