Khamis, 5 April 2018

Adakah Easter Berasal Dari Perayaan Pagan?


Sesiapa yang mendekati polemik anti Kristian akan dengan cepat berhadapan dengan dakwaan bahawa satu perayaan besar yang diamalkan oleh orang-orang Kristian di sekeliling dunia - yakni, Easter - adalah dipinjam dari atau telah mengambil alih satu perayaan pagan. Saya sering berhadapan gagasan ini di kalangan orang-orang Muslim yang mendakwa orang-orang Kristian yang terkemudian telah berkompromi dengan paganisme untuk melunturkan iman asal Yesus. 

Hujah itu sebahagian besarnya berdasarkan apa yang dikatakan sebagai kaitan paganisme pada nama-nama Inggeris dan Jerman untuk perayaan itu (Easter dalam bahasa Inggeris dan Ostern dalam Jerman). Bagaimanapun, ianya penting untuk dinyatakan bahawa dalam kebanyakan bahasa lain Eropah, nama untuk perayaan Kristian itu telah berasal dari perkataan Yunani Pascha, yang telah datang dari pesach, perkataan Ibrani untuk Passover. Easter adalah perayaan Passover Kristian. 

Tentu sahaja, jikapun orang-orang Kristian telah terlibat dalam kontekstualisasi - menyampaikan mesej dan ibadah mereka dalam bahasa atau bentuk-bentuk orang-orang tempatan - itu langsung tidak bererti kompromi secara doktrin. Orang-orang Kristian di sekeliling dunia telah berusaha menebus kembali budaya tempatan untuk Kristus sambil membasmikan amalan-amalan budaya yang bertentangan dengan norma-norma alkitabiah. Orang-orang Kristian menyebut mengenai "Good Friday" umpamanya, tetapi mereka langsung tiada perkaitan dengan penyembahan ratu dewa-dewa Norse/Germanic, Freya apabila mereka mengatakan itu. 

Tetapi, hakikatnya, dalam kes Easter, bukti-bukti menunjukkan yang sebaliknya: bahawa kedua-dua peringatan kematian dan kebangkitan Kristus mahupun namanya pun tidak berasal dari paganisme.

Perayaan dengan asal-usul kuno

Hujah biasa untuk asal-usul pagan untuk Easter adalah berdasarkan satu komen oleh Venerable Bede (673-735), seorang rahib Inggeris yang telah menulis sejarah pertama Kristian di England, dan yang merupakan salah satu sumber utama pengetahuan kita mengenai budaya Anglo-Saxon. Dalam De temporum ratione (On the Reckoning of Time, c.730), Bede telah menulis ini:

Pada masa dulu-dulu, orang-orang Inggeris - sebab rasanya tidak patut saya menyebut mengenai pegangan tahunan bangsa-bangsa lain tetapi berdiam mengenai bangsa saya sendiri - telah menghitungkan bulan-bulan mereka mengikut pergerakan Bulan, sebab Moon (Bulan) dinamakan mona, dan month (bulan) dinamakan monath. Bulan pertama, yang orang-orang Latin panggil January, adalah Giuli; Februari dipanggil Solmonath; Mac dipanggil Hrethmonath; April dipanggil Eosturmonath ... Eosturmonath mempunyai satu nama yang sekarang diterjemahkan sebagai "Paschal month" (bulan Paskah) yang dahulunya dipanggil menurut seorang dewi mereka bernama Eostre, yang mana perayaan untuk menghormatinya diadakan pada bulan itu. Sekarang mereka memanggil musim Paskah mengikut namanya, menamakan perayaan baru itu dengan nama amalan lama.

Dengan itu, soalan pertamanya adalah, samada perayaan sebenar Easter telah berasal dari suatu perayaan pagan. Ini dapat dijawab dengan mudah. Orang-orang Nordic/Germanic (termasuk Anglo-Saxon) secara bandingan lebih lewat memeluk Kristian. Paus Gregory I telah mengutus satu rombongan misi yang diketuai oleh Augustine dari Canterbury kepada orang-orang Anglo Saxon pada 596/7. Pemelukan secara paksaan orang-orang Saxon di Eropah telah bermula di bawah Charlemagne pada 772.

Oleh itu, jika "Easter" (iaitu perayaan Paskah Kristian) telah dirayakan sebelum tarikh-tarikh itu, apa-apa yang dikatakan sebagai perayaan pagan "Eostre" Anglo Saxon tidak mempunyai nilai penting. Dan terdapat, sebenarnya, bukti jelas bahawa orang-orang Kristian telah pun merayakan satu perayaan Easter/Paskah menjelang abad kedua, jika tidak lebih awal. Itu menunjukkan bahawa perayaan Easter/Paskah Kristian, yang telah berasal dari kawasan Mediterranean, tidak terpengaruh oleh apa-apa pengaruh pagan Germanic.

Apa ada pada nama?

Soalan kedua adalah samada nama perayaan "Easter" datang dari pengkaburan perayaan Kristian itu dengan penyembahan dewi kesuburan yang didakwa bernama "Eostre" dalam budaya Inggeris dan Germanic. Ada beberapa masalah dengan perenggan daripada Bede. Dalam bukunya, The Stations of the Sun, Profesor Ronald Hutton (seorang sejarawan terkemuka mengenai paganisme dan okultisme British) mengkritik pengetahuan Bede yang tidak jelas mengenai perayaan-perayaan pagan yang lain, dan menghujahkan bahawa perkara yang sama terjadi berkenaan kenyataannya mengenai Eostre: "Ianya tergolong dalam kategori tafsiran-tafsiran yang Bede perakui sebagai dari dirinya, dan bukannya diterima umum atau fakta yang terbukti."

Itu membawa kita kepada masalah seterusnya: tidak ada bukti selain dari Bede mengenai kewujudan dewi Anglo-Saxon ini. Tidak ada dewi yang setara dalam Norse Edda atau dalam paganisme kuno Germanic dari benua Eropah. Oleh itu Hutton mengemukakan bahawa "monath Estor Anglo-Saxon sekadar bermakna 'bulan pembukaan' atau 'bulan permulaan'" dan membuat kesimpulan bahawa tidak ada bukti perayaan pra-Kristian (sebelum Kristian) di kepulauan British pada bulan Mac atau April.

Terdapat satu lagi bantahan lain kepada dakwaan bahawa Eostormonath mempunyai apa-apa kaitan dengan suatu dewi pagan. Manakala hari-hari Anglo-Saxon biasanya dinamakan mengikut dewa-dewa seperti Wednesday ("Woden's Day"), nama untuk bulan-bulan mereka adalah samada bersifat kalendar, seperti Giuli, yang bermakna "roda," yang merujuk kepada pertukaran tahun; atau bersifat meteorologi-alam persekitaran, seperti Solmonath (lebih kurang Februari), yang bererti "Bulan Lumpur"; atau merujuk kepada tindakan yang diambil pada bulan itu, seperti Blothmonath (lebih kurang November), yang bererti "Bulan Darah," iaitu bila haiwan-haiwan disembelih. Tidak ada bulan lain didedikasikan kepada dewa, dengan pengecualian (menurut Bede) Hrethmonath (lebih kurang Mac) yang didakwa Bede telah dinamakan mengikut dewi Hrethe. Tetapi seperti Eostre, tidak ada bukti lain untuk Hrethe, dan tidak ada dewi persamaan dalam mitos Germanic/Norse.

Satu lagi masalah dengan penerangan Bede berkaitan dengan orang-orang Saxon di benua Eropah. Einhard (c.775-840), pembantu dan penulis biografi Charlemagne, memberitahu kita bahawa di antara pembaharuan yang dijalankan oleh Charlemagne adalah menamakan semula balan-bulan dalam setahun. April telah dinamakan semula sebagai Ostarmanoth. Charlemagne bertutur dalam satu dialek Germanic, seperti juga orang-orang Anglo-Saxon di England, walaupun bahasa suku mereka adalah berbeza. Tetapi kenapakah Charlemagne ingin mengubah nama Rum yang lama untuk musim bunga kepada Ostarmonath? Charlemagne adalah penentang paganisme Jerman. Dia telah menyerang orang-orang Saxon yang pagan dan meruntuhkan tiang besar mereka, Irminsul (dinamakan mengikut dewa mereka Irmin) pada 772. Dia memaksa mereka memeluk agama Kristian dan dengan ganas menyerang mereka apabila mereka memberontak atas sebab itu. Dengan itu, ianya kelihatan sangat tidak mungkin bahawa Charlamagne akan menamakan satu bulan menurut nama dewi Germanic.

Cuti musim bunga 

Jadi kenapakah orang-orang Kristian berbahasa Inggeris memanggil perayaan mereka "Easter"?

Satu teori untuk asal-usul nama itu adalah frasa Latin itu, in albis (in white), yang digunakan oleh orang-orang Kristian untuk merujuk kepada minggu Easter, telah mendapat tempat dalam bahasa Jerman Lama sebagai eostarum, atau "subuh." Terdapat sebilangan bukti mengenai pinjaman awal Germanic dari Latin meskipun orang-orang Germanic tinggal di luar Empayar Rum - walaupun orang-orang Angle, Saxons dan Jute tinggal jauh darinya. Teori ini mengandaikan bahawa perkataan itu hanya menjadi kegunaan biasa selepas datangnya samada pengaruh Rum atau iman Kristian, yang mana tidak pasti. Tetapi jika tepat, ianya menunjukkan bahawa perayaan itu tidak dinamakan mengikut dewi pagan.

Atau sebagai alternatif, seperti yang dicadangkan Hutton, Eosturmonath sekadar bermakna "bulan pembukaan" yang boleh dibandingkan dengan makna "April" dalam bahasa Latin. Nama bulan kedua-dua Anglo-Saxon dan Latin (yang serupa secara kalendar), adalah berkaitan dengan musim bunga, musim di mana tumbuh-tumbuhan mula bercambah.

Jadi orang-orang Kristian di wilayah-wilayah kuno Anglo-Saxon dan Germanic telah memanggil perayaan Paskah seperti yang mereka panggilkan - mula-mulanya secara lisan - adalah semata-mata kerana ianya terjadi pada waktu sekitar Eosturnomath/Ostarmanoth. Satu analogi modern boleh dilihat dengan cara orang-orang Amerika kadangkala merujuk kepada Disember sebagai "the holidays" (hari-hari perayaan) yang berkaitan dengan Krismas dan Hanukkah, atau dengan cara orang kadangkala mengatakan mengenai sesuatu yang terjadi "around Christmas" (di sekitar Krismas), biasanya merujuk kepada tempoh waktu berhampiran pertukaran tahun. Gelaran Kristian "Easter", dengan itu, secara asasnya mencerminkan tarikh umumnya dalam kalendar, dan bukannya perayaan Paskah telah dinamakan semula untuk mengagungkan suatu dewi pagan yang didakwakan.

Tentu saja, peringatan Kristian dalam perayaan Paskah bukan terletak pada gelaran perayaan itu tetapi pada kandungannya - yakni, peringatan mengenai kematian dan kebangkitan Kristus. Kemenangan Kristus ke atas dosa, kematian dan Iblis yang telah memberikan kita hak untuk mengucapkan kepada setiap orang "Happy Easter."

(Diterjemahkan daripada artikel hristianity Today bertajuk, "Was Easter Borrowed From A Pagan Holiday?" yang ditulis oleh Anthony McRoy bertarikh 2 April 2009)