Khamis, 3 Mei 2018

Malaysia Negara Ke-9 Paling Aktif Media Sosial, Ke-5 Paling Ramai Guna E-Dagang - Laporan

Sumber grafik: Hootsuite dan We Are Social

KUALA LUMPUR: Jumlah pengguna Internet di negara ini menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta pengguna, mewakili 79 peratus penduduk Malaysia.

Daripada jumlah berkenaan 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman media sosial.

Kajian terbabit adalah sebahagian daripada hasil Laporan Digital 2018 yang dikeluarkan Hootsuite dan We Are Social.

Laporan berkenaan turut mendedahkan jumlah pengguna Internet meningkat sembilan peratus berbanding tahun lalu, menjadikan Malaysia sebagai negara ke-9 dunia paling aktif di laman sosial.

Malaysia juga berada di tangga ke-5 dunia dari segi pengunaan e-dagang terbanyak, dengan 40 peratus penduduk Malaysia pernah mengadakan transaksi atas talian.


Ini merupakan kali ketujuh laporan berkenaan diterbitkan. Secara keseluruhannya, penguna internet sudah telah mencecah lebih empat bilion di seluruh dunia. 

Ia meningkat kepada tujuh peratus sejak 12 bulan yang lalu, mewakili 53 peratus daripada populasi dunia.

Penggunaan sosial media secara global pula mencecah 3.196 bilion pengguna, meningkat 13 peratus sejak 12 bulan.

Selain itu, pengguna media sosial secara mudah alih  pula meningkat 14 peratus berbanding tahun lepas kepada 2.958 bilion pengguna dengan 93 peratus mengakses sosial media melalui telefon pintar.


(Diambil daripada artikel Astro Awani bertajuk, "Malaysia Negara Ke-9 Paling Aktif Media Sosial, Ke-5 Paling Ramai Guna E-Dagang - Laporan" yang ditulis oleh Ili Hadri Khalil bertarikh 30 Januari 2018)