Isnin, 27 Ogos 2018

Apa Yang Dikatakan Oleh Scott Morrison, PM Baharu Australia Mengenai Imannya


Beberapa hari yang lalu, Scott Morrison telah dipilih sebagai Perdana Menteri yang ke-30 Australia. Beliau dikenali sebagai seorang Kristian yang komited. Sewaktu membuat ucapan sulungnya di parlimen pada 2008, Morrison telah mengatakan:

Membesar dalam keluarga Kristian, saya telah membuat komitmen kepada iman saya pada usia yang muda dan telah banyak dibantu oleh kerja penggembalaan Kristian yang berdedikasi, khususnya Reverend Ray Green, dan pastor-pastor Brian Houston dan Leigh Coleman. Iman peribadi saya pada Yesus Kristus bukanlah satu agenda politik. 

Seperti yang dikatakan Lincoln, "Tugas kita bukanlah untuk mendakwa bahawa Tuhan ada di pihak kita, tetapi untuk berdoa dengan sesungguhnya agar kita ada di pihak-Nya." Bagi saya, iman adalah bersifat peribadi, tetapi implikasinya bersifat sosial - oleh kerana tanggungjawab peribadi dan sosial adalah bahagian penting mesej Kristian. 

Kebelakangan ini telah menjadi popular untuk mengecap secara negatif orang-orang yang mengamalkan iman mereka dalam perkhidmatan awam sebagai 'ekstrim' dan untuk mencadangkan bahawa iman seperti itu tidak bertempat dalam perbahasan politik negara ini. Ini merupakan cabaran besar bagi kami, seperti rakan saya, yang berusaha mengikuti teladan William Wilberforce atau Desmond Tutu, dengan hanya menamakan dua tokoh.

Pemimpin-pemimpin ini telah berdiri untuk kebenaran dan prinsip-prinsip iman Kristian yang tidak pernah berubah. Mereka telah mentransformasikan negara mereka, malahan dunia dalam proses itu. Lebih penting lagi, dengan mengikuti pegangan iman mereka, mereka telah menubuh dan meneguhkan prinsip-prinsip demokrasi liberal yang merupakan dasar penubuhan negara kita sendiri.

Australia bukanlah negara sekular - ianya adalah negara bebas. Ini adalah negara di mana anda mempunyai kebebasan untuk mengikuti mana-mana sistem kepercayaan yang anda pilih. Sekularisme hanyalah satu daripadanya. Ianya tidak mempunyai hak lebih tinggi daripada yang lain dalam masyarakat kita. Seperti Senator Joe Lieberman mengatakan, "Perlembagaan menjamin kebebasan  beragama, bukan kebebasan dari agama." Saya percaya yang sama adalah benar bagi negara ini.

Jadi apakah nilai-nilai yang saya perolehi daripada iman saya? Jawapan saya datang dari Yeremia 9:24:

"... Akulah Tuhan, yang menunjukkan kasih abadi, keadilan, dan perbenarani di bumi. Sesungguhnya, hal-hal itulah yang Kusukai," demikianlah firman Tuhan."

Daripada iman saya, saya memperolehi nilai-nilai kasih abadi, keadilan dan pembenaran, untuk bertindak dengan belas kasihan dan kemurahan hati, mengakui kemanusiaan umum kita dan untuk memperhatikan kebajikan orang lain; untuk memperjuangkan peluang saksama untuk setiap orang untuk mencapai potensi kemanusiaan mereka dan untuk memindahkan apa sahaja halangan yang tidak adil yang menghalangi mereka, termasuk yang mengurangi tanggungjawab peribadi mereka untuk kebajikan diri mereka; dan untuk melakukan apa yang benar, untuk menghormati peraturan undang-undang, kesucian nyawa manusia dan integriti moral perkahwinan dan keluarga. Kita mesti memperakui satu standard pasti dan tidak berubah mengenai apa itu kebaikan dan apa itu kejahatan. 

Desmond Tutu mengatakannya seperti ini:

"... kita menjangka orang-orang Kristian... adalah mereka yang akan berdiri bagi kebenaran, berdiri bagi keadilan, berdiri di sisi orang-orang miskin dan lapar, yang tidak mempunyai rumah dan pakaian, dan apabila itu terjadi, orang-orang Kristian akan menjadi saksi-saksi yang boleh dipercayai."

Itu adalah prinsip-prinsip saya. Visi saya untuk Australia adalah untuk sebuah negara yang kuat, makmur dan murah hati: teguh dalam iman kita, teguh dalam kehidupan keluarga dan masyarakat, teguh dalam rasa kenegaraan kita dan dalam institusi-institusi yang melindungi dan mengekalkan demokrasi kita dan penyeliaan cermat kesempatan-kesempatan kita, alam sekitar kita dan sumber kita, dan di atas segalanya, memiliki kemurahan hati, untuk berkongsi kemujuran kita dengan orang-orang lain, baik di dalam dan di luar negeri, yang lahir dari belas kasihan dan kerinduan untuk keadilan.