Khamis, 13 September 2018

Bolehkah Orang Yang Bunuh Diri Masuk Ke Syurga?


Pada bulan lepas, seorang pastor muda yang berjaya, Andrew Stoecklein, menamatkan hidupnya pada usia 30 tahun setelah menderita depresi selama berbulan-bulan. Dia meninggalkan seorang isteri yang berkabung, tiga anak kecil lelaki dan sidang jemaat yang tergamam di Chino, California.

Hanya beberapa hari sebelum mengambil nyawanya, Andrew Stoecklein telah menyampaikan khutbah di Gereja Inland Hills mengenai realiti depresi di kalangan orang-orang Kristian. Dia menggunakan hidup Elia sebagai contoh bahawa gergasi-gergasi rohani pun bergelut dengan kehancuran mental dan emosi.

Andrew Stoecklein dengan keluarganya

Stoecklein berkata dalam khutbah 12 Ogosnya bahawa "kita melihat penyakit mental dipaparkan" ketika Elia bersembunyi di dalam gua dan berdoa agar Tuhan mengambil nyawanya. "Elia, dia menunjukkan sakitnya," kata pastor muda itu. "Dia mengakui bahawa dia dipenuhi dengan kekhuatiran dan depresi dan fikiran untuk mengambil nyawa sendiri. ... Inilah sesuatu yang kita tidak suka perkatakan, betul tak? Terutama gereja."

Stoecklein mengenal diri dengan kelemahan Elia lebih daripada yang disangka oleh sesiapa pun. Dia menderita serangan-serangan panik yang menjejaskannya sejak ayahnya meninggal dunia kerana kanser, dan pemimpin-pemimpin gereja telah bertegas bahawa dia harus mengambil cuti panjang kerana depresi dan kekhuatirannya. Namun tiada sesiapa pun, termasuk isterinya, Kayla yang sangat menyokongnya, mempunyai petanda bahawa dia akan menamatkan hidupnya. 

Ironisnya pengebumian Stoecklein telah diadakan cuma dua hari sebelum Hari Pencegahan Bunuh Diri - yang telah diwujudkan untuk membangkitkan kesedaran mengenai penyakit mental di Amerika Syarikat. 

Aspek yang paling sedih tragedi ini adalah bagaimana sesetengah orang Kristian menanggap bunuh diri. Kerana kita tidak cukup memperkatakannya, gereja seringkali terdiam apabila ianya berlaku - ataupun kita beri nasihat yang tidak betul kepada orang-orang yang mengalami kesan daripadanya.

Sebenarnya, bunuh diri dibincangkan dalam Alkitab. Raja Saul dengan sengaja jatuh ke atas pedangnya sendiri. Simson menarik runtuh rumah ibadah Filistin ke atas dirinya. Ahitopel mencekik dirnya dan Yudas menggantung dirinya. Dan rasul Paulus memberitahu orang-orang di Korintus bahawa cubaan-cubaan yang dialaminya begitu berat sehingga dia "telah putus asa juga akan hidup." (2 Kor 1:8c)

Berikut adalah tiga prinsip jelas yang kita harus ajarkan sambil kita mengkaji topik yang sering diabaikan ini:

1. Mengambil nyawa sendiri bukanlah dosa yang tidak dapat diampuni. Saya mengenal orang-orang Kristian yang bersikap legalistik yang bertegas bahawa seseorang yang membunuh diri secara automatik akan pergi ke neraka. Mereka memegang kepercayaan itu berdasarkan tafsiran yang sempit 1 Korintus 3:16-17, yang menyatakan, "Jika ada orang yang membinasakan bait Allah, maka Allah akan membinasakan dia."

Jika kita mengkaji lebih teliti perenggan itu, dan lihat ke hadapan ke fasal lima dan enam, kita akan melihat bahawa Paulus bukan mengatakan mengenai bunuh diri. Dia membuat komen-komen mengenai "membinasakan bait Allah" sambil dia memberi arahan kepada gereja Korintus bagaimana untuk berurus dengan seseorang yang hidup berzinah dan tidak mahu bertaubat. Dalam fasal 6, dia mengingatkan kita bahawa tubuh kita adalah bait Roh Kudus dan ianya tidak harus dicemari dengan perilaku yang cabul. 

Ada sesetengah orang yang cuba mendefinisikan ambil nyawa sendiri sebagai dosa "yang tidak dapat diampuni." Mereka mengatakan ini sebab seseorang yang membunuh dirinya tidak dapat bertaubat selepas itu. Tetapi Yesus sangat jelas bahawa sebenarnya hanya ada satu dosa yang tidak dapat diampuni - iaitu penolakan penuh Kristus sebagai Juruselamat dengan menghujat Roh Kudus (lihat Lukas 12:10).

Oleh kerana rahmat dan kasih karunia Allah begitu besar, dosa mengambil nyawa sendiri pun dapat diampuni. Kuasa penebusan darah Kristus begitu luas, ianya menutupi bukan saja dosa dahulu dan kini tetapi juga dosa masa hadapan. Roma 8:38-39 menyatakannya dengan jelas: "Sebab aku yakin, bahwa baik maut, maupun hidup, baik malaikat-malaikat, maupun pemerintah-pemerintah, baik yang ada sekarang, maupun yang akan datang, atau kuasa-kuasa, baik yang di atas, maupun yang di bawah, ataupun sesuatu makhluk lain, tidak akan dapat memisahkan kita dari kasih Allah, yang ada dalam Kristus Yesus, Tuhan kita."

2. Anda tidak boleh menyalahkan diri apabila orang lain mengambil nyawanya. Begitu banyak soalan menyusul selepas seseorang mengambil nyawanya - terutamanya di kalangan keluarga dan kawan-kawan terdekat mangsa. Kenapakah kami tidak menyedari ini akan berlaku? Mungkinkah kami dapat lakukan sesuatu untuk mencegahkannya? Adakah itu salah kami? Soalan-soalan itu adalah normal - tetapi jawpannya adalah tidak. Anda tidak boleh menyalahkan diri untuk keputusan sesiapapun untuk menamatkan hidupnya.

Kita hidup dalam dunia yang sudah jatuh. Sehingga Yesus kembali dengan kemenangan mutlak ke atas kubur, kita masih perlu berurusan dengan keresahan mental, depresi kronik, gangguan kekhuatiran, serangan panik dan pelbagai pergelutan lain. Manakala Roh Kudus pasti sekali dapat memberi kita kuasa untuk mengatasi cabaran-cabaran ini, kita tidak akan mengenal kebebasan sepenuhnya sehinggalah kita berada di alam kekal. Dan jika seseorang yang kita kasihi mengambil nyawanya sendiri, Roh Kudus akan memberi kita penghiburan luarbiasa yang kita perlukan untuk mengendalikan kesakitan dan kekecewaan kita.

3. Gereja harus menjadi tempat yang selamat untuk orang-orang yang mengalami penyakit mental. Kita tidak harus menyebabkan seorang yang seiman itu merasa dirinya "kurang sebagai seorang Kristian" hanya kerana mereka bergelut dengan trauma emosi dan penyakit mental. Ramai orang Kristian takut untuk meminta pertolongan kerana mereka telah diberitahu bahawa depresi "menandakan kurang beriman." Oleh itu mereka menderita secara senyap. Kemudian, jika mereka tidak dapat bertahan lagi, dan mengambil nyawa mereka, semua orang terkejut.

Isteri Pastor Andrew Stoecklein, Kayla telah memberikan beberapa nasihat yang kukuh apabila dia berucap semasa pengebumian suaminya minggu lepas. "Jika anda sedang bergelut, beritahulah seseorang," katanya. "Iblis mahu kita merasa keseorangan, tidak dikasihi dan tidak berharga. Saya di sini untuk memberitahu anda bahawa anda dikasihi dan dihargai lebih daripada yang anda dapat bayangkan."

Jika anda ada depresi, bergelut dengan gangguan kekhuatiran atau memikirkan untuk mencederakan diri, perkara terbaik untuk anda lakukan adalah untk mendapatkan pertolongan serta-merta. Jangan membuangkan nyawa anda. Jangan dengar pembohongan Iblis. Tuhan mempunyai jalan keluar untuk keresahan anda, tetapi anda tidak dapat mencarinya seorang diri. Bukalah hati anda, bersikap jujur, dan berhubung dengan kawan-kawan yang matang dan bercakaplah dengan seorang pastor atau kaunselor. Berlarilah kepada dakapan Bapa syurgawi anda dan rasakan penyembuhan-Nya.

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma  magazine bertajuk, "Do People Who Commit Suicide Go To Heaven?" yang ditulis oleh J. Lee Grady bertarikh 12 September 2018)