Selasa, 13 November 2018

1/3 Kes Cerai Berlaku Dalam 5 Tahun Pertama Perkahwinan



KUALA LUMPUR: Lebih 1/3 perkahwinan yang berakhir dengan penceraian berlaku dalam tempoh 5 tahun pertama perkahwinan, kata Hannah Yeoh.

Timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu membuat pendedahan berdasarkan kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Tempoh 5 tahun pertama perkawinan adalah yang paling mencabar, merujuk kepada kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 yang dijalankan oleh LPPKN yang dijalankan pada 2014.

“Antara punca-punca utama penceraian pada perkahwinan pertama oleh lelaki adalah tiada persefahaman sejumlah 56.2%, isteri curang (11.8%) dan campur tangan mentua atau ipar (10%).


“Manakala bagi wanita pula, 38% peratus menyatakan punca utama perceraian adalah kerana tiada persefahaman, diikuti dengan suami curang (20.5%) dan suami tidak bertanggungjawab (15.2%).

“Statistik cerai lepas kahwin bawah 5 tahun pasangan Islam di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja berjumlah 2,932 kes bermula 2013 hingga 2017. Jumlah kes perceraian negeri-negeri lain masih dikumpulkan,” katanya di Dewan Rakyat.

Hannah berkata demikian menjawab pertayaan lisan, Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah kes perceraian direkodkan pasangan di bawah usia perkahwinan 5 tahun mengikut negeri dan punca utama yang dikenalpasti mendorong kepada perceraian.



Kes penceraian remeh

Hannah turut memetik laporan FMT mengenai statistik Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, mengatakan banyak kes perceraian remeh melibatkan pasangan muda.

“Antaranya, isteri suka mengikuti rombongan beramai-ramai, isteri suka basuh baju malam-malam. Ini saya pun basuh baju malam-malam. Tapi ini salah satu punca yang difailkan. Isteri suka makan dalam kereta.

“Berbeza fahaman politik, gaji suami lebih rendah, pasangan tidur berdengkur, pasangan gemar membeli-belah. Saya baca sebab-sebab ini kerana saya nak tunjukkan bahawa banyak faktor remeh dijadikan sebab untuk bercerai,” katanya disambut gelak ketawa wakil rakyat lain.

Sementara itu, Timbalan Speaker Nga Kor Ming memcelah hujah Hannah sambil berseloroh meminta timbalan menteri itu tidak membasuh baju pada waktu malam.

“(Timbalan) menteri jangan basuh baju malam-malam, hantar dobi,” kata Nga.

Hannah kemudian secara berseloroh berkata beliau terpaksa melakukan aktiviti itu pada malam hari kerana sidang Parlimen tamat menjelang malam.

“Apa nak buat, sidang parlimen selalu habis malam,” katanya.

Johor paling tinggi kes cerai bukan Islam

Hannah berkata, kes penceraian melibatkan bukan Islam berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berjumlah 14,440 kes bagi tempoh 2013 hingga 2017.

“Dalam tempoh berkenaan Johor paling tinggi 2,860 kes diikuti Wilayah Persekutuan (2,771 kes) dan Selangor (1,858 kes).

Beliau menambah, bagi mengatasi peningkatan kes penceraian, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memantapkan institusi perkahwinan dan keluarga.

Katanya, LPPKN melaksanakan program pra perkahwinan bagi memberikan asas kukuh membina keluarga bahagia, terutama bagi pasangan yang baru berkahwin.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "LPPKN: 1/3 Kes Cerai Berlaku Dalam 5 Tahun Pertama Perkahwinan" yang ditulis oleh Faiz Zainudin bertarikh 13 November 2018)