Khamis, 6 Disember 2018

Saksikan Perarakan Krismas Di Miri Pada Sabtu Ini

Perarakan Krismas Miri (foto fail Bomeo Post)


MIRI: Bandar raya Miri boleh berbangga sebagai satu-satunya bandar raya di negara ini mengadakan perarakan Hari Krismas dianjurkan bersama oleh gereja-gereja dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) sejak diperkenalkan pada 2008.

Ketua Gereja Methodist Miri Rev Nicholas Tan berkata di bandar-bandar utama lain seperti Kuching, Sibu dan Bintulu penganjuran perarakan tersebut hanya dilakukan oleh jawatankuasa gereja di kawasan masing-masing berbeza dengan Miri.

“Kerjasama ini adalah ikrar hebat diusahakan kerajaan tempatan dengan Persatuan Gereja Sarawak di Miri.

“Ini bermakna MBM amat memahami peranannya menyatukan masyarakat di Miri, terutama komuniti Kristian dan bukan bukan Kristian. Saya yakin bukan hanya orang Kristian tetapi bukan Kristian turut menanti acara ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mesyuarat Jawatankuasa Hari Krismas Bandar Raya Miri 2018

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat jawatankuasa Perarakan Hari Krismas Bandar Raya Miri 2018 yang dipengerusikan Datuk Bandar MBM Adam Yii.

Adam yang merupakan pengerusi bersama jawatankuasa penganjur, menekankan acara Perarakan Hari Krismas Bandar Raya Miri Sabtu ini adalah perayaan harus disertai semua tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Oleh itu, jawatankuasa penganjur juga menyatakan undangan kepada semua pemimpin masyarakat dan politik termasuk wakil rakyat sama ada daripada Pakatan Harapan (PH) mahupun Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kami mengalu-alukan semua orang meraikan festival ini bersama dengan komuniti Kristian di bandar raya Miri,” jelas Nicholas sambil yakin perarakan itu berjalan lancar walaupun hujan seperti tahun lalu.

Tahun ini, adalah siri ke-11 Perarakan Hari Krismas Bandar Raya Miri diketuai Gereja Methodist dengan tema ‘Hadiah Cinta Syurga’ diambil daripada ayat Alkitab, Yohanes Bab 3 ayat 16.

Foto Perarakan Krismas Miri 2010

Sementara itu, Adam berkata pihaknya menjangkakan kira-kira 45,000 umat Kristian daripada 15 gereja di Miri menyertai perarakan yang bakal dirasmi Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu.

“Perarakan bermula dari Dataran Kipas Miri melalui beberapa jalan di bandar dan kembali semula ke Dataran Kipas.

“Beberapa jalan ditutup dan kita memaklumkan dari semasa ke semasa menerusi media massa dan cetak, berhubung jalan-jalan ditutup,” katanya sambil menambah, perarakan bermula jam 7 malam.

Antara jalan dilalui ialah Jalan Kingsway di hadapan bangunan MBM terus ke Jalan Nahkhoda Gampar di hadapan pasar raya Sing Liang sebelum memasuki Jalan Datuk Merpari di hadapan Kompleks Permaisuri Mall dan Imperial Mall.  

Persembahan daripada gereja-gereja
dalam Perarakan Krismas Miri 2016

Selain perarakan, terdapat juga acara persembahan seperti lagu puji-pujian, khutbah dan karoling pertunjukan tarian dan sebagainya oleh gereja-gereja yang mengambil bahagian.

(Diambil daripada artikel Utusan Borneo bertajuk, "Perarakan Hari Krismas Di Miri Pada Sabtu Ini" bertarikh 5 Disember 2018)