Khamis, 31 Januari 2019

Pelajar Menjumpai Syiling Kuno Berkaitan Dengan Kisah Para Rasul 12


Apa yang pada mulanya adalah lawatan sekolah telah tiba-tiba menjadi suatu penemuan barangan kuno. 

Seorang pelajar telah menjumpai satu syiling zaman Bait Allah kedua yang jarang-jarang ditemui semasa lawatan sambil berjalan di Samaria minggu lepas, menurut satu kenyataan daripada Coordinator of Government Activities in the Territories (COGAT). Syiling itu ditemui di bahagian timur sungai Shilo.

Selepas pelajar itu menjumpai syiling itu, pemimpin kumpulannya menghubungi COGAT untuk memeriksanya.

Dipaparkan pada syiling itu adalah tiga tangkai gandum dan sebuah kanopi diraja dengan kata-kata "Raja Agrippa" terukir padanya.

"Agrippa" itu merujuk kepada Herodes Agrippa, yang memerintah Yudea kuno dari 41 ke 44 Tahun Masihi. Dia adalah cucu Raja Herodes yang Agung dan ayah kepada Raja Herodes Agrippa II, yang menjadi raja terakhir Dinasti Herodes. 

Herodes Agrippa adalah Raja Herodes yang dinamakan dalam Kisah Para Rasul 12. Menurut Kisah Para Rasul, Raja Agrippa telah menganiaya gereja di Yerusalem. Dia telah memenjarakan Petrus dan mengarahkan Yakobus dibunuh. 

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma News bertajuk, "Student Discovers Ancient Coin With Connection To Acts 12" yang ditulis oleh Emily Jones bertarikh 30 Januari 2019)