John MacArthur |
Dalam buku terbarunya, Strange Fire, John MacArthur dengan ganas melabelkan gerakan Pentakosta/Karismatik sebagai "gereja palsu yang sama bahayanya dengan mana-mana bidaah atau ajaran sesat yang pernah menyerang Kekristianan."
Sambil saya membaca dan membaca semula polemiknya, satu perkara yang menjadi jelas adalah seluruh pandangan teologia MacArthur dipimpin dan ditentukan oleh komitmennya kepada doktrin Calvinis mengenai pemberhentian (cessationism), iaitu kepercayaan bahawa kurnia-kurnia ajaib Roh Kudus telah ditarik balik daripada gereja selepas kematian rasul-rasul asal Kristus. Namun begitu, ini adalah doktrin palsu yang tidak dapat disokong oleh samada Firman Allah mahupun sejarah gereja.
Mereka yang telah menjadi pengganti-pengganti rasul-rasul asal sebagai para pemimpin di gereja-gereja tidak pernah menyebut mengenai teori pemberhentian. Sebaliknya, mereka memberikan kesaksian jelas mengenai kurnia-kurnia dan penyembuhan-penyembuhan ajaib yang terjadi pada masa hidup mereka. Saya telah mendokumenkan ini dalam buku saya, 2000 Years of Charismatic Christianity, yang telah diterbitkan oleh Charisma House. Perhatikan petikan-petikan kata daripada bapa-bapa gereja yang telah diberi penghormatan oleh kedua-dua umat Protestan dan Katolik sebagai pengganti-pengganti yang sah kepada rasul-rasul asal itu:
- Justin Martyr (100-165): "Kerana kurnia-kurnia nubuatan kekal bersama kita sampailah ke masa kini. Pada masa ini, kita dapat melihat orang-orang perempuan dan lelaki yang memiliki kurnia-kurnia Roh Allah."
- Irenaeus (125-200): "Dengan cara yang sama kita juga telah mendengar ramai saudara-audara seiman di gereja yang memiliki kurnia-kurnia nubuatan dan melalui Roh Kudus berkata-kata dalam segala jenis bahasa. ... Ya, tambah lagi, seperti yang telah saya katakan, orang-orang mati juga telah dibangkitkan, dan terus tinggal di kalangan kami selama bertahun-tahun."
- Tertullian (150-240): "Dan memandangkan kami juga memperakui karismata rohani, atau kurnia-kurnia, kami juga telah mendapat kurnia nubuatan itu ... dan syurga sahaja tahu berapa ramai orang-orang ternama, belum lagi disebut orang-orang biasa, yang telah disembuhkan daripada penyakit dan daripada roh-roh jahat."
- Novation (210-280): "Inilah Dia (Roh Kudus) yang sedang meletakkan nabi-nabi dalam gereja, memberi arahan kepada pengajar-pengajar, mengarahkan bahasa-bahasa roh, memberikan kuasa dan penyembuhan, melakukan pekerjaan-pekerjaan ajaib... dan mengaturkan apa sahaja kurnia-kurnia dari karismata; dan dengan itu menjadikan gereja Tuhan di seluruh tempat, dan dalam segalanya, disempurnakan dan dilengkapi."
- Origen (185-284): "Sebilangan orang menunjukkan bukti mereka telah terima menerusi iman suatu kuasa ajaib melalui kesembuhan-kesembuhan yang mereka lakukan, menggunakan tiada nama lain ke atas orang-orang yang memerlukan pertolongan mereka selain Allah segalanya, bersama dengan Yesus dan penyebutan sejarah-Nya."
- Augustine (354-430): Dalam karyanya, The City of God, Augustine menceritakan mengenai penyembuhan-penyembuhan dan mukjizat-mukjizat yang disaksikannya sendiri dan kemudiannya berkata, "Saya begitu tertekan oleh janji untuk menyiapkan karya ini sehingga saya tidak sempat merekod semua daripada mukjizat yang saya ketahui."
Kesaksian-kesaksian ini dengan jelas menunjukkan bahawa kurnia-kurnia rohani terus merupakan perkara biasa dari Hari Pentakosta sehingga permulaan abad keempat. Sarjana Episcopal, Morton Kelsey betul apabila dia mengatakan, "Orang-orang ini amat menyedari senarai Paulus mengenai kurnia-kurnia Roh dan apa yang termasuk dalamnya. Tidak pernah mereka katakan bahawa mana-mana daripada kurnia-kurnia itu telah mulai hilang."
Tugu Bapa-Bapa Gereja di Katedral Lama Salamanca (Foto dari Zaraternan, CCO) |
Dalam apendiks yang bertajuk, "Suara-Suara Dari Sejarah Gereja," MacArthur cuba membuktikan doktrin pemberhentian dari sejarah gereja. Yang menarik perhatian, petikan kata paling awal yang dipetiknya adalah dari John Chrysostom (344-407), yang merujuk kepada ketidaksedarannya mengenai kurnia-kurnia roh dan mengenai pemberhentian kurnia-kurnia itu. Sebab MacArthur bermula dengan Chrysostom adalah kerana tidak ada bukti wujudnya teori pemberhentian sebelum waktu itu.
MacArthur kemudian memetik kenyataan dari Augustine bahawa bahasa-bahasa roh pada Hari Pentakosta adalah tanda "yang disesuaikan untuk zaman itu" dan telah berlalu. Tetapi apa yang dia gagal sebutkan adalah pandangan Augustine mengenai perkara ini telah berubah melalui waktu dan bahawa dia kemudian menerima sepenuhnya pekerjaan Roh Kudus dan kurnia-kurnia Roh yang berterusan dalam gereja (lihat petikan kata di atas). Namun begitu, komen-komen Augustine yang lebih awal itu sering dipetik oleh orang-orang yang tidak mengalami kurnia-kurnia roh dan digunakan untuk menyokong pengalaman mereka, atau kekurangan pengalaman mereka.
Manakala sebilangan orang menyuarakan suatu teori pemberhentian untuk menerangkan kurangnya mukjizat dan kurnia-kurnia roh di kalangan mereka, orang-orang lain di sepanjang sejarah telah mengakui masalahnya adalah kekurangan iman dan kekudusan di dalam gereja. Itu adalah pandangan A.J. Gordon, seorang pastor Baptis abad ke-18 dan pengasas Gordon College di Boston, yang menulis, "Adalah tidak pelik sama sekali bahawa apabila gereja melupakan kewarganegaraannya di syurga dan mula membangunkan dirinya dalam kemewahan dan keagungan di bumi, ianya akan berhenti memaparkan kurnia-kurnia luarbiasa dari syurga."
John Wesley |
"Saya sepenuhnya diyakinkan mengenai apa yang saya pernah syaki ... bahawa sebab agung mengapa kurnia-kurnia mukjizat telah ditarik balik begitu cepat bukanlah sahaja kerana iman dan kekudusan telah benar-benar lenyap, tetapi juga kerana orang-orang ortodoks yang formal dan kering telah mula menghina kurnia-kurnia yang mereka sendiri tidak miliki, dan menggelarkan semuanya itu sebagai samada kegilaan atau kepura-puraan."
Sejak permulaan abad ke-20, gereja telah melihat ledakan kurnia-kurnia ajaib Roh Kudus di sekeliling dunia. Gereja-gereja lama dan baru sedang menyambut pekerjaan Roh Kudus yang dinamik di kalangan mereka, dan gerakan yang melibatkan pelbagai golongan ini kini berjumlah lebih 600 juta orang di sekeliling dunia dan sedang bertumbuh pada kadar 9 peratus dalam setahun. Gerakan Pentakosta/Karismatik yang begitu dibenci oleh John MacArthur ini adalah sebenarnya pemenuhan nubuatan alkitabiah bagi Petrus, yang semasa menjelaskan mengenai bahasa roh pada Hari Pentakosta, telah mengisytiharkan:
"Bahawa akan berlaku pada akhir zaman, firman Allah, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua manusia. Anakmu lelaki perempuan akan bernubuat, orang mudamu akan melihat penglihatan, orang tuamu akan bermimpi. Dan ke atas hamba-Ku lelaki perempuan, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ketika itu, lalu mereka bernubuat." (KPR 2:17-18, AVB).
Saya berdoa agar Tuhan memperbolehkan John MacArthur untuk melihat apa yang begitu jelas bagi begitu ramai orang: bahawa gerakan Pentakosta/Karismatik, meskipun memiliki banyak ketidaksempurnaan manusia, adalah pekerjaan sejati Roh Kudus, memberi kuasa kepada umat Allah di segala tempat untuk menjadi saksi-saksi Yesus Kristus dan keselamatan-Nya pada akhir zaman ini.
Eddie L. Hyatt adalah seorang pelayan Injil yang berpengalaman, pernah melayani sebagai pastor, guru, misionari dan profesor teologi di Amerika Syarikat dan Kanada, dan pernah melayani di India, Indonesia, England, Ireland, Sweden, Poland dan Bulgaria. Pelayanannya dikenali dengan gandingan unik pengurapan Roh Kudus dan kecemerlangan akademik dan lebih 40 tahun pengalaman dalam pelayanan.
(Diterjemahkan daripada artikel Charisma News bertajuk, "The False Doctrine Behind the 'Strange Fire' of John MacArthur" yang ditulis oleh Eddie L. Hyatt bertarikh 12 November 2013)