Khamis, 4 April 2019

Boleh Buka Semula Kes Amri, Koh Dengan Izin Peguam Negara, Kata Muhyiddin



KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, pihak berkuasa boleh membuka semula kes kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh, jika mendapat lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata demikian selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia menyalahkan Cawangan Khas Bukit Aman sebagai pihak bertanggungjawab ke atas kehilangan paksa Amri dan Koh, semalam.

Muhyiddin berkata, kerajaan perlu meneliti laporan Suhakam terlebih dahulu.

“Kita harap Suhakam akan mengemukakan laporan yang telah disiapkan secara rasmi kepada pihak peguam negara dan disampaikan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Jadi, kita nak tunggu laporan itu dulu. Jika ada keperluan sebab laporan itu, maka kita mungkin boleh buka semula kes itu,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Amri ialah pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope yang hilang sejak 24 November 2016.

Isterinya, Norhayati Mohd Ariffin dilaporkan berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Kangar.

Katanya, seorang pegawai Cawangan Khas dari Perlis, Sarjan Shamzaini Mohd Daud memberitahunya pada malam 12 Mei 2018, Cawangan Khas di Kuala Lumpur yang melakukan penculikan itu.

Ada yang mengatakan Amri menjadi sasaran atas dakwaan kecenderungannya terhadap ajaran Syiah yang dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Koh pula diculik lebih 10 lelaki dari keretanya di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, dengan rakaman kamera litar tertutup sebuah rumah berhampiran menunjukkan sekurang-kurangnya 3 kenderaan hitam terbabit dalam penculikan itu.

Ramai mengatakan penculikan Koh mungkin ada kaitan dengan dakwaan beliau cuba menyebarkan agama Kristian, tetapi ia disangkal keluarganya.

Ketua Polis Negara ketika itu, Khalid Abu Bakar menolak dakwaan polis terbabit dalam penculikan Koh.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Boleh Buka Semula Kes Amri, Koh Dengan Izin Peguam Negara, Kata Muhyiddin" yang ditulis oleh Mohamad Fadli bertarikh 4 April 2019)