KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah
mengeluarkan sebarang arahan kepada Bahagian Cawangan Khas (SB) Polis DiRaja
Malaysia (PDRM) untuk bertindak ke atas paderi Raymond Koh dan Amri Che Mat
yang masih gagal dikesan.
Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perkara
itu ketika diminta mengulas dapatan siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
(Suhakam) berhubung kes Koh dan Amri hari ini.
“Tidak ada arahan seperti yang diberikan oleh saya atau Ketua Setiausaha (Datuk
Seri Alwi Ibrahim). Saya harap siasatan akan dijalankan secara profesional,”
katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Ahmad Zahid bagaimanapun berkata semua pihak harus
menghormati dapatan siasatan awam Suhakam itu.
Selain menggesa rakyat menghormati institusi kepolisan, Ahmad Zahid juga mahu
siasatan dilakukan berdasarkan pendekatan profesionalisme.
Terdahulu Suhakam membuat kesimpulan bahawa SB bertanggungjawab dalam
kehilangan paksa membabitkan Koh dan Amri.
Kesimpulan itu dibuat berdasarkan inkuiri yang dijalankan Suhakam terhadap
kehilangan kedua-dua individu berkenaan.
(Diambil daripada artikel Astro Awani bertajuk, "Tiada Arahan 'Hilangkan' Amri, Raymond Koh - Zahid" yang ditulis oleh Harits Asyraf Hasnan bertarikh 3 April 2019)