Ahad, 7 Julai 2019

KDN Umum Pengganti Mokhtar Dalam Pasukan Siasat Kehilangan Amri, Koh Esok


KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri hari ini mengumumkan pengganti Mokhtar Mohd Noor, seorang anggota pasukan petugas khas menyiasat kehilangan aktivis, Amri Che Mat dan pastor, Raymond Koh akan dinamakan esok, susulan bantahan daripada pihak keluarga dan badan-badan bukan kerajaan.

Menteri Muhyiddin Yassin berkata turut akan diumumkan adalah seorang anggota baru, yang mungkin seorang bukan Melayu.

“Saya fkir mereka sesuai untuk duduk dalam pasukan petugas,” katanya pada sidang media di majlis Aidilfitri bersama warga polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini.

“Kita tidak akan tangguhkan siasatan. Kita akan umum pasukan baru esok,” tambahnya.

Mokhtar menarik diri selepas kementerian dikritik berhubung pelantikannya ke pasukan 6 anggota yang ditubuhkan bagi menyiasat laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang menyimpulkan Cawangan Khas terlibat dalam kehilangan Amri dan Koh.

Isteri Amri, Norhayati Ariffin memberi amaran Mokhtar berdepan percanggahan kepentingan kerana jabatan yang pernah diketuainya terlibat secara langsung dalam siasatan ke atas kehilangan Amri, dan dia juga mewakili Bukit Aman dalam inkuiri Suhakam.

“Jelas sekali Mokhtar seorang pihak berkepentingan,” katanya.

Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 Nov 2016, manakala Koh, 64, diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng semasa memandu di Kelana Jaya Selangor pada 13 Feb 2017.

(Dimbil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "KDN Umum PenggantiMokhtar Dalam Pasukan Siasat Kehilangan Amri, Koh Esok" yang ditulis oleh Faiz Zainudin bertarikh 7 Julai 2019)