Balai Seni Negara (NAG) dengan kerjasama kerajaan Itali akan
mempamerkan karya agung Leonardo da Vinci pada Pameran Reproduksi Leonardo Da
Vinci: Opera Omnia yang dijadual bermula 15 Julai ini.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi (CEO) NAG Amerrudin Ahmad,
berkata pameran yang berlangsung sehingga 15 Ogos depan itu bertujuan memberi
pendedahan dan pendidikan.
“Ia untuk memperlihatkan tamadun dan kebudayaan Eropah di
kemuncak zaman Renaissance melalui maklumat visual yang dilukis oleh Da Vinci
pada abad ke 16,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Amerrudin, pameran itu juga untuk menggalakkan lagi
hubungan dua hala dalam dalam bidang pelancongan selaras dengan dasar
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Antara tokoh utama zaman Renaissance, da Vinci dilahirkan
pada 1452 dan meninggal dunia pada 1519 ketika berusia 67 tahun.
Sepanjang hayatnya, beliau antara lain dikenali dalam bidang
lukisan, senibina, sains dan matematik.
Dalam bidang lukisan, da Vinci dikatakan menghasilkan banyak
karya tetapi kebanyakannya sama ada tidak dapat dikenal pasti atau hilang.
Pameran kali ini akan memaparkan 17 karya reproduksi
berteknologi tinggi dalam pelbagai saiz. Antara yang bakal dipamerkan
ialah La Gioconda o Monna Lisa, The Last Supper, Madona Benois, Cecilia
Gallerani dan Bacco.
Mengulas lanjut, Amerrudin berkata ramai rakyat Malaysia
yang mengenali da Vinci dan karyanya tetapi segelintir saja yang berpeluang
untuk melihatnya di Eropah.
“Justeru, dengan adanya pameran seperti ini, ia memberi
peluang pada majoriti rakyat Malaysia untuk melihat dan menikmati karya-karya
reproduksi berkualiti tinggi da Vinci,” katanya.
Pameran dibuka secara percuma untuk orang ramai di Galeri
3A, Balai Seni Negara.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Peluang Tatap Karya Da Vinci Di Balai Seni Negara" yang ditulis oleh Nadia Azam bertarikh 5 Julai 2019)