Dua anggota baru itu ialah Azian Umar yang merupakan
Penolong Pesuruhjaya, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); dan Roger Tan Kor Mee yang merupakan
pengamal bebas undang-undang.
Azian menggantikan Bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis
Diraja Malaysia (PDRM), Mokhtar Mohd Noor yang menarik diri dari
Pasukan Petugas Khas itu susulan kebimbangan tentang keberpihakannya yang
dibangkitkan keluarga Koh sebelum ini.
Roger pula merupakan anggota tambahan dari kalangan bukan
Melayu seperti yang dipertimbangkan Menteri Dalam negeri Muhyiddin Yassin
minggu lalu.
Dengan kemasukan dua ahli baru itu, Pasukan Petugas Khas
berkenaan terdiri daripada tujuh anggota termasuk pengerusi.
Anggota lain ialah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan
Standard (JIPS) Zamri Yahya; pengarah operasi Suruhanjaya Integriti Agensi
Penguatkuasaan (EAIC) Bukhari Abdul Hamid; pegawai perundangan di Bahagian
Pendakwaan Pejabat Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria; dan setiausaha bahagian
di Suruhanjaya Pasukan Polis Kementerian Dalam Negeri Mohd Russaini Idrus.
"Daripada keseluruhan anggota Pasukan Petugas Khas,
hanya seorang dari PDRM iaitu Zamri (dari JIPS).
"Keanggotaan beliau adalah penting untuk membantu
melicinkan perjalanan Pasukan Petugas Khas kerana JIPS mempunyai kuasa di bawah
undang-undang untuk memanggil mana-mana anggota polis tampil memberi
keterangan," kata kenyataan media itu.
KDN turut menyatakan harapan agar Pasukan Petugas Khas itu dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cekap, beramanah dan berintegriti tanpa menimbulkan apa-apa prejudis atau syak wasangka daripada mana-mana pihak.
Suhakam pada 13 April lalu mendedahkan laporannya selepas
inkuiri yang diadakan selama 18 bulan berhubung kehilangan individu berkenaan.
Laporan itu menyimpulkan bahawa polis Cawangan Khas terlibat
dalam "kehilangan paksa" Koh dan Amri.
Susulan itu, pada Mei lalu, kabinet bersetuju dengan
penubuhan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat hasil laporan Suhakam.
Koh, 64, diculik sekumpulan individu ketika
sedang memandu di Kelana Jaya, Selangor pada 13 Feb 2017, sementara Amri, 33,
merupakan pengasas bersama pertubuhan kebajikan Perlis Hope, hilang pada 24 Nov
2016.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Kes Koh, Amri: KDN Umum 2 Anggota Baru Pasukan Petugas Khas" bertarikh 10 Julai 2019)
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Kes Koh, Amri: KDN Umum 2 Anggota Baru Pasukan Petugas Khas" bertarikh 10 Julai 2019)