Selasa, 2 Julai 2019

Sejarah Kebangkitan Karismatik Di Kalangan Anglikan Sabah

Peta 1970 menunjukkan Tongod (dalam bulatan merah)

Ramai Anglikan Sabah hari ini akan menggelarkan diri mereka sebagai "Karismatik"atau "Dipenuhi Roh Kudus." Bagaimanakah identiti ini, yang tidak sejagat dalam Anglikanisme di sekeliling dunia, telah terbentuk dalam Diosis Sabah?

Permulaan Gerakan Pentakosta

Gerakan pembaharuan Pentakosta dalam Kristian bermula sekitar peralihan abad kesembilan belas memasuki abad kedua puluh. Ciri yang paling tersendiri padanya adalah penekanan kepada kurnia-kurnia Roh Kudus, seperti berbahasa roh dan penyembuhan, yang mana ramai orang Kristian menyangka telah terhenti selepas Zaman Rasul-Rasul Gereja Awal. Semasa dekad-dekad pertama Pentakostalisme, orang-orang Kristian dari gereja-gereja bukan Pentakosta telah menerima apa yang dikenali sebagai "baptisan Roh Kudus" dan secara umumnya telah menyertai gereja-gereja Pentakosta kemudiannya.

Permulaan Gerakan Karismatik

Namun begitu, sekitar 1960, suatu fenomena baru telah bangkit di mana orang-orang Kristian dalam gereja-gereja aliran utama yang telah mengalami baptisan seperti itu dan kurnia-kurnia Roh Kudus, mulai tinggal terus dalam denominasi mereka sendiri untuk bersaksi mengenai dan membantu menyebarkan pengalaman-pengalaman Pentakosta mereka.

Satu detik penting dalam perkembangan bersejarah ini, yang kemudian dikenali sebagai "Gerakan Karismatik," telah terjadi pada 1960 ketika Father Dennis C. Bennett, seorang paderi Anglo-Katolik di California, secara terbuka mengisahkan pengalaman Pentakostanya kepada jemaatnya. Kontroversi yang telah timbul daripadanya telah menandakan permulaan pertumbuhan yang menakjubkan Gerakan Karismatik dalam Gereja Anglikan dan banyak lagi denominasi di dunia.

Hujan Awal Kebangunan Rohani

Perjalanan kita mengesan permulaan Kebangkitan Karismatik di Diosis Sabah tidak membawa kita ke pusat bandar-bandar utama dan gereja-gereja Anglikan yang telah lama tertubuh di situ, tetapi sebaliknya ke tempat yang tidak diduga. Pada 1973, jauh di pedalaman di Tongod, Cik Sylvia Jeanes sedang berkhidmat sebagai guru besar sekolah Epiphany Mission. Secara tiba-tiba pada tahun itu, sesi menyanyi yang biasa untuk pelajar-pelajar sekolah pada petang Ahad telah diurapi dengan api baru, dan pelajar-pelajar itu mulai menyembah dan berdoa dengan cara yang bebas dan spontan. Semangat yang baru itu telah menggerakkan mereka untuk menghafal ayat-ayat Alkitab dengan penuh kesungguhan dan untuk mengarang lagu-lagu penyembahan dalam bahasa-bahasa mereka sendiri.

Cik Jeanes (atas, paling kanan) dengan pelajar-pelajar Epiphany Mission, 1975

Pada 1974, Cik Jeanes telah dilantik menjadi lay chaplain kepada gereja-gereja Kinabatangan. Dia mengumpulkan semua pembaca dan pengajar katekis, dan mengadakan satu kursus asas untuk membantu mereka memimpin dalam jemaat-jemaat mereka. Mereka sangat tertarik dengan sistem hafalan ayat Alkitab dan lagu-lagu pendek korus yang baru yang dengan mudah dapat dinyanyikan oleh mereka yang paling tidak berpendidikan. Sambil mereka membawa balik semua itu ke sidang-sidang mereka, semangat dan kemeriahan yang sama yang telah turun ke atas pelajar-pelajar itu telah mula tersebar di kalangan sidang-sidang di kawasan itu. Dalam lebih kurang satu tahun, apa yang digelarkan sebagai "hujan akhir" oleh Cik Jeanes telah jatuh ke atas orang-orang Anglikan di kawasan luar bandar Sapi dan Segama.

Suatu kebangkitan rohani Karismatik telah melanda Sidang Injil Borneo (SIB) dari awal 1970an. Pada 1975, Encik Belunduk, guru besar Sekolah Alkitab SIB Namaus telah diundang ke Tongod. Khutbah-khutbahnya yang berani adalah yang pertama kali orang-orang Anglikan luar bandar itu mendengar daripada seorang yang sebangsa mereka menyampaikan Injil yang sama yang telah cuba dikomunikasikan oleh para misionari selama bertahun-tahun, dan orang-orang di situ memberi respon dengan membuat komitmen peribadi kepada Yesus Kristus.

Ombak kebangunan rohani di pedalaman ini boleh dilihat sebagai gegaran pertama gerakan Karismatik di Diosis ini, tetapi oleh kerana lokasinya yang terpencil, dan kurangnya tanda-tanda ajaib yang dramatik, serta juga penekanan yang kuat kepada Alkitab yang menyertai gerakan Roh Kudus ini, ianya tidak secara terbuka bercanggah dengan gerakan evangelikal yang masih berterusan di bandar-bandar.

Api Roh Kudus

Bishop Rt Revd Chiu Ban It

Dalam kalangan Gereja Anglikan yang mana kini adalah Wilayah Asia Tenggara, Diosis pertama untuk menyambut pembaharuan Karismatik adalah Singapura, dengan Bishopnya, Rt Revd Chiu Ban It, mengalami baptisan Roh Kudus pada 1972 selepas membaca Nine O'Clock In The Morning, buku yang dikarang oleh Father Dennis Bennett.

Canon Frank Lomax, yang telah memainkan peranan yang amat penting di Sabah pada 1950an dan 1960an, telah sendiri dibaptis dalam Roh Kudus ketika kembali melayani di England, dan kembali lagi ke rantau ini untuk mengambil peranan Dean di Katedral St Andrew, Singapura, yang menjadi pusat pembaharuan Karismatik.

Bagaimanapun, hanya pada lewat 1980an, pengaruh dan amalan Karismatik telah menjadi semakin kelihatan di Gereja Anglikan di Sabah. Keraguan awal di kalangan ramai paderi dan jemaat yang berdiri teguh dalam tradisi evangelikal Reformed secara beransur-ansur lenyap sambil impak positif pengalaman-pengalaman Karismatik disaksikan.

Sebagai contoh, orang-orang Kristian yang hanya Kristian pada nama sahaja, telah bertumbuh dengan cepat dalam iman dan menjadi sangat komited selepas dibaptis dalam Roh Kudus, serupa dengan cara mereka yang disentuh oleh kebangunan rohani evangelikal telah mengalami transformasi.

Bishop Rt Revd Yong Ping Chung

Walau bagaimanapun, terdapat perhatian berat agar pengajaran dan amalan Karismatik diseimbangkan dengan pengajaran Alkitabiah yang kukuh. Bishop Yong Ping Chung, yang mengambil alih sebagai ketua gembala daripada Bishop Chhoa yang bersara pada 1990, telah menulis dalam sepucuk surat pada tahun 1994 bahawa adalah penting untuk menekankan kedua-dua "dasar Alkitabiah yang kukuh dan pembaharuan Roh untuk setiap orang percaya."

Begitulah secara ringkas kebangkitan Karismatik di kalangan Anglikan Sabah.

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Anglican Diocese of Sabah bertajuk, "History Part 8: The Charismatic Revival")