Gal Gadot akan kembali ke layar perak lagi tetapi kali ini dia akan memainkan peranan Wanita Menakjubkan yang lain - seorang aktivis Poland yang membahayakan nyawanya sendiri untuk menyelamatkan 2,500 kanak-kanak Yahudi dari tangkapan Nazi.
Gadot mengumumkan Jumaat lalu bahawa dia dan suaminya telah menubuhkan syarikat penerbitan baharu, Pilot Wave, dan bahawa dia akan membintangi penerbitan pertamanya sebagai Orang Benar Bukan Yahudi, Irena Sendler, yang telah menyeludupkan keluar ribuan kanak-kanak Yahudi dari kawasan ghetto Warsaw demi menyelamatkan mereka.
"Sebagai penerbit, kami ingin menghidupkan kisah-kisah yang telah menginspirasikan kami. Pilot Wave akan menghasilkan bahan kandungan yang mempromosikan perspektif dan pengalaman orang-orang yang unik dan menerbitkan kisah-kisah yang berimpak dengan tujuan mencetuskan imaginasi," Gadot memberitahu Deadline.
Irena Sendler adalah filem thriller yang mengisahkan penentangan seorang wanita muda terhadap pihak Nazi. Sehingga 1942, pihak Nazi telah memaksa hampir setengah juta orang Yahudi di Ghetto Warsaw untuk menanti dihantar keluar dan maut.
Dengan memakai seragam jururawat, Sendler dan seorang rakan bernama Irena Schultz, telah pergi ke ghetto itu untuk memberi bantuan bekal dan perubatan kepada keluarga-keluarga Yahudi.
Selepas mendapat tahu bahawa keluarga-keluarga itu akan tidak lama lagi dihantar ke kem-kem maut, Sendler melancarkan satu misi rahsia untuk menyeludupkan kanak-kanak Yahudi keluar dari kem itu.
Dia dan pasukannya berjaya menyeludupkan ribuan kanak-kanak keluar dari ghetto itu dalam keranda, beg pakaian, ambulan, karung dan termasuk juga melalui saluran pembetungan najis.
Kanak-kanak itu kemudiannya ditempatkan secara tetap bersama keluarga-keluarga Kristian dan konven rahib.
Akhirnya, pihak Gestapo mendapat tahu kegiatannya, menyerbu rumahnya dan menyeksa Sendler. Dia enggan memberitahu pihak Nazi ke mana kanak-kanak itu telah pergi dan akhirnya dia dijatuhkan hukuman mati.
Pada hari penghukumannya, pengawal-pengawal Nazi telah diberi rasuah (oleh rakan-rakannya) dan dia melepaskan diri.
Israel memberi penghormatan kepadanya sebagai Yang Benar Di Kalangan Bangsa-Bangsa pada 1965 dan memberikannya kerakyatan kehormat pada 1991. Sendler juga telah menerima Gold Cross of Merit dan Order of the White Eagle, penghormtan tertinggi Poland kerana peranannya menyelamatkan orang-orang Yahudi.
(Diterjemahkan daripada artikel CBN bertajuk, "Gal Gadot to Produce, Star in Film About Christian Woman WhoSaved 2,500 Jewish Children from Nazis" yang ditulis oleh Emily Jones bertarikh 14 Oktober 2019)