Ahad, 13 Oktober 2019

Bishop Rev Danald Jute Dianugerahkan Gelaran Datuk



MIRI: Dianugerahkan darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk, Uskup Gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei Rt Rev Danald Jute berterima kasih kepada kerajaan Sarawak atas penghormatan yang diberikan berkenaan.

Menerima anugerah tersebut pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Hotel Mega Miri yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam, beliau berjanji akan terus melaksanakan tanggungjawabnya untuk menjadikan Malaysia dan Sarawak amnya menjadi lebih baik.

“Penganugerahan ini juga atas jasa dan penghargaan seluruh warga gereja yang telah diberikan dalam pelbagai pembangunan gereja di sini.

“Malah, kita berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah mengiktiraf sumbangan positif kepada gereja melalui pelbagai aspek seperti sekolah, perkhidmatan sosial dan memenuhi keperluan rohani,” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai penganugerahan terbabit.

Menurut Danald, gereja akan terus memainkan peranannya dengan setia dalam menyumbang secara positif ke arah pembangunan dan pembinaan negara serta negeri.

“Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama masing-masing. Oleh itu, gereja juga akan terus memainkan peranan dalam bersama menyumbangkan kepada pembangunan.

“Anugerah ini bukan sahaja penghormatan yang besar kepada saya dan warga gereja, ini juga bermakna tanggungjawab yang dipikul turut besar,” tambahnya.

(Diambil daripada artikel Utusan Borneo bertajuk, "Danald Jute Ikrar Terus Laksana Tanggungjawab" bertarikh 13 Oktober 2019)