Khamis, 24 Oktober 2019

Mengapa John MacArthur Harus Memohon Maaf Kepada Pengkhutbah-Pengkhutbah Wanita


Oleh J. Lee Grady:

Pengkhutbah fundamentalis John MacArthur, yang dikenali dengan siaran radio, "Grace to You," tidak menunjukkan sebarang kasih karunia hujung minggu lepas ketika dia ditanya apa yang difikirkannya mengenai pengajar Alkitab popular Beth Moore. Semasa satu persidangan pastor di Sun Valley, California, diadakan pada 16-18 Oktober, MacArthur kata Moore harus "balik rumahlah" ketika dia ditanya sebagai panelis apa yang dia fikir mengenainya. 

Menambah buruk lagi kepada kata-katanya, para hadirin tertawa dan bersorak. 

"Saya fikir gereja sudah tunduk menyerah kepada pengkhutbah-pengkhutbah wanita," kata John MacArthur, seorang Reformed Baptist yang telah berkhutbah selama 50 tahun bahawa wanita tidak ada hak alkitabiah berdiri di belakang mimbar atau melayani dalam kepimpinan gereja.

Saya menghormati sesetengah daripada sumbangan teologi MacArthur. Dia telah mengarang beberapa buku yang bagus. Tetapi sikapnya yang meremehkan terhadap wanita yang telah dipanggil ke dalam pelayanan adalah kasar, kurang sopan dan amat tidak membantu pada waktu di mana kita memerlukan setiap pastor yang ada - lelaki atau perempuan - di baris depan.

Tafsiran Doktrin Yang Sempit

MacArthur dengan ikhlas percaya dia sedang berpegang pada Firman apabila dia menuntut pelayanan pastor yang kesemuanya lelaki. Seperti begitu ramai fundamentalis sebelumnya, dia membina tafsiran doktrin yang sempit berdasarkan satu ayat di 1 Timotius manakala mengabaikan pemimpin-pemimpin wanita dalam Alkitab termasuk Debora, Miryam, Hulda, Priskila, Nimfa, Kloe, Euodia, Sintikhe dan lain-lain lagi yang melayani dengan rasul Paulus.

Adakah MacArthur akan memberitahu Debora untuk "balik rumahlah" dan tidak mengatur tentera untuk mempertahankan Israel zaman dahulu? Adakah dia akan memberitahu Priskila untuk "balik rumahlah" dan tidak mengembara dan mengajar di gereja-gereja Perjanjian Baru?

Saya tertanya-tanya adakah MacArthur dan pengkhutbah-pengkhutbah fundamentalis yang lain menyedari apa yang mereka katakan apabila mereka menuntut agar pengkhutbah-pengkhutbah seperti Beth Moore untuk duduk dan berdiam. Adakah mereka secara serius ingin sumbangan-sumbangan rohani wanita dilenyapkan? 

Di manakah kita sekarang jika wanita-wanita berkuasa yang dipakai Tuhan dalam generasi-generasi lepas tidak ada tempat dalam pelayanan? Untuk memikirkan bahawa saudari-saudari kita tidak ada peranan dalam penyebaran Injil mendedahkan tahap keangkuhan lelaki yang paling tinggi. 

Tokoh-Tokoh Wanita Kristian

Syukurlah, wanita-wanita sepanjang abad yang memiliki api Allah yang membakar di hati mereka tidak mendengar pada suara-suara negatif keagamaan yang memberitahu mereka untuk balik rumah dan duduk diam. 

Apakah yang akan terjadi jika misionari ulung Amy Carmichael berasa puas hati untuk tinggal saja di rumahnya yang selesa di England kerana kepercayaan yang tersasar bahawa wanita tidak harus berbicara bagi Tuhan? Oleh kerana Amy mentaati dan berkhutbah dengan bersemangat, ribuan orang di India mendapat keselamatan melalui Dohnavur Fellowship, dan ramai pemudi-pemudi India telah diselamatkan dari sistem pelacuran kuil yang jahat. 

Bagaimanakah jika Jarena Lee, seorang wanita kulit hitam yang miskin yang hidup pada awal 1880an di Amerika, telah mengabaikan suara Roh Kudus yang telah memberitahunya, "Khabarkan Injil! Aku akan meletakkan perkataan ke dalam mulutmu." Seorang Methodist yang mempunyai pengalaman penyerahan peribadi yang berkuasa, dia telah mengembara ribuan batu dengan berjalan kaki dan memenangkan jiwa-jiwa baru.

Apakah yang akan terjadi jika misionari Southern Baptist, Bertha Smith telah menuruti dasar-dasar denominasinya sendiri mengenai wanita dalam pelayanan? Oleh kerana perintis berani ini tahu dia tidak boleh berdiam mengenai imannya, dia membawa mesejnya ke China dan telah mencetuskan kebangunan rohani yang masih dirasakan di sana 70 tahun kemudian.

Tokoh-tokoh wanita Kristian

Bagaimana jika penginjil yang memiliki kurnia penyembuhan, Aimee Semple McPherson telah menyambut kebohongan bahawa wanita tidak boleh berbicara di gereja? Dia tidak akan menjelajah menyeberangi Amerika Syarikat dengan mesej Pentakostanya, dan dia tidak akan pernah mengasaskan International Church of the Foursquare Gospel - satu denominasi yang telah bertumbuh menjadi jutaan anggota di sekeliling dunia. 

Bagaimana jika pengajar Alkitab yang hebat, Henrietta Mears dari Hollywood Presbyterian Church di Los Angeles telah menganggap kata-kata rasul Paulus dalam 1 Timotius 2:12 sebagai melarangnya untuk mengajar orang lelaki? Dia tidak akan menjadi tuan rumah kepada persidangan-persidangan pemuridan besar yang ditaja olehnya pada 1940an dan 1950an. Dan dia tidak pernah akan ada kesempatan untuk menjadi mentor kepada Bill Bright dan Billy Graham ketika mereka masih muda. Lelaki-lelaki itu, dari pengakuan mereka sendiri, telah membawa jutaan orang kepada Kristus oleh kerana pengaruh Mears ke atas pertumbuhan rohani mereka. 

Bagaimanakah dunia ini jika pengasas bersama Salvation Army, Catherine Booth, penginjil yang memiliki kurnia penyembuhan, Kathryn Kuhlman atau pengajar Alkitab, Corrie ten Boom telah menutup mulut mereka ketika Roh Kudus menyuruh mereka melaungkan mesej mereka dari bumbung rumah?

Dan sementara kita membicarakan mengenai Beth Moore, marilah kita mengingati bahawa wanita yang hebat ini telah menerbitkan lebih daripada 25 buku dan pengajian Alkitab dan secara tidak langsung memuridkan bilangan lelaki dan wanita yang tidak terhitung, melalui penulisannya, siaran-siarannya dan konferensi-konferensinya. Saya tidak ingin pun membayangkan dunia tanpa sumbangannya. 

Betapa memalukan apabila saudara kita John MacArthur memperendahkan kurnia-kurnia rohani Moore dan mengusulkan bahawa pelayanannya adalah tidak sahih. Saya percaya dia dengan segera harus memohon maaf kepada Moore dan semua pengkhutbah-pengkhutbah wanita.

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma Magazine bertajuk, "Why John MacArthur Should Apologize to Women Preachers" yang ditulis oleh J. Lee Grady bertarikh 23 Oktober 2019)