Khamis, 3 September 2020

Pastor Joshua Pernah Disiasat Berkait Hasutan, Saksi Beritahu Inkuiri Suhakam


KUALA LUMPUR: Saksi dalam inkuiri awam Suhakam mengenai kehilangan pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu berkata, Joshua disiasat berhubung hasutan pada 2014.

Bekas ketua polis Sungai Way, Shafiee Marsidi berkata laporan polis dibuat terhadap Joshua di Rembau, Negeri Sembilan pada 2014, walaupun kes itu kemudiannya diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA).

Katanya, beliau tahu mengenai kes itu selepas mengarahkan pegawai penyiasat dalam kes kehilangan pasangan terbabit untuk memeriksa jika Joshua atau Ruth mempunyai kes dengan polis.

Ditanya panel itu jika beliau boleh memberikan lebih banyak butiran mengenai kes itu di Rembau, katanya, beliau tidak ingat.

Ruth dan Joshua, umat Islam yang menukar agama kepada Kristian, hilang lebih 3 tahun lalu. Mereka kali terakhir dilihat pada 30 Nov 2016.

Ditanya sama ada beliau mendapati sifat kehilangan pasangan itu mempunyai elemen agama sensitif, Shafiee berkata, beliau tidak pasti.

Beliau bersetuju tidak normal bagi seorang umat Islam menukar agama kepada Kristian, tetapi katanya, beliau tidak tahu mengenai aktiviti pasangan itu.

Ditanya sama ada beliau tahu mereka memurtadkan umat Islam, katanya, beliau tidak tahu mengenainya.

“Saya hanya dimaklumkan IO (pegawai penyiasat Rembau) yang orang hilang itu (Joshua) disiasat di bawah Akta Hasutan kerana terbabit dalam aktiviti agama, dan kes itu NFA,” katanya kepada inkuiri.

Katanya, beliau tidak mendapatkan sebarang penjelasan berhubung aktiviti agama yang disertai pasangan itu.

Shafiee turut memberitahu inkuiri itu, polis tidak memohon waran geledah untuk memeriksa rumah pasangan terbabit, walaupun beliau bersetuju mereka patut berbuat demikian.

Katanya, beliau tidak mencadangkan berbuat demikian kerana arahan sepatutnya datang daripada orang atasannya dari Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya yang turut terbabit dalam kes itu.

Beliau juga tidak pasti jika Cawangan Khas (SB) turut terbabit dalam membantu siasatan kes itu, dan beliau tidak membuat cadangan sedemikian.

Shafiee menafikan kekurangan usaha dalam menyiasat kehilangan pasangan itu ketika beliau menjadi ketua polis Sungai Way selama setahun.

Katanya, mereka cuba mengesan pasangan itu dengan memeriksa alamat lain dan turut menyemak dengan Jabatan Imigresen jika pasangan berkenaan mungkin sudah meninggalkan negara.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Pastor Joshua Pernah Disiasat Berkait Hasutan, Saksi BeritahuInkuiri Suhakam" yang ditulis oleh Nicholas Chung bertarikh 2 September 2020)