Isnin, 21 September 2020

Tiada Tanda Berlaku Jenayah Di Rumah Pastor Joshua, Polis Beritahu Inkuiri Suhakam


KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat kanan dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai kehilangan pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu berkata, beliau tidak mendapati sebarang unsur jenayah apabila beliau melawat kediaman pasangan tersebut selepas satu laporan polis dibuat pada Mac 2017.

Supari Muhamamad, pegawai penyiasat kanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dari 2017 hingga 2018 berkata, beliau tidak terlibat secara langsung dalam kes itu pada masa itu, tetapi menyumbang kepakarannya kepada pegawai penyiasat lain.

Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pemilik rumah itu, Peter Pormanan, pada Mac 2017.

“Saya melawat rumah seminggu kemudian. Saya tidak dapati sebarang unsur jenayah, jadi saya serahkan (kes itu) kepada OCS (pegawai yang bertanggungjawab di Balai Polis Sungai Way).

Supari kemudiannya ditunjukkan sekeping gambar bilik tidur utama yang diambil oleh kakak Ruth, Ram Ram Sitepu, yang membuat laporan polis berkenaan kehilangan pasangan tersebut pada Februari 2018.

Ram Ram menyerahkan gambar itu bersama laporannya, yang menunjukkan katil dalam keadaan berselerak dengan pelbagai barangan bertaburan di atas cadar.

Supari berkata, bilik tidur tidak berselerak sewaktu beliau melawat tempat kejadian.

“Berdasarkan ingatan saya, ia tidak kelihatan begitu. Semua kelihatan kemas dan rapi,” beliau memberitahu inkuiri.

Beliau berkata, tidak terdapat sebarang petunjuk bahawa seseorang meninggalkan rumah itu secara tergesa-gesa.

“Rumah itu berkunci dan tiada tanda masuk paksa. Tidak ada pakaian atau barangan lain yang bertaburan atas lantai,” kata beliau.

Ditanya kenapa beliau tidak memeriksa bilik itu bagi mencari bukti lanjut seperti pasport atau dokumen lain, Supari berkata: “Pada masa itu, kami tidak mahu mengganggu tempat kejadian itu terlalu banyak.

“Apa yang sedia terbuka, ya, kami boleh lihat. Tetapi untuk saya memeriksa bilik itu, ia bukan tujuan saya pada masa itu.”

Katanya, berkata beliau pada asalnya bertujuan melawat tempat kejadian untuk mengesahkan sama ada alamatnya betul dan mencari sebarang petunjuk jenayah berlakunya di situ, termasuk jika ia ada mayat.

“Kami perlu berfikir tentang (mayat) kerana ada kemungkinan dia membunuh diri atau membunuh seseorang.”

Supari juga berkata tiada kaitan antara kehilangan Joshua dengan kes kehilangan pastor Raymond Koh, yang disifatkan sebagai mangsa kehilangan paksa.

“Polis meneruskan siasatan dalam banyak segi dan salah satunya ialah kedua-dua mereka menyebar agama Kristian,” kata beliau.

Bagaimanapun beliau berkata, kes itu kemudiannya disiasat sebagai kes kehilangan orang dan polis tidak melihat faktor keagamaan secara khusus.

Joshua, seorang Melayu-Islam yang memeluk agama Kristian, serta Ruth hilang sejak 3 tahun lepas. Kali terakhir mereka dilihat ialah pada 30 Nov, 2016.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Tiada Tanda Berlaku Jenayah Di Rumah Pastor Joshua, Polis Beritahu Inkuiri Suhakam" yang ditulis oleh Ainaa Aiman bertarikh 21 September 2020)