Isnin, 2 November 2020

Kenyataan Ahli Parlimen PAS Tentang Injil Akan Ditangani Esok

YDP Parlimen, Azhar Azizan (kiri) dan Ahli Parlimen PAS, Nik Muhd Zawawi


PETALING JAYA: Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, akan memberikan ketetapan berhubung kenyataan kontroversi Ahli Parlimen PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh, berhubung kitab suci Kristian tentang arak.

Menjawab peringatan Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen, tentang suratnya memohon Azhar mengarahkan wakil rakyat Pasir Puteh itu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf, Azhar berjanji ia akan ditangani pada esok pagi, iaitu pada hari kedua sidang Dewan Rakyat.

Kelvin sebelum itu menarik perhatian Azhar kepada Peraturan Mesyuarat 36(10)(C), mengatakan kenyataan oleh pemimpin PAS itu “menimbulkan rasa sakit hati orang ramai”.

“Sekarang ini Pasir Puteh ada di sini dan ini adalah peluang keemasan untuk selesaikan masalah ini,” katanya pada hari pertama sidang hari ini.

Sebelum ini, Zawawi ketika perbahasan rang undang-undang untuk mengusulkan denda lebih berat kepada pesalah yang memandu bawah pengaruh alkohol, mendakwa kitab Injil sudah “dipesongkan ataupun diubah”.

Kenyataan itu mengundang bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST), dan ahli politik dari Sabah dan Sarawak.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Kenyataan Ahli Parlimen PAS Tentang Injil Akan Ditangani Esok" yang ditulis oleh Adam Abu Bakar bertarikh 2 November 2020)