Menerusi kenyataan media ringkas, penyanyi lagu Semua
Sudah itu memohon maaf kerana berita perkahwinannya itu tersebar lebih
awal.
“Saya minta maaf sebab berita pasal ini (kahwin) tular
sebelum sempat keluarkan kenyataan sendiri. Saya memang merancang nak umumkan
pada semua mengenai hal ini selepas sudah bersedia.
“Saya ambil keputusan untuk tidak menghebohkan isu
perkahwinan ini kerana isu kecil saja. Bagaimanapun ingin saya sahkan memang
benar gambar dan video yang telah tersebar.
“Saya sudah berkahwin,” katanya.
Ia selepas bapanya, David Tan Suan Chew memuat naik sekeping
foto memperlihatkan anaknya itu berdiri di hadapan paderi yang sedang
membacakan ikrar perkahwinan.
Susulan itu, ruang komen Instagram pemilik nama sebenar Tan
Su Mei, 27,itu dihujani ucapan tahniah daripada pengikutnya.
Dia yang mesra disapa Lizzy memaklumkan majlis
perkahwinannya yang berlangsung semalam dibuat secara kecil-kecilan.
“Ia sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP)
dan hanya dihadiri 10 orang tetamu dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan
rapat saja," katanya.
“Dengan kerendahan hati, Lizzy memohon maaf kerana tidak
dapat mengundang ahli keluarga lain dan teman media.
“Pada saya, memilih untuk berkahwin ni tidak mengubah
apa-apa. Saya masih Lizzy yang sama.
“Dan saya berharap semua dapat menerima dan menghormati
keputusan ini," katanya.
Menerusi kenyataan media yang disampaikan, dia bagaimanapun
tidak berkongsi perincian majlis perkahwinan berlangsung di mana, kisah
percintaan dan berapa lama berkenalan dengan suaminya.
Elizabeth berkata, sebelum ini dia pernah menyemat impian
mahu mendirikan rumah tangga, sekali gus menimang cahaya mata pada usia 30
tahun.
Pengakuannya yang dibuat pada sebuah acara sidang media
sebuah filem beberapa bulan lalu itu seakan memberikan bayangan penyanyi tinggi
lampai itu sudah berpunya.
Dia juga sebelum ini pernah mendedahkan kisah cinta dengan
seorang jejaka berakhir di tengah jalan.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Ya, Saya Dah Kahwin - Elizabeth Tan" bertarikh 21 Mac 2021)