Baginda bertitah, ia bagi memelihara kalimah suci umat Islam
itu yang mana kalimah Allah ialah kalimah suci umat Islam merujuk kepada Tuhan
Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.
"Beta menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam
kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan
tulisan-tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang
mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali penggunaannya di negeri Selangor.
"Beta mengulangi pendirian beta bahawa kalimah Allah
ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk
kepada Tuhan yang maha esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.
"Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di
tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan yang maha esa
yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam. Namun demikian sekiranya
perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God”, beta
tiada halangan atas penggunaan perkataan “Tuhan” tersebut," titah baginda
dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan
bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan
kalimah "Allah" pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.
Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian
yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah "Allah" untuk
tujuan keagamaan dan pendidikan.
Hakim Nor Bee Ariffin membenarkan tindakan undang-undang
oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun.
Pada 11 Mei 2008, CD berjudul 'Cara Hidup Dalam Kerajaan
Allah', 'Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam
Kerajaan Allah', telah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di
Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh
Kementerian Dalam Negeri pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat
perkataan "Allah, Baitullah, Kaabah dan solat" menyalahi
undang-undang dan tidak rasional.
"Penggunaan perkataan itu tidak akan mengganggu
ketenteraman awam," katanya.
Nor Bee berkata perkataan itu juga boleh digunakan oleh
masyarakat untuk tujuan pengajaran kerana telah digunakan lebih 400 tahun.
Kerajaan Persekutuan pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan
mengenai hak menggunakan kalimah Allah di kalangan masyarakat bukan beragama
Islam kini ke peringkat Mahkamah Rayuan.
Perkara itu disahkan oleh Peguam Cara Negara Abdul Razak
Musa.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menegaskan ia juga adalah
selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman
Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam negeri pada tahun
2014 dan fatwa yang diwartakan di negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang
menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan
Tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.
"Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk
menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau
penghinaan terhadap kalimah Allah tersebut.
"Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab
semua umat Islam terutamanya umat Islam di Negeri Selangor untuk menjaga
kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun.
"Beta juga menitahkan agar rakyat beta yang bukan
beragama Islam di negeri Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan
penggunaan kalimah Allah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama
Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah
diwartakan pada 7 Julai 1988," katanya.
Titah baginda sebagai ketua agama Islam Selangor, baginda
tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini kerana memelihara kesucian
kalimah Allah ini adalah menjadi tuntutan agama.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Sultan Sharafuddin Larang Guna Kalimah Allah Dalam Bible Di S'gor" bertarikh 23 Mac 2021)