Rabu, 7 April 2021

Saya Bermimpi Ambil Peperiksaan!


Peperiksaan bukanlah sesuatu yang paling disukai orang, namun itulah yang saya mimpikan beberapa hari lepas.

Dalam mimpi itu, saya sedang menjawab soalan peperiksaan di sebuah dewan yang kecil. Saya melihat penyelia peperiksaan tersenyum di hadapan saya. Wajahnya mirip seorang yang saya kenal.

Saya menjawab soalan-soalan dengan gembira dan bersungguh-sungguh. 

Tiba-tiba ada orang memberitahu bahawa waktu peperiksaan hampir tamat. Saya melihat kertas soalan - saya masih belum selesai menjawab soalan-soalannya.

Saya terkejut bahawa sebenarnya saya hanya sempat menjawab satu bahagian dalam kertas soalan itu. Saya tak sempat lagi untuk menjawab dua bahagian lain dalam kertas peperiksaan.

Saya terbangun dari tidur dan memberitahu isteri saya mengenainya.

Isteri saya bertanya, "Apakah maksud mimpi ini?"

Saya berkata, "Tak adalah erti mimpi ini. Hanya mimpi biasa saja." 

Sebaik saja saya mengatakan kata-kata itu, saya menyedari sesungguhnya ada erti di sebalik mimpi ini.

Erti Mimpi Saya

Mimpi ini sebenarnya berbicara kepada 3 bidang pelayanan atau pekerjaan dalam hidup saya. Oleh kerana saya terlalu asyik menumpukan kepada salah satu bidang itu, saya tidak sempat menyelesaikan dua bidang yang lain itu.

Saya percaya Tuhan mahu mengingatkan saya agar jangan terlalu tertumpu menjawab persoalan dalam satu bidang sahaja tetapi juga perlu membahagikan waktu yang sewajarnya untuk ketiga-tiga bidang. 

Seperti dalam peperiksaan, saya akan gagal jika saya hanya cemerlang dalam satu bahagian, tetapi tidak selesai menjawab 2 bahagian yang lain.

Saya mula memikirkan mengenai 3 bidang yang menjadi tanggungjawab saya dan mula merangka strategi untuk memberi waktu dan tumpuan kepada ketiga-tiga bidang itu.

Fokus Baharu

Fikiran saya menjadi lebih jelas dan fokus selepas mendapat mimpi itu. 

Saya mula menyenaraikan 3 bahagian itu sebagai: Tugasan CDP (Church, Digital, Pekerjaan). Digital itu merangkumi penulisan blog saya, domba2domba khususnya. 

Jadi tahun 2021 ini, jelaslah Si Domba Putih harus lebih tertumpu dalam tugasan CDP ini.

Doakan agar saya lebih berdisiplin dan dapat melaksanakannya dengan baik sepanjang tahun ini. 

Saya ingin lulus Peperiksaan 2021!