Menterinya, Hamzah Zainuddin, berkata pihaknya telah
mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kalangan
bukan Islam.
Jelasnya arahan itu bertujuan untuk memaklumkan kepada
rakyat berhubung penggunaan kalimah Allah.
"Arahan itu sesuatu yang dikeluarkan dari semasa ke
semasa berbentuk pentadbiran yang dilakukan seperti biasa.
"Kalau isu dari segi mesin cetak kita guna akta yang
ada.
"Supaya isu penggunaan kalimah Allah ini...
pengunaannya di mana tempat (dibolehkan) supaya isu ini selesai, untuk beri
kepastian serta pemahaan tentang pengunaan kalimah Allah," katanya pada
sidang media selepas wacana meja bulat di Putrajaya, hari ini.
Hamzah berkata, wacana meja bulat hari ini membabitkan
perbincangan dengan bukan Islam termasuk wakil agama Kristian, Hindu, Sikh
termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Jelasnya perbincangan hari ini tidak membincangkan tentang
keputusan yang telah dibuat mahkamah berhubung isu kalimah Allah.
Pada 15 Mac lalu, kerajaan dan KDN memfailkan rayuan
terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah
dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan
pendidikan.
Perkara itu disahkan Peguam Cara Negara, Abdul Razak Musa
ketika dihubungi media.
Berdasarkan salinan notis rayuan yang diperoleh media, notis
berkenaan difailkan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan di Mahkamah
Tinggi.
Pada 10 Mac lalu, Hakim Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim
Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita
Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.
Mahkamah turut memutuskan selain kalimah Allah, tiga lagi
perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah 'Kaabah',
'Baitullah' dan 'solat'.
Dalam pada itu, Hamzah ketika ditanya mengenai arahan
berkenaan sama ada ia bersifat garis panduan atau sebaliknya,
berkata: "Ada perkara arahan ada perkara garis panduan."
Jelasnya, arahan berkenaan bertujuan untuk menamatkan polemik mengenai pengunaan kalimah Allah serta memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terpelihara.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "KDN Akan Keluarkan Arahan Berhubung Penggunaan Kalimah Allah" yang ditulis oleh Haspaizi Zain bertarikh 15 April 2021)