Khamis, 16 September 2021

Pemberian Terbaik Dr. Cho Kepada Gereja Global


Oleh J. Lee Grady:

Dunia meratap minggu ini setelah mendengar bahawa David Yonggi Cho - pastor Yoido Full Gospel Church di Seoul, Korea Selatan - meninggal dunia pada 14 September. Dikenali sebagai pemimpin yang memiliki visi yang telah mengajar pengikut-pengikutnya untuk mengubah dunia melalui doa, Dr. Cho telah dimasukkan ke hospital untuk lebih setahun oleh kerana pendarahan otak. Dia berusia 85 tahun ketika meninggal dunia.

Selama berdekad-dekad, Cho dikagumi sebagai contoh terbaik pastor gereja mega pada ketika gereja-gereja mega mulai bercambah di Amerika Syarikat pada 1980an. Dia telah memulakan gerejanya pada 1958 dengan hanya beberapa orang yang bertemu dalam sebuah khemah kecil. Gereja Cho bertumbuh dari lima ke lima puluh; kemudian dari lima puluh ke 3,000. Setelah menerima dengan sungguh-sungguh strategi "gereja sel", gerejanya bertumbuh ke 8,000 ahli - suatu pencapaian besar pada 1968 ketika hanya sedikit pemimpin Kristian yang dapat membayangkan kewujudan gereja yang sebesar itu.


Gereja Yoido itu bertumbuh ke 400,000 orang menjelang 1984 dan kemudian bertambah ke 700,000 menjelang 1992. Pada waktu itulah Cho mengambil keputusan untuk memulakan gereja-gereja satelit di kawasan-kawasan lain Seoul daripada mengembangkan kampus utama. Dia telah menjadi jurucakap untuk pertumbuhan gereja. 

Beratus-ratus pemimpin gereja telah mulai berkunjung ke Korea Selatan pada 1970an dan 1980an untuk memerhatikan kejayaan mengkagumkan Yoido. Pastor-pastor dari Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan Amerika Selatan ingin mengetahui rahsia kejayaan Cho. 

Apabila pastor-pastor Amerika kembali daripada kunjungan mereka, mereka mengumumkan bahawa rahsia pastor aliran Pentakosta itu adalah dua serangkai: Pertamanya, Cho sangat mengandalkan doa, dan memotivasikan jemaatnya yang besar itu untuk berdoa secara berjemaat dua jam seminggu. Keduanya, pastor-pastor Amerika itu berkata gereja Cho bertumbuh dengan pantas kerana dia membahagikan jemaatnya ke dalam kelompok-kelompok sel yang kecil yang bertemu di rumah-rumah memberikan orang-orang yang baru percaya suatu wadah untuk pemuridan peribadi. 

Doa adalah bahagian penting di Gereja Yoido

Jadi dalam gaya Amerika yang biasa, gereja-gereja di Amerika Syarikat mula mengadakan program-program doa dan mencuba beberapa model gereja sel. Tujuannya adalah untuk membina gereja-gereja Amerika yang sebesar Yoido.

Tetapi setakat ini, gereja-gereja terbesar Amerika hanya mencecah tahap 20,000 orang anggota. Ternyata kita telah kekurangan sesuatu ketika berusaha meniru formula Korea itu.

Manakala doa adalah sepastinya ciri penting dalam pengembangan Injil di Seoul, Cho telah mendedahkan pada 1999 dalam suatu pertemuan dengan pastor-pastor dan para misionari di Itali bahawa para pakar telah terlepas pandang satu faktor utama kejayaannya. Cho seterusnya memberitahu para hadirin bahawa para wanita telah memainkan peranan besar dalam pelayanannya - mahupun dari permulaannya ketika dia memulakan gerejanya dengan Choi Ja-shil, seorang rakan sepelayanan wanita, yang kemudiannya menjadi ibu mertuanya. 

Cho menerangkan kepada para hadirin di acara di Itali itu bahawa dia telah rebah dalam kelesuan pada 1964 ketika dia melayani jemaat gerejanya yang berjumlah 3,000 anggota. Apabila dia memberitahu pemimpin-pemimpin lelakinya bahawa dia ingin membahagikan gereja mereka ke dalam kelompok-kelompok sel, mereka menentang idea itu. Mereka tidak mahu dia membahagikan tugasnya kepada mereka. "Kami tidak dilatih dan tidak dibayar untuk melakukan ini," para lelaki memberitahu Cho. 



Tetapi ketika Cho menyampaikan ideanya kepada pemimpin-pemimpin wanita, mereka dengan sungguh-sungguh menerima konsep itu dan memintanya untuk mengajar mereka bagaimana untuk memimpin. "Ajar kami, pastor," para wanita itu memberitahu Cho. "Kami akan melakukan apa saja untukmu."

Cho mengakui dia terpaksa berehat daripada pelayanan penggembalaan untuk suatu seketika pada 1960an kerana stres. Dia jatuh sakit secara emosi dan fizikal kerana kelesuan yang melampau. Tetapi dalam tempoh lima tahun, ketika kebanyakannya wanita yang memimpin kelompok-kelompok sel di Yoido, gereja itu bertumbuh dari 3,000 ke 18,000 orang. 

Ketika Yoido mencecah angka 700,000 orang, dengan 50,000 kelompok sel yang bertemu di rumah-rumah, gereja itu memiliki 600 pastor - dan 400 daripada mereka adalah wanita.

Dr Cho adalah pengasas Yoido Full Gospel Church, Korea Selatan

Ketika Dr Cho berucap kepada pemimpin-pemimpin di Itali, dia telah membawa suatu teguran yang kuat terhadap gereja Barat. Katanya:

"Selama 5,000 tahun di Korea, wanita langsung tidak memiliki suara. Mereka hanya memenuhi keperluan lelaki. Kemudian Kekristianan datang dan membebaskan wanita. Terutamanya di dalam gereja, wanita adalah bebas di Korea. Dalam pelayanan, mereka adalah setaraf dengan lelaki. Mereka dilantik dan disahkan sebagai pastor. Dan mereka menjadi ketua-ketua kelompok sel.... Tanpa wanita, saya tidak fikir saya dapat membangun gereja yang besar ini." 

"Jika anda melatih para wanita, dan mengagihkan pelayanan anda kepada mereka, mereka akan menjadi utusan-utusan Tuhan yang hebat. Sebilangan anda akan menyebut 1 Korintus 14:34, "Perempuan-perempuan harus berdiam diri di dalam pertemuan Jemaat." Saya ingin katakan satu hal ini, saudara-saudaraku. Sewaktu para wanita dipanggil ke dalam pelayanan, mereka tidak lagi tergolong dalam golongan wanita. Mereka adalah utusan-utusan Tuhan.

"Oleh itu saya tidak takut mempunyai pelayan-pelayan wanita, sebab dengan memberikan kuasa kepada wanita, kami sedang menginjili seluruh Korea. Saya sedang menggalakkan gereja-gereja Amerika untuk melibatkan wanita. Gereja-gereja Eropah amat perlahan mempelajari ini. Saya datang untuk menggalakkan mereka melibatkan wanita." 

Dr. Cho tidaklah sempurna. Seperti semua pemimpin lain dia memiliki kelemahan dan dia telah melakukan kesilapan yang dikesali - terutamanya dekat penghujung pelayanannya ketika dia berhadapan masalah dengan pihak berkuasa Korea kerana mempromosikan suatu skim kewangan yang dipersoalkan. Meskipun dengan kekurangan-kekurangan ini, Cho telah mengajar kita untuk mempercayai Tuhan untuk hal-hal yang mustahil dan untuk memberi kuasa kepada setiap Kristian - lelaki dan wanita - untuk menyampaikan Injil dengan kuasa Roh Kudus. Saya berdoa kita tidak akan pernah melupakan legasi Dr Cho.

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma Magazine yang bertajuk, "Dr. Cho's Greatest Gift To The Global Church" yang ditulis oleh J. Lee Grady bertarikh 15 September 2021)