Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah Jerry Dusing mengingatkan kepada kepada laporan 1962 oleh Suruhanjaya Cobbold, yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Dia memetik bab keempat laporan itu, yang berbunyi:
"Dengan mempertimbangkan semua perkara ini, kami sepakat bahawa Islam
harus menjadi agama bagi Persekutuan. Kami berpuas hati bahawa cadangan itu
sama sekali tidak membahayakan kebebasan beragama dalam Persekutuan ini, yang
sebenarnya akan bersifat sekular. "
"Janji dengan penuh takzim ini menjamin kebebasan
beragama yang juga telah termaktub di Batu Sumpah Keningau. Tanpa asas ini,
Persekutuan Malaysia tidak akan wujud sejak awal, dan juga tidak akan bertahan
lama.
"Oleh itu, adalah tugas suci semua anggota Kerajaan
Persekutuan, tanpa mengira kepercayaan agama masing-masing, untuk menegakkan
jaminan sejarah ini," katanya.
Jerry berkata Majlis Gereja-gereja Sabah sangat sedih dengan
kenyataan Timbalan Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary
bahawa rang undang-undang untuk menyekat penyebaran agama-agama bukan
Islam sedang
dalam proses.
Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad
kemudian menjelaskan rang undang-undang baru itu bertujuan untuk
diguna pakai di Wilayah Persekutuan.
Perundangan serupa juga tersedia dalam bentuk enakmen di
semua negeri kecuali Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.
Jerry berkata, Majlis Gereja-Gereja Sabah bersyukur kerana
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor telah bersuara menolak rang
undang-undang tersebut.
Katanya, rakyat Malaysia sedang menyaksikan tindakan yang
melemahkan perlindungan kebebasan asas rakyat Malaysia terhadap kebebasan
beragama sepenuhnya.
"Penghakisan kebebasan beragama yang mendasar terhadap
ideologi agama yang lebih fundamentalis yang menjejaskan kebesaran kuasa
perlembagaan adalah perhatian yang serius.
"Hala tuju ini bertentangan dengan Perjanjian Malaysia
1963," katanya.
Jerry berkata pada Hari Malaysia, para pemimpin perlu
menumpukan perhatian terhadap nasib bersama rakyat dan bukannya "menanam benih
perpecahan dan kebencian".
Sementara itu, kumpulan hak orang asal Perpaduan Anak Negeri
Sabah meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk campur tangan dalam
perkara itu.
"Ini tidak dapat diterima kerana ia menyerang inti
kebebasan beragama bagi semua warga negara sebagaimana yang termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan kita.
"Undang-undang yang dicadangkan itu bahkan tidak
dibincangkan dalam kabinet anda dan rakan sekutu anda telah menunjukkan bahawa
mereka juga keberatan dengan tindakan ini," katanya.
Kumpulan itu juga meminta Ismail Sabri untuk melaksanakan
nasihatnya sendiri mengenai "Keluarga Malaysia".
"Perdana Menteri, yakinlah bahawa kami juga ingin
menerapkan idea anda tentang 'Keluarga Malaysia, yang mana menurut kata-kata
anda sendiri, kita semua dapat berada dalam satu keluarga bahagia besar yang
melintasi batas agama, kaum dan etnik.
"Sayangnya ini tidak akan berlaku sehinggalah kami,
Anak Sulung, atau Anak Pertama di negeri ini, dapat merasakan bahawa kami semua
setara dengan sepupu kami di Tanah Melayu.
"Jauh daripada itu, kami dengan cepat telah menjadi
orang asing di negeri kami sendiri dengan terhakisnya hak asasi kami terhadap
kebebasan beragama," katanya.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Suara Dari Sabah Rayu PM Hentikan RUU Sekat Sebar Agama Bukan Islam" bertarikh 16 September 2021)